Hujung minggu lalu saya sekali lagi menziarahi adik ipar saya di KLGH. Telah lebih sebulan dia koma akibat rempuhan kereta ketika pulang dari bertugas pada tengah malam 26hb April yang lalu. Walaupun tidak dapat dibuktikan, tetapi disyaki perempuhnya ialah bertujuan melakukan jenayah terhadapnya atau orang lain (silap orang).
Selepas saya menziarahinya, saya sempat ke Kampung Baru (KL) untuk memohon penawar (untuk adik ipar saya) melalui perubatan ‘Darul Syiffa’ yang terkenal itu. Petang itu juga, ustaz yang membekalkan air penawar kepada kami turut berkunjung ke unit Kaji Saraf, Hospital Kuala Lumpur untuk merawat adik ipar saya yang masih koma itu. Baiknya hati budi ustaz itu.
Sambil menyaksikan dia bergelut dengan keadaan koma dalam keadaan fizikalnya yang kekejangan, saya membayangkan tiga (3) perkara.
Pertama, kesetiaan isteri adik ipar saya mengasuh suaminya. Menjalankan fisotrapi seperti yang diajarkan oleh jurupulih anggota hospital pada setiap hari. Tidak berhenti-henti ‘memanggil abang’ dengan harapan suaminya akan bersuara. Telah bersedia mengikut arahan doktor untuk membawa balik suaminya ke rumah (apabila peralatan untuk rawatan di rumah dibeli) dan bersabar sehingga suaminya ‘sedar’. Sentiasa redha bahawa, doktor tidak akan berbuat apa-apa lagi melainkan menunggu saat suaminya sedar.
Kedua : Saya membezakan hati perut perempuh dengan hati perut ustaz dari Darul Syiffa. Ibarat langit dengan bumi. Perempuh mempunyai tekanan tersendiri untuk mendorongnya berbuat demikian. Kita juga boleh membuat andaian sendiri, apa tekanan yang ada pada diri perempuh tersebut. Saya bayangkan tekanannya ialah ‘kebendaan’. Setiap orang akan melakukan apa saja untuk memenuhi kehendak meterial masing-masing. Ustaz tidak mempunyai tekanan apa-apa, hanya untuk berkhidmat untuk makhluk ‘kerana’ Allah dengan ikhlas, semoga hambanya akan dapat kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Perempuh sanggup menyiksakan orang dan ustaz tidak sampai hati melihat orang tersiksa. Banyak iktibar saya peroleh dari pengkisahan tersebut.. termasuk .. biras saya sudah bertudung sekarang ini.
Ketiga : Pangkal leher adik ipar saya ditebuk oleh doktor untuk memasukkan tiup bagi mengeluarkan kahak dari dalam kerongkong / dadanya. Sampai masa mesin khas itu akan di aktifkan untuk mengepam keluar kahak bagi memudahkan dia bernafas. (Mesin itu harus dibeli bila adik ipar saya di bawa pulang ke rumah nanti) Mengapa ada banyak kahak. Saya bertanya dan saya sendiri menjawabnya kerana saya tahu jawapannya. Sebabnya ialah ‘ dia seorang perokok’. Saya juga seorang perokok. Seorang perokok akan mengalami keadaan yang sebegitu apabila jatuh sakit. Kahak akan berkumpul di dalam paru-paru yang sudah lemah kerana sakit. Lanjutan dari itu akan menjurus kepada ‘paru-paru berair’. Semasa kita masih aktif , paru-paru dapat mengepam dengan agak baik. Ia membuatkan kita selesa untuk bernafas.
Oleh yang demikian, ambil iktibarlah wahai perokok-perokok sekalian .. apabila anda jatuh sakit, kerongkong anda akan ditebuk dan …
(terlalu banyak seksaan dunia untuk seorang perokok apa bila sudah jatuh sakit)
(perokok – semasa sihat bergaya (kononnya) .. semasa sakit ..)
….gurubesarpencen…. saya (seroang perokok yang belum mahu insaf) sedih menyaksikan abang (juga seorang perokok) pergi buat selama-lamanya.
