Hari ini hari cuti, yang kebetulan semalam saya dimaklumkan ada kematian di Taman tempat saya tinggal. Keletihan malam itu membuat saya ‘set’ untuk menziarahi jenazah pada pagi ini. Bila saya telefon, Hj Hamer yang selalu menguruskan jenazah di Taman saya, memaklumkan bahawa jenazah akan di semadikan selepas solat Zuhur. Ia telah membuka peluang untuk saya berjoggin bersama isteri pagi ini sebelum mengunjungi rumah jenazah.
Tepat jam satu tengahari, jenazah di bawa keluar dari pintu rumah. Ustaz Ilias Zakaria (seorang penceramah bebas yang handal) menyambut mayat di pintu :
Assalamualaikum … wr… (beliau memulakanya)
Hari ini kita menyaksikan berakhirnya satu proses kehidupan ; yang bermula dengan satu kelahiran dan berakhir dengan satu kematian. Terima kasih saya ucapkan (bagi pihak keluarga si mati) kepada sahabat handai dan rakan-rakan yang sama-sama menziarahi jenazah, juga yang telah membantu; baik dengan perkataan, sumbangan maupun perbuatan untuk memandikannya, mengkafan, di bawa ke masjid, disembahyangkan dan seterusnya disemadikan.
Tuan Hj Omar seorang yang sentiasa tersenyum dan pendiam; telah dipanggil untuk berada di sisi Nya seusia 77 tahun. Beliau telah pergi meninggalkan kita semua untuk beristirehat selama-lamanya. Dari zaman kanak-kanak hingga ke zaman remajanya; dari zaman dewasa sehingga ke usia emasnya, beliau telah membuat kebajikan untuk menempatkan dirinya disyurga Allah. Marilah sama-sama kita mendoakan semoga segala amal kebajikan yang dilakukannya akan diterima oleh Allah dengan sebaiknya.
Tuan Haji Omar adalah seorang suami, beliau juga seorang ayah, juga seorang datuk dan juga sahabat, telah meninggalkan kita. Beliau mungkin telah melakukan sedikit sebanyak kesilapan; selain dari kita meredhakan pemergiannya untuk mengadap Allah, marilah kita mengampun dan memaafkan segala kesalahannya. Semoga dengan keampunan dan kemaafan itu akan memudahkan perjalanannya menemui tuhan dan berada dalam syurganya.
Sekiranya beliau ada meminum seteguk air atau menjamah sesuap nasi, sudilah menghalalkannya. Sekiranya beliau berhutang, sudikanlah menghalalkannya atau menuntutnya daripada keluarga terdekat beliau. (ada di antara keluarga si mati mengangguk-anggukkan kepala)
Untuk saya dan semua yang hadir, jadikanlah pemergian Tuan Haji Omar ini satu pengajaran dan latihan untuk kita semua menghadapi kematian nanti.
Marilah kita mengiringi perjalanan keluar dari rumahnya dengan bacaan Al Fatihah sebanyak tiga kali, yang pada setiap kali bacaan kita melangkah setapak ke hadapan… Al Fatihah… Amin.
Begitulah nukilan semula ucapan ‘salam terakhir’ Ustaz Ilias Zakaria yang sempat saya rakamkan di dalam memori kepala saya yang semakin pudar ‘tape’ rakamannya. Sekiranya ada kesilapan, atau ada tokok tambah… mohon (ustaz) maafkan saya.
Apa yang saya ingin kongsi bersama ialah, begitu syahdunya salam terakhir itu membuatkan semua yang ada terpegun sejenak mendengarnya. Dengan nada yang serak, garau dan basah beliau telah berjaya meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri saya (mungkin juga sebahagian yang hadir) . Keluarga si mati sungguh menampakkan ‘ceria’ (berpuashati) dengan cara pengendalian keluar jenazah berkenaan. Sepatutnya ucapan salam terakhirnya diperdengarkan pada setiapkali jenazah akan di bawa keluar dari rumah untuk disemadikan kerana banyak menfaatnya.
