Skip to content

Lawatan mengejut yang tidak terkejut.

2009 May 9
by Guru Besar Pencen

Terima sms dari seorang guru di awal pagi Sabtu minta baca akhbar Berita Harian.  Kemudian bertalu-talu panggilan telefon dari para pegawai di Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) yang memberitahu bahawa Timbalan Menteri Pelajaran (ketika itu) Dato’ Noh Omar akan membuat kunjungan mengejut ke sekolah saya. 

Saya minta diri dari sepupu saya kerana tidak dapat membantunya menguruskan kenduri perkahwinan anaknya kerana ada urusan mustahak di sekolah. Saya terus ke sekolah untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

Sampai diperkarangan sekolah saya dapati halaman perhimpunan dalam keadaan bersih, kantin dengan kerusi dan mejanya teratur.  Saya berpuashati dan terus naik ke pejabat.  Ketika itu saya sudahpun mengetahui bahawa berita akhbar menyatakan , setelah seminggu sekolah dibuka, 4 orang murid dari satu sekeluarga tidak dapat hadir ke sekolah kerana kesempitan hidup.   Sebelum ini, kaunselor sekolah saya telah memaklumkan kepada saya perkara tersebut dan kami bercadang akan mengunjungi keluarga tersebut pada minggu ‘hadapan’

Dengan penuh tanggungjawab, guru yang sms saya (cg Azlan),  PK HEM (Pn Rahmah) dan kaunselor (Pn Faridah) tiba di sekolah.  Saya mangaturkan satu persatu tugas untuk mereka laksanakan bagi menyediakan dokumen yang mungkin boleh ‘dipersembahkan’ kepada menteri nanti. 

Apa yang sepatutnya ada, semuanya dirasakan ada.  Apa yang sepatutnya dibuat dan diambil tindakan, rasanya tiada yang ketinggalan.  Kami sedia berdepan dengan apa saja situasi.  Seorang demi seorang  pegawai dari unit HEM, JPN datang ke sekolah.  Masuk ke pejabat dengan berbagai-bagai andaian.  Mereka ‘menasihatkan’ saya bagaimana cara untuk berdepan dengan seorang menteri yang raut wajahnya ‘cengea’ (garang).  Dokumen demi dokumen di semak.  Surat demi surat di minta oleh pegawai-pegawai yang datang.  Satu demi satu fail saya keluarkan.  Saya jawab semua soalan yang dikemukakan. Terasa juga, susah sangat ke nak jumpa menteri ni..

Salah seorang pegawai unit HEM menyusun ‘script’  bagaimana kata-kata yang sepatutnya saya ‘ayatkan’ bila berjumpa menteri nanti.  Hati kecil saya yang jahat ni pun berkata-kata juga ” dia tahu ke apa menteri nak tanya saya nanti ” (macam-macam ada) Saya hanya berkata  ‘Saya akan menyatakan yang benar.. kalau salah, salah lah, kalau benar, benarlah”

Beberapa salinan dokumentasi telah siap untuk persembahan.  Kamera sekolah telah diganti beteri baru oleh cg Azlan. Zohor sudah semakin matang.  Jam 4.00 petang YDP PIBG sekolah saya dan naibnya (menelefon saya) memaklumkan Dato’ Noh Omar  (rakan seperjuangan mereka)  dah hampir sampai.  Berdering-dering bunyi telefon tapi tak sempat saya jawab. Kami menunggu di Auto City (Nasi Kandar Pelita) ;  pegawai JPN menunggu di tol Juru.  . Dato  Noh terus ke Nasi Kandar Pelita.  Saya bersama YDP dan naibnya menyambut beliau di situ.  Beliau mengajak kami ke sekolah. Semua pegawai JPN mengikut kami ke sekolah.