Jumaat ini berakhir pengalaman pertama saya sebagai guru GSK (Guru Simpanan Kebangsaan). Penamatnya ialah PKSR (Penilaian setangah tahun). Telah lama saya tidak menggubal soalan tapi tidaklah sekekok mana bezanya menyediakan soalan sains dalam Bahasa Inggeris merupakan pengalaman pertama. “Bolehlah tu.. ” komen seorang guru di atas penyediaan kertas soalan sains tahun 5. Hanya memilih dan menyalin soalan dari buku aktiviti, manakala ejaan Inggerisnya disemak oleh komputer.
Walaupun tanpa 10% tambahan gaji kerana mengajar sains dalam Bahasa Inggeris, saya telah menerima cabaran itu untuk memperolehi gred A dalam pengajaran saya (akhirnya saya menggredkan pengajaran saya ‘C’ sahaja) .
Benarkan murid boleh menjawabnya dalam Bahasa Inggeris?, jawapannya – boleh ; sekiranya soalan mereka fahami atau mereka dapat membayangkan kehendak soalan (objektif) dengan melihat ‘terms’2 yang telah diberi penekanan semasa pengajaran.
Bolehkah murid memahami soalan ? jawapannya – boleh, yang perlu dilakukan ialah dengan memberi penekanan kepada bentuk soalan dengan meningkatkan perbendaharaan kata. Begitulah dengan soalan sains Bahagian ‘B’ yang memerlukan murid menjawab dengan menulis dalam Bahasa Inggeris .. tapi boleh pula tulis dalam Bahasa Melayu. Kesimpulannya murid boleh menulis sekiranya mereka diberi tekanan untuk mengusai beberapa aspek yang dinyatakan di atas.
Buku teks dan buku aktiviti yang disediakan untuk tujuan pembelajaran PPSMI sains sememangnya lengkap. Pengetahuan guru dalam bidang sains dengan mempunyai sedikit asas penguasaan Bahasa Inggeris akan melengkapkan proses P&P.
Habis ! apa yang menjadi masaalah dan pertikaian yang tidak berkesudahan selama ini ?
Pada hemat saya :
1. Setengah pihak merasa terhina disebabkan PPSMI” dikira telah merendahkan kemampuan Bahasa Melayu yang mahu dijadikan bahasa ‘ilmu’ dalam negara tercinta ini – seingat saya, memang disuatu masa dahulu ada usaha yang bersungguh-sungguh dari pihak kerajaan (Dewan Bahasa dan Pustaka) untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu termasuk dalam matapelajaran sains. Antaranya menterjemahkan buku sains dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu. Sekarang lain pula jadinya.
2. Tujuannya murni, perlaksanaanya telah mengundang perkara-perkara yang tidak dijangka sebelum itu. Guru kurang kemahiran menguasai Bahasa Inggeris hingga memaksa beberapa program tambahan diwujudkan. Program tersebut (terpaksa) diwujudkan semasa PPSMI sedang rancak dilaksanakan. Rata-rata merasakan seolah-olah ianya sebagai program yang dirancang secara tergesa-gesa tanpa kajian dan persediaan yang menyeluruh. Ianya semakin bergelora.
3. Sains bukanlah satu matapelajaran yang ‘susah’. Murid boleh memahami sains tetapi tidak boleh menguasai Bahasa Inggeris (sebab dalam pengajaran matapelajaran Bahasa Inggeris sendiri masih menjadi masaalah). Oleh yang demikian, dalam satu masa – guru mengajar sains, dan dalam masa yang sama pula terpaksa mengajar Bahasa Inggeris. Juga dalam masa yang sama guru (mahu tak mahu) kena menjadi penterjemah Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu.
4. Apa yang sedang berlaku ialah, guru terus mengajar dan ahli politik pendidikan terus berpolitik. Pembekal terus membekalkan peralatan canggih ICT dan memberi perkhidmatan memantapkan peralatan yang semakin hari semakin ‘pupus’. Pemimpin pendidikan terus membuat kaji selidik dan analisa dari semasa ke semasa. JPN dan PPD sibuk mengirim surat ke sekolah untuk membuat pemantauan ke atas guru. Guru Besar terus menyuruh guru mengajar dalam Bahasa Inggeris dan bila UPSR jawab dalam Bahasa Melayu. Guru tetap seorang guru yang menurut perintah. Ibubapa terus tercari-cari arah.