Cerita (di sebuah kampung) berlaku sebaliknya pula. Saya pernah berada di dalam dua (2) situasi ini dengan suasana yang sangat menyedihkan. Ketikamana jenazah sudah berada di pintu untuk di bawa keluar, di tambah pula hujan renyai-renyai dalam situasi (1), tiada seorang pun tuan guru, atau tuan imam, atau mana-mana jawatankuasa masjid berada, sekurang-kurang untuk meng – al fatihah– kan jenazah tersebut (mungkinkah kerana keluarga ini di kategorikan sebagai ‘keluarga miskin’). Semua mereka (pembesar-pembesar masjid) menunggu di masjid, tempat jenazah akan disembahyangkan. Mengapa.. ? (mungkin saya kurang arif ‘agama’)
Tertinjau-tinjau kaum keluarga si mati untuk mendapatkan simpati mana-mana alim-ulama tempatan yang berada di situ untuk merestukan perjalanan terakhir keluarga tersayang mereka, namun tiada seorangpun yang tampil ke hadapan.
Resolusi situasi pertama, saya bergegas untuk meminta seorang ‘orang tua’ yang datang dari luar kampung itu untuk menguruskan perjalanan terakhir jenazah tersebut. Resolusi situasi kedua, saya menarik tangan cik gu (rakan saya) yang berada di situ (untuk tujuan yang sama) bagi meng – al fatihah– kan perjalanan terakhir jenazah itu; saya memilih rakan saya itu kerana dia berketayap dan berjanggut panjang.
Selepas solat Zohor dan Solat Jenazah, dalam hati saya mendoakan semoga kepimpinan masjid, surau atau khariyah di beri petunjukan agar juga lebih fokos kepada isi hati keluarga yang dalam kesugulan selain perkara-perkara lain dalam pengurusannya (kadang-kadang di lihat lebih menonjolkan populariti diri dan organisasi) .. kerana ianya juga ‘fardhu kifayah’ yang dituntut amalannya. Keperihatinan Ustaz Ilias boleh dijadikan iktibar.
…gbpencen….. selalu ingatkan kematian..yang tidak polular
Segan rasanya nak bercakap mengenai politik. Disebabkan saya pernah terlibat secara aktif sebelum ini maka sebagai warganegara , rasa keperihatinan kepada bangsa dan negara (tidak dapat dinafikan) memang ada dan dengan itu saya juga sentiasa terpanggil untuk membicarakannya.
Politik saya politik kampung. Politik saya hanya setakat mana pengalaman dan penglibatan yang dilalui. Politik saya tak ke mana. Politik saya tiada berkepentingan. Asas politik saya hanya melalui pemerhatian. Ianya politik realiti (bukan program realiti tv). Satu (1) kerusi Parlimen dan satu (1) kerusi Dewan Undangan Negeri UMNO Bahagian NIBONG TEBAL kalah di tangan pembangkang pada piliharaya ke 12 yang lalu. (1) kerusi ADUN (Sungai Acheh) milik UMNO Bahagian NIBONG TEBAL menang dengan majoriti yang sangat kecil. Pembangkang tidak sehebat mana. Cakap berdegar-degar tetapi tiada atau belum tahu keberkesanannya. Ketiga-tiga kerusi itu kalah kerana perilaku organisasi kepimpinan UMNO di kawasan tersebut.
Telah lama UMNO di kawasan itu ‘bertakhta di mata dan berraja di hati’. Semasa era pemerintahan Tun Mahathir, kekuatan UMNO tiada siapa yang dapat mengganggu-gugatnya. Sebut saja UMNO (atau orang UMNO) semua orang akan ‘respect’ kekuasaan mereka tetapi di dalam hati ‘rakyat’ (rakyat – ditakrifkan – orang bawahan yang tidak terlibat aktif dengan organisasi UMNO) ada yang menyimpan dendam yang kian membara. Sebagai contoh (kekuatan UMNO) yang paling mudah, ada pegawai kerajaan yang boleh diugut oleh orang UMNO untuk ditukarkan sekiranya ….. (dan banyak lagi contoh-contoh lain yang di ketahui ramai)
Begitulah jasa Tun membina kekuatan UMNO sehingga sebegitu rupa ….. sehingga seorang rakan saya (pembangkang) pernah menyatakan bahawa, UMNO hanya boleh kalah sekiranya Dr Mahathir mati..
