Skip to content

Jamong, Kepala Gajah, galah panjang dan soo mak..ilai

2009 September 4
by Guru Besar Pencen

Saya masih anak-anak pada kira-kira tahun 1958/59.  Seingat saya, saya  tidak berpuasa lagi ketika itu.  Pada masa itu penekanan kepada ibadat terhadap kanak-kanak kurang dititikberatkan (rasanya orang dewasa juga begitu). Saya kenalinya sebagai bulan posa (‘puasa’ ).  Saya tidak pernah mendengar perkataan Ramadhan ketika itu.  Semestinya satu masa yang ditunggu-tunggu semasa  kanak-kanak.

Dewasa ini, amalan puasa amat disenangi oleh kanak-kanak mungkin kerana penekanan yang dibuat oleh ibubapa dan pihak-pihak lain termasuk oleh pihak sekolah; apatah lagi kewujudan sekolah agama rakyat di merata-rata kampung menjadikan penerapan ibadat dan ketuhanan di peringkat kanak-kanak sangat berkesan. Terima kasih ustaz/ustazah….

Menjelang petang saya dengan rakan-rakan sibuk mencari daun kelapa luruh (kering) untuk dibuat jamong. Pada masa itu kampung saya, (Kampung Kepala Gajah) masih belum ada bekalan letrik.  Sebatang jamong akan dinyalakan waktu hendak berjalan (dalam kegelapan malam) ke masjid dan satu lagi jamong akan disambungnyalakan sebelum tiba di masjid. (2) lagi jamong akan disorokkan (supaya tidak diambil orang) untuk digunakan ketika balik nanti. Oleh yang demikian pada setiap petang kami akan mencari daun kelapa kering untuk tujuan itu. Kami memerlukan (4) batang jamong pada setiap hari sepanjang bulan Ramdhan.

Mengunjungi masjid pada setiap malam di bulan puasa menjadi kelaziman saya dan rakan-rakan.  Sampai masjid menjelang sembahyang tarawih.  Kami tidak sembahyang, sebaliknya kami diminta untuk berada di suatu sudut di bahagian belakang makmum yang sedang bertarawih tanpa membuat bising. Ramai rakan-rakan sebaya dan ada juga dikalangan kanak-kanak perempuan.  Ada juga kami mencuri untuk berbuat bising tetapi dalam keadaan berani-berani takut (kepada orang tua-tua).  Jika dibandingkan kanak-kanak sekarang, mereka lebih berani dan kurang menghormati tegahan orang tua-tua. Apabila selesai setiap dua rakaat kami diminta menjerit ‘soo mak ilai’ yang ketika itu saya tidak tahu makna dan tujuannya. ‘Selawat nabi’ itu disahut begitu meriah setiap kali ‘bilal’ mendahuluinya. Tidak seperti sekarang, sahutan selawat begitu lemah sekali (?).

Sambil berselawat rakan kanak-kanak akan menyaksikan aksi wira-wira (pemuda) kampung bermain galah panjang di luar bangunan masjid.  Dipenjuru / hujung garisan (galah) akan diletakkan pelita katak berkuasa minyak tanah (kerosene).  Pelita ini akan di simpan semula di suatu sudut di masjid tersebut (dengan kebenaran) sebelum digunakan semula pada keesokan harinya.  Mereka (yang tidak berbaju) (berkain pelikat yang dicawat) akan menunjukkan aksi perkasa,  di mana mereka berentap dalam dua pasukan.  Kadangkala ada diantara wira-wira ini terpelanting ke dalam parit (jalan raya)yang berair dan naik semula untuk meneruskan perlawanan. Perlawanan agak kasar (merempuh lawan  untuk cuba mengelak dari ditangkap di dalam kawasan permainan) tetapi tidak bising sangat. Mengasyikkan kerana semacam satu pertunjukan. Permainan tersebut juga dikenali sebagai ‘Toi Belah’. Berlanjutan sehingga tamat solat tarawikh.

