Semasa dalam perjalanan pulang dari sekolah (darjah 3 – 1960) saya melihat padang di sebelah kanan itu amat luas sekali. Disebelah kiri kebun kelapa (lagi luas). Dihadapan sebuah ‘Titi Batu’ yang amat kukuh, di bawahnya mengalir air yang jernih dari Ulu Chempedak, dari atas bukit. Ramai sedang mandi-manda di sungai itu termasuk beberapa ekor kerbau. Nyaman sekali mata memandang.
Aktiviti perhimpunan masyarakat diadakan di padang itu termasuk permainan bolasepak ‘kampung’. Mungkin pertunjukan bakat tempatan atau kempen piliharaya atau sebagainya, saya tidak pasti. Hutan kelapa itu menjana ekonomi desa yang tidak seberapa dan sungai itu tempat anak muda bermain, mandi manda setelah penat bekerja di bendang yang tidak jauh dari situ. Sungguh tenang dan menghiburkan.
Tidak lama selepas itu, pokok di hutan kelapa kelihatan dipotong. Setiap hari saya melaluinya kelihatan makin banyak telah di potong. Terdengar pada suatu hari diberitakan bahawa anak Tok Megat, mati ditimpa pokok kelapa. Itu saya yang dengar dan hilang begitu saja . Akhirnya berdirilah sebuah bangunan yang menjadikan sumber pendapatan penduduk setempat. Sebuah kilang kitar semula kertas dan membuat semula kertas. Makin lama makin besar kilang itu sehinggalah pertengahan tahun ’60an ianya sudah menjadi ikon di kampung saya. Banyak penduduk yang menumpang rezeki daripadanya dengan gaji permulaan $3.50sen, sehari ketika itu.
Tok Penghulu Senawi sebagai MP (Nibong Tebal) ketika itu telah dapat menjadikan kewujudan kilang tersebut tanpa banyak ‘bicara desa’. Ianya berjalan seperti dirangka. Tiada protes dan tiada sengketa; kilang terus menabur jasa di atas pembangunan ekonomi desa. Kilang semakin besar dan pemain ekonomi desaku semakin berkuasa; Tok Penghulu Senawi semakin hilang taringnya. Air limpahan kilang dilepaskan ke Sungai Ulu Chempedak. Keruh, pekat dan berbisa. Perwira desa mula membuka langkah silat. Mungkin perundingan di buat untuk mengatasi masalah yang timbul kerana sudah terjejas huma di bendang, sudah mengelupur keli di sungai, sudah pening haruan di petak, sudah mengapai sepat di aur, kerbau pula enggan ke alur.
Setelah berunding demi berunding maka penduduk kampung telah dianugerahkan sejumlah pampasan kerana kerosakan tanaman. Wang tersebut semuanya dikumpul dan terbentuklah sebuah koperasi-Koperasi Pembangunan Kampung Tradisional Tasek (PEKATRA). Bermesyuaratlah pemimpin kampung (yang terdiri dari generasi kedua selepasa Tok Penghulu Senawi) demi mengendalikan wang anugerah dari kilang kertas tersebut atas nama pampasan.
Tampil pula wira-wira kampung, kononnya (termasuk saya) mempertahankan kewujudan koperasi agar tidak di salah tadbir. Juga menuntut untuk dipertahankan tanah-tanah sekitar agar kilang kertas tidak memperluaskan jajahan takluknya kerana kawasan tersebut adalah kawasan kampung. Juga menuntut agar kawasan yang dulunya padang awam supaya diambil alih oleh pihak berwajib dijadikan semula lapangan perhimpunan masyarakat. Tuntuan ‘gagal’ Dan sah dinyatakan di akhir pada tahun 1990an, koperasi ini berkubur atau pun hidup segan (sebab banyak pengendalinya rajin berjual beli) mati belum lagi.
Ku pandang kira, ku pandang kanan ketika berjalan dari sekolah dalam tahun 60an dulu; hutan kelapa, padang perhimpunan dan sungai mengalir jernih.