Tn Hj Khalid bin Ahmad (Pegawai Pelajaran Daerah) di sebelah kanan saya, En Rahman (al fatihah .. baru-baru ini isterinya meninggal dunia kerana barah payu dara)  Ketua Unit HEM JPN di sebelah kiri saya. Di depan saya Dato’ Noh Omar, di kanan beliau YDP PIBG (En Md Noor Ahmad – Naib ketua UMNO Bahagian Batu Kawan) dan di sebelah kiri beliau En Wahid,  naib YDP PIBG ( Ketua Pemuda UMNO, Bahagian Batu Kawan).  Tidak jauh dari kami Pn Rahmah HEM dan Pn Faridah.  Cg Azlan sibuk mengambil gambar kenangan. Pemberita dan lain-lain pegawai JPN/ PPD ada bersama di kantin sekolah ketika itu.

Penghujahan bermula : mengikut rekod bantuan kelolaan HEM  : murid-murid ini mendapat semua bantuan sekolah yang sepatutnya mereka dapat.  2 orang anaknya mendapat bantuan KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin).  Bantuan-bantuan lain semuanya diperolehi. Berhutang dengan van sekolah menyebabkan anak keluarga ini tidak dapat lagi menumpang untuk berulang-alik ke sekolah. Mengikut rekod kaunselor menunjukkan “anak ini pernah menyatakan kebencian kepada ayahnya kerana malas bekerja yang mengundang kesempitan untuk keluarga ini menguruskan kehidupan”  – juga rekod-rekod pertemuan kaunselor dengan semua anak keluarga ini. Catatan jadual kedatangan (analisa) menunjukan purata kedatangan mereka lemah.  Analisa keputusan penilaian sekolah juga di dapat di tahap yang tidak memuaskan. (yang berhuruf condong adalah catatan dan salinan yang ada dalam dokumentasi yang dipersembahkan)

Mengapa 2 orang saja yang dapat bantuan ?  Dato’ Noh meninggi suara.  Kerajaan ada duit banyak, kalau dah susah, bagi semua.  Ini yang susah ni, lain yang kerajaan susun, lain pula pelaksanaannya.  Ini lah maklumat tak sampai ke bawah.  PK HEM saya tercengang-cengang

(Sekolah Juru kena potong 40 % murid yang dicadangkan untuk mendapat bantuan KWAMP.  Sampai 200 orang murid yang susah di sekolah Juru ni.  Apa hal ?) Itulah kata-kata yang di taklimatkan kepada semua PK HEM dalam satu perjumpaan sebelum itu.  Bila balik ke sekolah PK HEM mengeluarkan  lebih kurang 80 orang murid dari senarai asal seramai 200 orang itu.  Apa dah jadi ? Menteri kata lain pegawai kata lain.  Menteri kata bagi semua – pegawai JPN kata .. potong 40%.  Pegawai yang bagi taklimat itu (yang buat script untuk saya) telah tiada di kantin sekolah tempat kami berhujah.  Saya teruskan hujah saya – membujur lalu melintang patah. Yang benar tetap benar.. saya tetap yakin tak ada pun yang salah yang sekolah buat terhadap murid ini.

Kunjungan ke rumah keluarga murid ini memberi peluang kepada En Md Noor dan En Wahid (orang UMNO) bermesra-mesra dengan Dato’ (menteri).  RM 500 dihulurkan oleh Dato Noh kepada anak-anak keluarga ini melalui En Wahid untuk membelikan basikal .  Acara terakhir lawatan mengejut Timbalan Menteri Pelajaran ini ialah makan mee udang Juru. Saya di dudukkan oleh En Wahid di sebelah menteri ini.  Dia makan selera sekali. Dato’ berkata kepada saya ….

“‘cik gu,  cikgu tolong buat permohonan khas bantuan untuk murid ini kepada saya, saya akan luluskan .. kalau mereka tidak di sekolahkan juga oleh bapanya,  kita buatkan kes pertama di Malaysia (mengikut akta) kerana  gagal menyekolahkan anak ”

Selepas beberapa hari.. (ni yang syok ni)

1.  En Zahari dan rakannya dari unit HEM PPD datang menziarahi saya.  (untuk …. ?).  Saya membuat pendirian bahawa maklumat unit HEM dan maklumat menteri tak selari.