Tok siak (pembantu masjid) akan mengepam beberapa lampu ‘gasoline’ yang semakin malap memandakan tidak lama lagi juadah (more) akan dihidangkan. Satu lagi daya penarik untuk rakan kanak-kanak mengunjungi masjid di bulan puasa. Juadahnya agak istimewa jika dibandingkan dengan hidangan di rumah. Kalau ‘laksa dihidangkan’, saya dan rakan-rakan mengkategorikannya  sebagai ‘A’. Setelah mendengar nyanyian lagu “boya kapi’ (sebutan kami rakan kanak-kanak) kami pun bersiap sedia duduk sebaris menantikan juadah diedarkan. Lambat laun hidangan disajikan jua.  Kami memang suka berebut-rebut ketika makan. Tiada komplen apa-apa melainkan makan apa yang dihidangkan.  Majlis malam itu berakhir dan kami mencapai jamong untuk dinyalakan di lampu galah panjang yang masih terpasang.

Salakan anjing (dari rumah keluarga cina )di sepanjang jalan pulang  tidak menakutkan kami kerana api dari jamong yang bernyala yang kami bawa sudah pun menakutkan anjing yang menyalak tadi untuk menerkam.  Tanpa basuh kaki pun, saya naik ke rumah untuk tidur. Esok datang lagi.

Ini memperkatakan yang zaman kanak-kanak saya seronok walaupun dalam kepayahan: penerapan nilai agama kurang tetapi kanak-kanak ada rasa hormat dan patuh;  semua ada peranan,  yang kanak-kanak (soo..mak..ilai), yang muda (toi belah) dan yang tua (sembahyang tarawih).  Begitulah istimewa Ramadhan untuk saya, ketika itu.

…gbpencen… masih terbayang abang ke 3, mengimamkan solat tarawih itu,  doanya telah  membawanya dikuburkan di tanah suci. Al fatihah.

MERDEKA yang ku mahu…

2009 August 31
by Guru Besar Pencen

Rasa seronok sebenarnya sudah mula hilang setelah Barisan Nasional (UMNO) kalah di banyak tempat dalam pilihanraya yang lalu.  Sebelum ini pun sudah kelihatan tanda-tanda akan kalah’  Ia dapat dilihat apabila meneliti komen-komen orang ramai terhadap kepimpinan negara setelah Dr Mahathir melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi (Pak Lah).  Bila dibiarkan rakyat berfikir sendiri, maka bermacam-macam rakyat akan berfikir kerana tiada garis panduan dalam pemikirannya. Itulah yang Pak lah lakukan.

Tindakan dan tandukan (tindak tanduk) yang tidak konsisten kepimpinan terbaru ini telah menyebabkan peluang yang terhidang di depan mata digunakan oleh segelintir rakyat untuk memuaskan nafsu serakah yang selama ini (semasa era Tun Dr Mahathir) agak terkongkong.  Banyak bijak pandai politik (dikatakan) telah menggunakan kesempatan dari keluhuran, kealpaan,  kurang perihatin,  kurang ilmu, kurang sensetif, kurang jangkaan dan berbagai kekurangan dari kepimpinan itu untuk menonjolkan kelemahan yang telah lama bersarang dalam politik melayu (UMNO). Perpaduan semakin goyah.

Bendera dipacakkan di kedua-dua belah ‘mud guard’ kereta volvo 240 saya.  ‘Macam kereta menteri’, kata anak saudara saya. Di sekolah pula direntang banyak bendera Malaysia dalam berbagai formasi.  Laungan kemerdekaan begitu bersemangat dalam perhimpunan pagi itu.  Guru Besar (saya) begitu bersemangat sekali.  Apatah lagi murid-murid.  Guru-guru nampak semangat juga.  Ia berlaku disuatu masa di beberapa buah buah sekolah tempat saya bertugas.  Ia juga berlaku di seluruh negara tanpa di arah tanpa di suruh.  Auranya datang sendiri kerana secara sedar atau tidak rakyat merasakan pada masa itu mereka berada di sebuah negara yang selamat … kerana kepimpinannya.