5. Murid terus belajar. Keputusan yang dibuat oleh ahli politik pendidikan, pembekal dan penyelenggara ICT, pemimpin pendidikan, kepimpinan JPN dan PPD, kepimpinan peringkat sekolah, terus di patuhi. “Apa pun kami mesti terus belajar Sains dalam Bahasa Inggeris” kata murid-murid.
6. Analisa peperiksaan dihantar ke pihak atasan, PPD atau JPN hatta ke Kementerian Pelajaran untuk membuktikan kejayaan dan keberkesanan PPSMI. Kita turut bangga dengan pencapaian yang baik itu TETAPI pernahkah dibuat analisa mengenai bekalan ICT yang tidak digunakan; peralatan ICT yang terbiar : dan apakah sebabnya
Hari ini saya telah selesai menyemak kertas jawapan sains murid Tahun 4 dan 5. Soalannya berkisar dengan apa yang mereka pelajari bersama saya. Rata-rata menunjukan peningkatan dibandingkan dengan ujian yang terdahulu. Saya tidak menganggap ianya satu kejayaan kerana murid telah terlebih dahulu saya sogokan dengan bentuk soalan demi untuk melengkapkan konsep ‘we’re exam orinted’ (yang masih menjadi igauan sehingga ke saat ini)
Saya hanya berbangga kerana saya berjaya mengawal situasi untuk menjadikan pembelajaran sains dalam bahasa Inggeris adalah sesuatu yang menyeronokan mereka (murid). Mereka selesa di bilik yang kondusif. Faham apa yang ingin saya sampaikan. Suka dengan telatah dalam ketegasan saya dan yang antara mereka paling suka – jumlah markah yang mereka perolehi meningkat dari ujian lalu.
terima kasih, cik gu.
…gbpencen …… dah tua, baru belajar sains dalam Bahasa Inggeris. Baik untuk saya.
Sebaik saja perwatakan saya dikenali sedikit sebanyak oleh warga sekolah dan penduduk setempat, saya telah dilantik menjadi setiausaha Persatuan Ibubapa (sekitar awal 70an). Ketika itu belum lagi dikenali sebagai Persatuan Ibubapa dan Guru. Guru mentor saya ialah allayarham cik gu Saad bin Dahaman. Salah satu aktiviti persatuan ialah menganjurkan pertunjukan pentas untuk mengutip derma.
Saban tahun aktiviti itu menjadi kemestian. Tiada ada apapun bantahan ketika cadangan untuk mengadakan pertunjukan pentas dibincangkan. Semua AJK mengiyakan saja, tanda kata ; bukan saja merestui tapi sudah siap sedia untuk memberi kerjasama.
Boleh dikatakan kawasan Kampung Panchor itu agak pendalaman ketika itu. Tiada bekalan letrik dan jarang-jarang penduduk kampung memiliki peti televisyen. Pertunjukan pentas merupakan aktiviti kemuncak dalam kategori hiburan di kampung itu. Secara tersiratnya Persatuan Ibubapa lah yang dipertanggungjawab untuk mengendalikanya.
Saya menemani cik gu Saad untuk merayau-rayau mencari ‘host’ untuk pertunjukan pada tahun itu. Saya ajukan cadangan agar Ghazal Parti Sungai Bakau di jadikan ‘host’ pada tahun itu. Cik gu Saad kurang setuju dengan alasan Pasukan Ghazal itu baru saja mengadakan pertunjukan di sebelah kampungnya. Akhirnya kami bersetuju untuk melamar Kumpulan Orkes Suara Gunung, dari Gunung Semanggul.
Bermulalah langkah kedua saya menimba pengalaman menjadi ‘promoter’ pertunjukan pentas. Saya dibimbing dengan sebaiknya oleh ‘mentor’ saya(yang sangat saya hormati dan kagumi).
Dari urusan surat menyurat hingga ke permohonan permit dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Ipoh. Dari urusan cetakan tiket hingga kepada susunan petugas. Dari mendirikan khemah, hingga ke pada menyusun bangku ‘kelas satu’ untuk penonton di hadapan pentas. Dari penjual tiket, hingga kepada petugas kawalan pagar sekolah. Dari penyediaan ‘janakuasa letrik’ hingga kepada urusan ‘PA System’. Semuanya dibuat dengan kerjasama yang sangat erat dari penduduk setempat.