2.  Cg Azlan kata, pegawai unit HEM JPN marahkan saya kerana tidak mengikut ‘scriptnya’ bila berdepan dengan menteri.  Saya ada cara saya sendirilah, kata saya kepada cg Azlan.

3.  Dalam beberapa perjumpaan,   Pengarah Pelajaran (dalam ucapannya) dengan tegas dan yakin (kononnya) “mengapa di potong-potong bantuan KWAMP ?, berilah semua kepada yang layak”  Saya berkata .. “pulak dahbegitulah kalau kita jadi orang bawah

4.  En Khalid dalam pertemuan itu, bila Dato’ Noh bertanya kepadanya, jawapannya ialah ….. ” PPD akan ‘endorse’ apa yang disediakan oleh sekolah”  Dalam satu perjumpaan di PPD Seberang Perai Selatan, beliau sungguh membanggakan saya.  Dalam ucapannya beliau menyelitkan ” …. kalau menteri tanya saya,  mana saya tau, tapi cg deris,  dia tau … dia jawab,  hebat dia….” .  saya anggap dia profesional bukan sebab dia puji saya, kerana dia berhak berkata begitu kerana dia berada di sebelah saya, di hadapan Timbalan Menteri itu sendiri ketika berhujah, tidak seperti pegawai unit HEM yang melarikan diri semasa penghujahan dan Tuan Pengarah yang tidak berada di situ pada ketika itu. (mungkin mendapat maklumat dari pegawainya sahaja)

Terima kasih semua.

Akhir sekali En Wahid membawa Dato’ Noh menyaksikan ‘program pengenalan permainan Paint Ball’  Pemuaa UMNO Bahagian Batu Kawan, di Kampung Sungai Semilang, Juru. Dato’ Noh beredar kira-kira jam 6.00 petang. Itulah.. Politik dan Pendidikan tak dapat dipisahkan, sambil menyelam minum air atau (?) membuang air.

…gurubesarpencen …… pukul 7.30 baru pergi meraikan kenduri kahwin anak sepupu

dari SITC ke UPSI

2009 May 5
by Guru Besar Pencen

Bila emak mertua menumpang kereta anak saya untuk menziarahi anaknya (polis) yang koma dilanggar penjenayah (Harian Metro 30 April)  (?) di Hospital Besar, Kuala Lumpur, saya terpaksa menumpang lori kilang tempat saya bekerja untuk ke sana.

Setelah selesai pemandu lori itu menurunkan 1136 biji bantal di ‘Top Ten’  (baru di buka) di pekan Tanjung Malim, kami menuju ke Rawang tempat pemandu lori itu akan bermalam,  sementara menunggu tugasnya yang  akan di sambung keesokan harinya.

Ketika lori bergerak meninggalkan pekan Tanjung Malim, saya sempat memerhatikan bangunan UPSI (Universiti  Pendidikan Sultan Idris) yang cantik.  Dari tingkap lori, di celah-celah rimbunan pokok teduhan saya sempat melihat bangunan asal SITC (Sultan Idris Training Collage).  Walaupun saya tidak menuntut di situ, sebagai seorang guru ‘lama’ sudah tentu ia akan meninggalkan kenangan terhadap ‘nama besar’ itu.

Arwah abang saya, seorang bekas penuntut di SITC sekitar hujung tahun 50’an. Beliau mengakhiri tugasnya sebagai Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Alma di Bukit Mertajam.  Beliau sering menceritakan pengalamannya di SITC yang selalu membuatkan hati saya sentiasa memberontak untuk menjadi seorang guru.