Walaupun sepanjang hari di suruh dan di motivasikan, semakin lama selepas kepimpinan Dr Mahathir bertukar tangan,  aura itu semakin pudar, pucat sehinggalah ke sambutan hari kemerdekaan hari ini yang ke 52.  Puas (jenoh) RTM mempromosikan hari kemerdekaan ini, tambahan pula tiada promosi besar-besaran dari rangkaian tv lain, semangat kemerdekaan ternyata pudar (H1N1 hanya satu alasan).  Sehingga petang menjelang Hari ulangtahun kemerdekaan ini, tiada kereta yang berbendera, kedai pun ada satu dua sahaja yang berbendera, di jalan raya lengang dengan bendera.  Tiada sembang mengenai kemerdekaan, apatah lagi mengenai kepimpinan semasa. .  Keadaan ini sungguh menghantui saya.  Kemenangan di Permatang Pasir mengisi sudut sembang petang tanpa sembang menghargai perjalanan negara sehingga ke tahap ini melalui kemerdekaan. Seolah jasa mereka terdahulu sudah tiada lagi harganya. Seolah-olah ia tidak berlaku apa-apa. Sungguh hambar.

Semua pemimpin politik semakin gah menonjolkan diri untuk berkuasa. Semakin berpengaruh pemimpin cuba mendapatkan sokongan segenap bangsa. Sokongan diperoleh tanpa membuat perhitungan apa-apa, hanya ingin berkuasa termasuk satu Malaysia. Acuan kemerdekaan yang dipersetujui bersama (raja, rakyat peribumi dan rakyat bukan peribumi) telah sewenang-wenang dipersenda dan dipinggirkan kerana ‘sudah tidak relevan’.  Jelas didengar tuntutan demi tuntutan yang memedihkan telinga,  dari orang-orang yang sebelum ini tidak pernah mengeluarkan suara. Namun saya mengangap semua ini satu sasaran yang terbentuk dari gelombang manusia yang tamakan kuasa.

Sebenarnya , sudah sejauh ini kemerdekaan yang kita kecapi, amat jauh bezanya dari semenjak mula merdeka. Pada pandangan saya,  sudah banyak nikmat yang orang Cina perolehi, sudah boleh orang Melayu merangkak menggapai kenikmatannya (walaupun masih ketinggalan), masih selesa orang Tamil sama menimba rezeki di bumi ini dan sesiapa saja yang berusaha akan ada nikmatnya di bumi bertuah ini.  Rakyat terus mahu kehidupan yang aman, sempurna tetapi  mengapa orang-orang politik sebegini rakus untuk merencana kuasa yang lebih mutlak untuk terus membina kerosakan di bumi Allah ini, di  negara ‘sendiri’  (?). Sepatutnya, semua pemimpin kita boleh banyak bersabar dan bersyukur kerana rakyat sudah pun lama bersabar.                                                          

…gbpencen…MERDEKAkan hamba.

2 biji capati, 80 orang murid.

2009 August 27
by Guru Besar Pencen

Sekali (1) saya benarkan, 10 kali mereka akan membalas kebenaran yang saya berikan.  Dan kalau ada guru yang 10 kali saya memberi kebenaran untuk menyelesaikan masalah peribadinya  (semasa P&P) tetapi masih tidak mahu sekalipun dia tidak mahu membantu saya – tentunya saya atau guru itu ada masaalah .  Bagaimana menanganinya juga akan menghadapi masaalah besar juga.

Pagi itu saya menerima sms dari Aa’an (bukan nama sebenar) untuk memberitahu saya (bukan minta kebenaran dari saya ) yang dia akan datang lewat ke sekolah untuk memberi perkhidmatan kepada datuknya yang sedang sakit di rumah.  Kebenaran saya beri,  kerana kalau tidak mendapat kebenaran pun dia akan datang lewat juga – selalunya – dengan berbagai-bagai alasan. Saya berminat untuk mendapat penjelasan lanjut darinya walaupun saya (tahu) akan membuang masa mendengar penjelasan itu.  Ianya nyata tidak menghampakan saya.