Dengan penuh yakin, semuanya saya pelajari demi menimba pengalaman baru. Saya menggunakan sedikit sebanyak pengalaman lama (ketika di kampung) bila mana saya diasuh sebagai Setiausaha Persatuan Belia Tasek oleh beberapa orang guru ‘lama’ saya.
Petang itu (menjelang pertunjukan pada malamnya, saya bersama cik gu Saad dengan keretanya (KE 20 – baru beli), ‘pusing keliling kampung-kampung sekitar membuat hebahan melalui pembesar suara mengenai pertunjukan pentas itu. Sungguh seronok; kelihatan anak-anak kampung kegirangan mendengar suara saya menjemput ‘hadir menderma .. sambil berhibur’. Saya (orang muda teruna) sungguh bangga kerana bukan semua orang berpeluang berbuat demikian ketika itu. (kalau difikirkan sekarang …rasa nak tergelak pun ada).
Malam tiba, saya semakin sibuk. Penonton mula tiba, tiket laris dijual dan muzik mula berkumandang. Orkes Suara Gunung memang hebat pada masa itu. Gigih pemimpin orkes itu dengan tiupan merdu seksopfon nya ala P. Ramlee. Berbudi bahasa pula orangnya.
Beberapa orang guru bersama dengan AJK kuasa, penduduk setempat dan para belia juga sibuk. Lampu ‘gasoline’ (minyak sendiri) yang di bawa dari rumah mereka, di pasang di merata tempat. terutama di tempat-tempat strategik yang boleh dimasuki oleh ‘penceroboh’ ke ‘kawasan hiburan’. Kawalan ketat dilakukan. ‘Torch light’ (ubat sendiri) juga di bawa dari rumah. Tiada merungut, dan tiada merenget atas sumbangan yang diberi. Cuma sekali sekala merungut kerana terkena balingan ketul batu oleh budak-budak nakal yang tidak berjaya ‘menceroboh masuk’
Malam semakin larut, saya di bilik urusetia menguruskan tiket yang dikeluarkan, wang jualan tiket dan cukai gerai makanan yang diterima. Jualan tempat duduk khas (di hadapan pentas) juga laris. Semuanya di terima dan dikira untuk diagihkan kepada ‘host’ diakhir pertunjukan malam itu nanti. Di situ hanya diterangi oleh lampu gasoline sahaja kerana semua bekalan letrik di tumpukan ke kawasan sekitar pentas persembahan.
Ramai AJK dan petugas akan sama-sama mengira wang yang diterima. Mereka begitu bersemangat dan gembira di akhir persembahan. Raut wajah mereka begitu bangga kerana berjaya bersama-sama menganjur ‘charity’ untuk sekolah. Juga ada suara-suara yang menyatakan kejayaan penganjuran itu adalah kebanggaan kampung. Ada antaranya yang membandingkan dengan kampung-kampung lain pula.
Gotong royong membersih kawasan, ramai yang turut serta. Ada sedikit jamuan disediakan. Gelak ketawa, se mesra sebelumnya. Dari mula pembikinan sehingga selesai pertunjukan, hanya sekali sahaja mesyuarat .. untuk membuat keputusan, selepas itu akur dan bekerja tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran. Luhurnya budi mereka ….
Saya akan mendokumentasikan kira-kira kewangan dan jualan tiket. Kemudian saya akan ke Ipoh untuk mendapatkan semula wang deposit di Pejabat Duti Hiburan setelah dokumentasi diserahkan nanti. Selepas itu saya bersedia untuk mengadakan pembentangan dalam mesyuarat yang akan datang.
Juga bersedia (selepas beberapa bulan kemudian) menjemput Kumpulan Orkes El Suraya dan Indonesia – dengan lagu nasyid popular mereka ‘selimut putih’ – pak cik Desa (orang tua yang agak miang di kampung itu) pernah berkata kepada saya, selimut putih.. peha pun putih). Kami meneruskan kesinambungan tradisi di sekolah / kampung itu. “sekolah itu kampung ku, kampungku itu sekolah ku” mungkin itulah prinsip yang tersirat kepada penduduk di situ
....gurubesarpencen .. teringat ketika mengendalikan persembahan Kumpulan Budaya Guru-Guru Pulau Pinang (hai.. cg Nasrun & cg Baha) dan Jamal Abdilah mengadakan persembahan di sekolah itu.