Gambarnya bersama sebuah ‘saxsophone’ sudah cukup menceritakan bagaimana germbiranya ketika beliau menuntut di sana.  Apa yang sangat menjadi ingatan saya ialah ceritanya bahawa ..

… di SITC pada masa itu ada banyak papan hitam yang di gantung di dinding Dewan Besar.  Guru pelatih akan diminta untuk membuat latihan menulis di papan hitam itu.  Ianya adalah salah satu aspek yang dinilai dalam latihan perguruan di situ….

‘Black board work’ adalah satu mata pelajaran yang di titik beratkan dalam latihan perguruan pada masa itu. Oleh yang demikian, semasa di awal persekolahan saya,  kebanyakan guru pada masa itu mempunyai tulisan yang cantik.  Bukan sahaja di papan hitam, bahkan tulisan mereka sama ada di buku atau pun di lebel-lebel sekolah.  Ia juga termasuk tulisan ‘jawi’ dan tulisan sambung yang diajar secara khusus di awal darjah 4.

Tulisan mereka menjadi inspirasi kepada murid-murid ketika itu untuk ditiru (dicontohi).  Arwah abang mengajar saya di darjah satu (1958) ; beliau sering memegang tangan saya untuk membentuk tulisan saya. Sebelum P&P bermula dia akan berdiri dihadapan kelas bersama bakul sampah dan sebilah pisau belati untuk mengasah pensel murid-muridnya.

Semasa saya di maktab perguruan (DTC Penang 1971 – 1972),  sememangnya tiada latihan khusus untuk menguruskan papan hitam.  Sehingga sekarang pun tiada latihan sebegitu.  Maka dengan itu bermulalah episod duka tulisan murid dan guru.  Sungguhpun begitu saya berazam untuk sedaya upaya memperkasakan pengurusan papan hitam bilamana saya berada di bilik darjah.

Ada guru yang menggunakan keseluruhan papan hitam untuk membuat contengan demi memperkukukah P&P masing-masing; ianya sudah tentu mengelirukan murid.  Terdapat guru yang menggunakan keseluruhan papan hitam untuk membuat tulisan yang besar-besar.  Oleh sebab papan hitam digunakan sebagai medium untuk diadaptasi oleh murid ke dalam buku latihan mereka, maka tulisan, coretan atau apa saja yang dipapar di papan hitam sepatutnya mencerminkan ‘model’ untuk dicontohi. Secara ringkasnya ada diantara guru mengabaikan kekemasan ‘blackboard work’ dengan berbagai alasan; salah satu darinya ialah “penumpuan utama ialah .. kebolehan akademik …”

Bermula dengan kekemasan penataan tarikh dan hari secara standard hingga kepada pembahagian ruang untuk membuat catatan.  Bermula dari bentuk dan membentuk abjad, hingga kepada ejaan dan bentuk grafik tulisan guru (tulisan saya pun banyak ejaan tak betul).  Bermula dari membuat garisan tepi papan hitam hingga tanda titik, koma dan lain-lain tanda bacaan. Bahagikan papan hitam kepada beberapa ruang sebelum menulis, ia akan kelihatan lebih tersusun.  Semuanya hendaklah dianggap sebagai merangkumi bidang yang harus dididik kepada kanak-kanak kerana naluri mereka yang mudah meniru.

Ramai diantara kita (guru) masih jauh lagi perjalanan dalam urusan mendidik kanak-kanak ini.  Oleh itu saya merasakan semua kita perlu berubah.  Selain akademik yang menjadi tumpuan (keutamaan), aspek didikan dalam bentuk ‘sebegini’  atau ‘yang lain’ juga agar tidak diabaikan.  Terlalu banyak pengabaian dalam aspek  – selain dari akademik lah,  yang menyebabkan kekalutan boleh diperolehi dengan mudah di mana-mana saja dalam dunia persekolahan kita.

Tanya Guru Besar anda, bolehkan kita berubah .. kita bertukar dari papan hitam ke papan putih & dari kapur putih ke pen ‘white board’ (??)