Kehadirannya kira-kira jam 10.00 pagi, beliau dengan berhemah sekali datang ke pejabat untuk berjumpa saya. Dia menyatakan yang dia terpaksa membelikan 2 biji capati untuk datuknya yang terlalu teringin untuk memakannya pagi itu.  Terima kasih atas kehadiran anda, itu saja yang dapat saya luahkan namun hati pengurus kecil terasa juga kehibaannya, kerana sudah hampir 3 jam Aa’an meninggalkan murid-murid di kelasnya (walaupun berjadual ganti)

Dapatkah diganti 2 biji capati dengan (2) kelas murid-murid dengan seramai (80) orang ramainya ?  Saya terus membuat pengiraan matematikal : (2) capati, (80) murid, RM50.00 gaji dalam masa 3 jam, 3 jam meninggalkan kelas, 2 orang guru ganti, 55 rasa hati guru dan (1) orang pengurus yang tidak sampai hati.  Hanya semata-mata untuk menepati keinginan capati,  juga rasa hiba di hati kerana tidak dapat menepati tuntutan 80 orang murid yang hadir (dihantar oleh waris, yang tak sempat makan pagi, yang meggalas beg yang berat) dengan penuh harapan. Wajarkah saya dan wajarkah Aa’an memainkan sandiwara ini ?

Ianya sekadar cerita renungan … di perhatikan ada diantaranya yang telah membudayakan berbagai-bagai budaya demi untuk keselesaan diri semasa P&P sedang berjalan.

…. kepada guru-guru semua  –  bagaimana (?) untuk mengimbangkan antara, urgent, importan dan KIV. Kalau urgent, tentunya tidak dapat dielakkan dan kalau selalu sangat urgent tentunya kita ingin bertanya  bagaimana kita menguruskan masa pada waktu petang (untuk guru yang mengajar pagi), Kalau important, tidakkah  ada  alternatif  lain untuk mengatasinya  dan kalau boleh di KIV,  tentunya boleh dilakukan pada waktu pagi (oleh guru-guru yang mengajar petang) – dan sebaliknya.  Kalau ….

…kalau … kalau keutamaan menjadi tugas, kalau tugas menjadi tanggungjawab dan kalau tanggungjawab menjadi kewajipan semuanya masih boleh diuruskan dengan baik melainkan kepada guru yang ada masaalah atau ada masaalah besar atau guru yang tidak dapat menyelesaikan masaalahnya secara bijaksana.  Saya pernah dengar depa (orang bijaksana) berkata : ‘guru rajin mencari jalan, guru malas mencari alasan’ (saya rasa betoi kot). Kegagalan guru-guru kita menguruskan perkara-perkara ini lah …

yang menjadikan sekolah kita… dipandang sebagai bermasaalah dalam melaksanakan P&P.  Jika hebat manapun Guru Besarnya beliau masih memerlukan guru-guru yang lebih hebat untuk membawa benderanya bersama dengan kapal yang dinakhodainya.   Sekolah akan dipandang sebagai tempat semua pihak (mengambil kesempatan) untuk mencari kelemahan walaupun dicelah-celah kelemahan yang sedikit itu masih ada ruang-ruang kejayaan.  Juga kita  di sekolah telah membuka peluang kepada banyak pihak memperlekehkan kita dan kita sesama sendiri  dengan kita sering tidak mengoptimumkan kerjasama bagi mencapai inspiriasi sekolah atau nakhodanya. Akhirnya sekolah berjalan seperti biasa juga dengan onak dan duri ada di merata-rata yang mana masing-masing berjalan dan berdangdut untuk mengelak duri-duri yang terbina.

..gbpencen…menari rentak ‘zapin’ (bukan berdagdut) untuk mengelak onak dan duri