Suatu hari dalam abad ke 21, ketika berjalan dari sekolah : kilang membesar hingga ke pinggir sungai, laman perhimpunan masyarakt di jadikan (3) buah stor gergasi. Sungguh megah dan bergaya. Aktiviti ekonomi rancak berjalan, pendatang asing berselerak di dalam perut kilang, penduduk kampung menumpang rezeki (yang mula bekerja semenjak kilang dibuka telahpun bersara). Sebuah kilang yang amat megah dan sombong (sesuai dengan peredaran zaman) dipinggir sebuah sungai yang pekat dan menjijikan.. mengalir lesu bersama-sama dengan penduduk asal sekitarnya yang menggigit jari kerana gagal mengejar kelincahan pembina ekonomi desanya.
Juga diberitahu bahawa ada ‘prosedur’ untuk tidak memberi ruang bagi anak-anak desa menumpang ‘belajar’ di sana. Siapa berada di dalamnya (?) atau dibelakangnya (?) yang terus angkuh dan sombong dengan prosedurnya.
…gbpencen… sedih melihat tembok besar di sekitar kampung..
Saya menamatkan perkhidmatan sebagai guru (GSK) menjelang cuti separa semester. Sedikit analisa saya buat selepas PKSR 1. Oleh sebab ianya PKSR maka pencapaian keseluruhan darjah – meningkat. Rata-rata murid Tahun 4 (B) Bijak menguasi nama-nama objek Sains dalam Bahasa Inggeris. Bila ‘diayatkan’ istilah-istilah ini, penguasaan perbendaharaan kata mereka mula merosot tetapi kefahaman mereka masih ada. Sebahagian murid Tahun 5 (A) Bestari menguasai semuanya, kerana mereka dari kalangan murid yang beribubapakan golongan sederhana. Murid yang berwariskan golongan ‘istimewa’ penguasaannya seperti tahap murid 4 Bijak (di atas)…. juga. Manakala murid dari Tahun 3 (B) Bijak sedang bermain-main dengan perbendaharaan kata Sains dalam Bahasa Inggeris namun (dengan sedihnya.. ) tidak lama lagi mereka akan beransur-ansur meninggalkan perbendaharaan kata bahasa ini DAN pada tahun 2012 mereka akan menjawab soalan UPSR Sains ( BUKAN science) dalam Bahasa Melayu (tapi boleh pula / juga jawab dalam Bahasa Inggeris (?) )
Hakikatnya ianya akan dimansuhkan. 10% gaji guru mengajar PPSMI juga akan dimansuhkan (?) (guru-guru bolehlah mula membuat ‘kira-kira’ apabila isentif ini dimansuhkan)
Tidak juga sia-sia selama ini saya bergelumang dalam Bahasa Inggeris. Sebelum ini saya juga termalu-malu untuk menggunakannya. Walhal bukannya susah untuk menguasai komunikasi bahasa ini di sekolah kerana darjah kemahiran berbahasa murid juga masih di tahap awal. Saya tidak dapat menafikan bahawa ‘menguasai’ Bahasa Inggeris akan dapat membantu kita dalam banyak aspek.
Oleh yang demikian, pada anak-anak murid kita, ada atau tiada PPSMI ini pada mereka, sama saja. Mereka akan tetap meneruskan kepatuhan mereka (dengan resmi mereka) untuk berlajar seperti sekian kalinya. Proses berlajar mereka akan tetap sama. Yang menjadi ISU sebenarnya ialah dari dikalangan cerdik pandai, orang politik, pemimpin NGO dan sebagainya. Murid pandai, murid bodoh tetap ada. Guru rajin, guru malas tetap ada. Murid yang boleh sememangnya boleh, murid yang tak boleh memang akan diperkatakan oleh guru sebagai murid yang tak boleh. Akan tetap juga ada murid yang dapat 5A dan ada yang dapat 5E dan ada murid (jarang-jarang) yang langsung tidak mahu hadir di hari UPSR.
Saya lebih senang mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu kerana dulu pun saya belajar dalam Bahasa Melayu dan dari dulu pun mengajar dalam Bahasa Melayu. Berkembangnya era pendidikan dan komunikasi negara, maka penguasaan Bahasa Inggeris saya turut berkembang juga. Rasanya kalau saya bercakap orang putih, 90 peratus orang putih itu akan faham percakapan saya (walaupun kurang betul).
Matematik akan terus berkomunikasi dengan angka walau apa pun bahasa yang digunakan. Walaupun ianya di dalam Bahasa Inggeris, ianya akan membantu perbendaharaan kata. Selepas ini murid akan selesa tanpa cabaran. Pembelajaran akan lebih bertumpu, kerana hanya belajar Sains / Matematik sahaja: tidak lagi kena belajar Sains / Matematik dan Bahasa Inggeris. Begitu juga dengan gurunya.