… perjalanan saya diteruskan dengan menaiki KTM Komuter dari setesen Rawang ke KL Sentral, dan terus ke bilik ICU hospital Besar Kuala Lumpur. Hari ke 6, mangsa masih koma. 

…….gurubesarpencen, teringat cerita arwah abang yang Awang Had Salleh bermain gitar bersamanya dalam pancaragam SITC.

Terup Keling & ‘terbalik court’

2009 April 27
by Guru Besar Pencen

Begitulah antara ungkapan-ungkapan yang seringkali kita temui dalam perbualan harian sesama kita. Begitu lumrahnya penggunaan bidalan moden ini sehinggakan kebanyakan orang menterjemahkannya sebagai keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada seseorang. Ataupun sebagai keputusan yang tidak diharapkan oleh sesorang.

Dalam perbualan seringkali ungkapan ini digunakan apabila sesuatu situasi itu berlaku sebaliknya, iaitu tidak seperti yang diharapkan. Dari mana asalnya ungkapan ini? Adakah anda mempunyai cerita di sebalik ungkapan ini? Tentu ada. Tetapi saya ada cerita yang menceritakan makna sebenar (pada hemat saya) terbalik court. Saya amat pasti maksudnya berlainan dari maksud ‘anda’.

Ikutilah ceritanya.

Beberapa orang guru ‘luar’ yang mengajar di sekitar Kampung Pengkalan Baharu, Pantai Remis banyak menghabiskan masa dengan menjalin persahabatan dengan orang muda tempatan. Kami banyak menghabiskan masa yang terluang bersama mereka kerana kami semua di perantauan. Ketika itu (sekitar tahun 70an) kawasan tersebut masih terpinggir terutama dari segi kemudahan bekalan letrik.

Permainan daun terup (card) yang dipanggil “Terup Keling” diperkenalkan oleh rakan-rakan tempatan kepada kami. Dari 52 daun kesemuanya, daun 2, 4,5,6 dan 7 (dari setiap bunga – lekokok, spead, kelawar dan diamond) tidak digunakan. Baki 32 daun diagihkan kepada 2 pasang pemain (4 orang). Setiap daun mempunyai nilai mata dari 50 (untuk daun 3) hingga ¼ (untuk daun *)

Pemain giliran pertama akan memulakan permainan dengan menyembunyikan satu daun tanpa di ketahui bunga dan nilainya oleh lain-lain pemain termasuk rakan pasangannya. Pemain akan menurunkan daunnya mengikut daun yang diminta oleh pemain sebelumnya. Beliau akan cuba ‘memotong’ nilai daun pemain tersebut untuk memenangi pusingan tersebut. Rakan pasangannya akan membantu sekiranya dia gagal.

Sekiranya pemain tidak mempunyai daun yang diminta, beliau boleh ‘memotong’ dengan meneka daun yang disembunyikan oleh peneraju awal yang memulakan permainan tadi. Tiada siapa boleh melihat daun yang cuba diteka itu melainkan ‘pemain yang meneka tadi dan peneraju awal’ sahaja. Sekiranya betul, daun yang disembunyikan dan daun yang diteka akan dihebahkan. Bunga daun tersebut akan digunakan sebagai bunga yang paling berkuasa dalam pusingan itu untuk memotong daun-daun lain. Pasangan yang mempunyai banyak daun berbunga tersebut semakin berkuasalah mereka dalam pusingan itu.

Tentunya tuan tidak begitu faham, melainkan memainkannya. Yang dapat diceritakan ialah ia satu permainan yang amat mengasyikkan.

Sekiranya pemain yang tidak mempunyai daun yang diminta tadi memainkan semula daun yang dikatakan ‘tiada’ tadi… maka pemain lawan boleh menyebut ‘court’ sebagai bantahan kerana pemain tadi telah melakukan penyelewengan dan hukumannya, pemain lawan akan menang keseluruhan pusingan itu. Tetapi sekiranya didapati pemain tersebut tidak bersalah, maka pemain lawan boleh menyebut ‘terbalik court’ dan kemenangan mutlak kepada pasangan yang dituduh menyeleweng tadi. Penentuan dibuat melalui semakan daun-daun yang telah dimainkan. Pemenang akan memperolehi mata berganda.

Satu lagi situasi yang boleh di courtkan ialah semasa permaian berjalan, pasangan pemain yang membuat semakan secara senyap mendapati pasukan mereka telah terlebih dahulu menguasai keseluruhan permainan dengan baki daun yang ada ….. mereka boleh menyebut perkatan ‘court’ . Setelah semakan dibuat, jika betul pasangan mereka sudah menguasai, maka kemenangan akan memihak kepada pasangan itu dengan mata yang diperolehi adalah 3 kali ganda. Jika berlaku sebaliknya pula maka hukuman ‘terbalik ‘court’ akan dilaksanakan. Oleh itu perlulah berhati-hati untuk menyebut ‘court’ atau ‘terbalik court’

Bukanlah hasrat saya untuk mengajar permainan ini kepada pembaca blog ini, sekadar menyatakan asal usul ungkapan (yang kita boleh juga dipanggil sebagai istilah) yang kita sering gunakan dalam perbualan harian kita. Saya yakin asal ungkapan itu adalah dari permainan ‘terup keling’.

Permainan Terup Keling ini kononnya berasal dari Pulau Pinang, dimainkan oleh pendatang India muslim disekitar masjid Kapitan Keling. Satu ketika dulu mereka juga jauh di perantauan dan menghabiskan masa lapang dengan bermain terup sebegini. Akhirnya permainan yang mereka mainkan diberi gelaran ‘Terup Keling’ oleh pemain tempatan. Ketika bermain , mereka langsung tidak dibenarkan bersuara; sanggup bergaduh kalau mengeluarkan suara , melainkan selepas tamat satu-satu pusingan. Mungkin juga kerana permainan ini dimainkan secara berpasangan,

Beza pula dengan kami, riuh rendah dengan bersenda-senda. Sungguh menghiburkan dan menjadikan persahabatan kami amat akrab ketika itu.

Nama besar yang turut sama berhibur bersama kumpulan ‘terup keling’ kami ialah Dato Haji Hamdi bin Abu Bakar, (kelakar sungguh dia), ADUN Pengkalan Baharu yang baru dilantik sebagai Pegawai Khas Kerajaan BN Negeri Perak sekarang (ketika itu beliau mengajar di SMK Dato Idris, Pengkalan Baharu). Salam YB Hamdi.

Ramai sungguh anggota peminat Terup Keling’ ini, antara nama-nama kecil pula ialah abang Haji Hamdi, Hj Zainal Abidin Mustafa yang juga pemain ‘bass guitar’ kugiran guru-guru Pantai Remis (sekarang beliau menjadi Tok Sidang Kampung Pengkalan Baharu) , pemain ‘lead guitar’ Abdullah Sani bin Kassim yang pernah bermain (sambil mengembara) bersama wayang Tok Kong Cina (ayahnya bekas Tok Sidang Pantai Remis, sekarang beliau menjadi bilal masjid Pantai Remis), pemain ‘rytham guitar’, cg Salleh Ibrahim (ingin benar saya temui) berasal dari Jalan Bendahara, Alor Setar dan cg Osman Jantan (juga ingin saya temui) dari Negeri Sembilan bersuara lunak, penyanyi kugiran guru-guru Pantai Remis…. Dan saya, pemain dram tidak berbakat kugiran itu ….

(cadangan untuk menamakan kugiran itu sebagai Kumpulan Terup Keling di tolak oleh semua anggota, kecuali saya…)

… gurubesarpencen… cari geng nak main terup….