Difahamkan P&P Bahasa Inggeris akan di naik taraf lagi. Mungkin ini gelombang naik taraf II kerana sebelum ini 10% insentif kenaikan gaji diberi kepada guru Bahasa Inggeris. Selepas ini golombang ini akan sekali lagi memukul, mungkin 25%, kerana ‘trend’ sekarang semuanya boleh diuruskan dengan perolehan kewangan yang melimpah. Harapan seluruh ‘rakyat’ pencapaian Bahasa Inggeris akan lebih meningkat dari semasa insentif I dulu. Murid boleh menggunakannya sebagai bahasa Komunikasi di sekolah.
Saya berselera sekali untuk mencoretkan mengenai guru Bahasa Inggeris (Isentif 10%) di sekolah rendah. Dan Makmal Bahasa Inggeris yang lengkap juga akan disediakan. Satu lagi penemuan baru dalam era pendidikan negara tentu seronok kita mengikuti perkembangan perubahan ini nanti.
Apa pun perubahan, naik taraf dan sebagainya yang dirangka, murid tetap saya bahagikan kepada 4 kategori : pandai, sederhana, tak pandai, bermasaalah. Adakah mereka ini diberi perhatian yang sewajarnya ? (oleh …… ???) Disinilah asas kejayaan (kot-kot …. kita boleh atau mahu banggakan nanti).
SAYA .. sokong pun tidak, bantah pun tidak, kerana kita semua mesti patuh kepada perubahan yang dibuat (tak boleh tak patuh) tapi sejauh mana kita mengadaptasi perubahan ini demi meminimakan kan murid yang tak pandai dan bermasaalah dan mengotimakan murid yang pandai dan sederhana.
…gbpencen… selalu mendekati murid yang tak pandai dan bermasaalah…
Perubahan struktur rumah melibatkan keseluruhan rumah terpaksa di runtuhkan. Perubahan bilik air supaya lebih canggih (seperti di hotel) melibatkan sedikit ketukan dan turapan semula dengan bahan lebih baik dan bermutu tinggi. Melibatkan struktur akan melibatkan kos, tenaga kerja dsb. Tentunya semua orang sependapat sebegitu.
Dula tiada PPSMI, sekarang ada, kemudian tiada. Dulu belajar SAINS dan MATEMATIK dalam Bahasa Melayu boleh, kemudian tak boleh kemudian BOLEH pula. Apa sebenar yang ada dan apa yang tiada. Apa sebenarnya yang boleh, dan apa pula yang tidak boleh.
Maka berkata-katalah cendikiawan-cendikiawan melayu, cina dan tamil. Maka bermesyuaratlah peneraju utama pendidikan di Malaysia. Maka berhujah lah pemimpin-pemimpin politik (yang kesemuanya ada berkepentingan) untuk survival politik mereka. Maka berdemontrasilah pejuang-pejuang bahasa melayu, bahasa cina dan bahasa tamil. Bergegak gempitalah dunia pendidikan di Malaysia. Yang tidak bersuara ialah guru semacam kita. Terus mengajar membimbing anak bangsa dengan keputusan lalu atau yang mendatang… demi memartabatkan etika perguruan.
Perubahan dalam pendidikan tetap sama tapi tidak serupa. Menjangkau 2012 struktur pendidikan dimana murid yang kini berada di Tahun 3 akan mula distruktur semula sedangkan mereka sudah hampir 3 tahun bergelumang dalam Bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik. Dah pandai mereka ini berjinak dengan Bahasa Inggeris (yang akan dinaik taraf penekanannya) kemudian diajak pula berjinak dengan Bahasa Melayu semula. Penstruktur semula insan seawal umur 9 tahun nampak mudah, sebenarnya tidak mudah untuk dipermudahkan – tidaklah semudah penstrukturan semula Unit PPSMI di Bahagian Kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia (ada ke unit ini di KPM?).
Oleh itu dengan tegas kita harus menyatakan bahawa sebarang perubahan yang di buat dalam alam pendidikan hendaklah berasaskan kepada murid.
Demi pendidikan maka berbillion ringgit sedia dan rela dibelanjakan. Walaupun kerajaan sanggup berbelanja (demi pendidikan masa depan generasi akan datang – iya ke ?) untuk mengubah struktur yang sedia ada tapi kemusnahannya kepada pelanggan kita adalah lebih mudarat. Kemudaratan kepada murid (pelanggan terhormat kita) tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Sebenarnya tiada siapa sangat yang memikirkan kemudaratan kepada manusia-manusia kecil ini. Yang selalu memikirannya ada manusia-manusia yang berada di bilik darjah (insan kecil dan guru-guru mentornya). Tentu ada soalan sumbang yang bertanya (?) Apa mudaratnya. Jawapan yang mudah ialah : sekejap itu, sekejap ini, itu, dan ini, ini dan itu, ianya akan lebih keliru dan haru biru, hijau, kuning, merah dan pelbagai warna yang mewarnai insan kecil ini dan guru-guru mentornya.
Kita tidak sangat memikirkan kemusnahan yang berlaku ke atas struktur PPSMI kerana ianya telah dapat mememberikan impak yang berkesan kepada ekonomi, (bisnes) sekurang-kurangnya (kalau tidak pun ‘kesenangan’) kepada pemain-pemain pekej (bekalan dsb) PPSMI di seluruh Malaysia. Mungkin masih ada pekej yang belum sempat dibekalkan lagi. (?) Semua pemain-pemain ini tidak akan mengalami apa-apa, bekalan dah sampai, LO dah ditandatangani dan habuan atau keuntungan sudah diterima. Nak mansuh ke, nak lingkup ke, nak pandai ke, nak bodo ke, … tidak jadi hal pada i.
Selepas ini akan berlaku lagi tsunami bagi melengkapkan perubahan. Tidak akan terkira banyak aktiviti yang akan berlaku. Semuanya sudah faham. Dari kursus, susunan jadual, perubahan matapelajaran, pencerapan, pemantauan, kajian, penilaian hinggalah ke tekanan. Buku teks, buku panduan, modul, kertas konsep, penulisan buku ringkasan hinggalah ke tugasan pekeranian. Maka tinggallah murid dengan guru ganti, tinggallah bahan ICT yang akan bertukar ganti, tinggallah buku teks lama untuk dihapus kira dan tinggallah Guru Besar yang menunggu sampai jam 5.30 petang menunggu bekalan baru yang akan sampai. Semua terus berlaku berperingkat-peringkat sehingga (menanti) perubahan apa pula akan berlaku pula.
Secara negatifnya bergitulah. Tetapi haruskah kita tidak memikirkan bahawa perubahan besar melibatkan struktur akan memakan korban. Disebabkan itu semua orang akan berkata dan berkata, tak kira siapa tetapi guru yang menurut perintah akan terus mewarnai kehidupan anak kecil di sekolah. Nampak semacam sama, hakikatnya tidak serupa.. sekiranya pengubahsuaian dilakukan setelah mengambil kira kecacatan yang akan berlaku kerana yang sedia ada (Sebelum PPSMI) sudah banyak ‘baiknya’ mungkin hanya satu dua perkara sahaja yang perlu diperlengkapkan, di buang atau di tambah.
Secara positifnya : Berubah lah demi untuk anak kita setelah PPSMI dihina dan dicerca oleh orang yang bijaksana. dan setelah ibubapa (istimewa) puas menggaru kepala. Secara positif juga kita boleh mencongak sejumlah wang yang akan dibelanjakan demi pendidikan yang sentiasa memerlukan perubahan yang kadang-kadang tidak memerlukan perubahan.
Dan akan berlakulah pula Pakej Rangsangan Ekonomi Pendidikan Pemansuhan PPSMI, yang akan menjana ekonomi Pendidikan Malaysia. Ianya telah menjadi sebahagian daripada aspek pemansuhan ini. Kita semua meneruskan doa agar pemain ekonomi dalam pekej ini akan beroleh keuntungan disamping memikirkan juga kemudaratan, kepayahan dan pengorbanan insan-insan yang berada di bilik-bilik darjah. Juga kita menangih bijaksana dari pemain utama dalam perubahan kembali ini.
…gbpencen… boleh mengajar dengan pakai LCD/ICT, boleh juga dengan pakai manila kad dan boleh juga mengajar dengan tidak pakai apa2…