Aktiviti harian setempat keseluruhannya berfokus kepada kekuatan UMNO. Majlis, kursus, projek pembangunan, bantuan kebajikan, mesyuarat, aktiviti keagamaan, masjid, sekolah agama, sekolah arus perdana, aktiviti swasta, sukan, program pejabat kerajaan, kementerian-kementerian semuanya bertunjangkan UMNO. Pendek kata, pemimpin atau wakil rakyat UMNO pada ketika itu sangat sibuk (tambahan) sangat ‘glamour’. Yang lebih sibuk dan lebih sangat ‘glamour’nya tentulah seluruh pendokong organisasinya termasuk berpuluh-puluh pegawai khas masing-masing.
Ke sana – ke sini bergerak mempamerkan kemewahan dengan kereta yang serba ‘ada’. Dengan cerut berjenama, dengan pakaian yang menarik dan sembang-sembang mereka yang tidak tergapai oleh kita untuk di tumpang, di tempat-tempat yang istimewa, berduyun ke sana, ke luar negara, ke lobi hotel itu dan ini dan sebagainya.. Sana projek, sini projek, sana program, sini majlis bersama pemimpin-pemimpin UMNO yang lain, dari atas hingga ke bawah. Meriah dan mempesonakan.
Rakyat melihat, rakyat mendengar terutamanya orang yang resam hidupnya seperti orang melayu (iri hati). Ada yang terasa pemimpin ini sombong, ada yang merasa pemimpin ini bongkak, ada yang merasa pemimpin lebih-lebih dan ada yang mendiamkan diri, tunggu dan lihat saja. Yang lebih malang, pemimpin ini semakin hari semakin lupa tunjang kekuatan mereka dan mereka lebih lupa bahawa dunia sedang berubah terlalu cepat meninggalkan mereka. Dan mereka kadang-kadang lupa bahawa ‘Allah’ juga sedang memerhatikan mereka.
Maka yang dikatakan ‘tsunami’ politik pun berlaku seperti yang semua ketahui pada piliharaya yang lalu. Kepimpinan utama tidak sempat belajar semua dari yang terdahulu. Kepimpinan utama merasa selesa dan tersilap ‘congak’ kekuatan yang tidak dibinanya.
Rakyat yang tadinya hanya memerhati telah tidak sanggup lagi melihat perlakuan pemimpin UMNO di kawasan saya. Mereka sudah muak dengan gelagat organisasi kepimpinan UMNO. Mereka menukar arah apabila kepimpinan pembangkang mendominasikan gelagat organisasi UMNO secara lebih jelas sama seperti yang mereka perhatikan selama ini. Sesuai .. kata mereka. Kepimpinan organisasi UMNO terkapa-kapa.
Yang jelas pada saya, mereka tidak membenci UMNO. Mereka tidak buta perjuangan UMNO sebelum ini tetapi kepimpinan UMNO telah tersalah ‘bawa’ sokongan yang mereka beri sebelum ini. Mereka tidak merajuk tetapi ‘sesal’ dengan pemimpin yang telah diberi amanah tetapi tidak menunaikan mengikut cita rasa rakyat. Di gula-gulakan dengan (2) biji bas, (80) orang di dalamnya di bawa melawat ke Putra Jaya, sudah bukan caranya lagi untuk membina kekuatan.
Saya ingin bertanya soalan (1) : Berapa ramaikah usahawan tempatan yang dibangunkan oleh UMNO di kawasan saya untuk menjamin kesinambungan kekuatan ekonomi melayu di daerah saya selama era kekuasaan organisasi kepimpinan UMNO , siapa ?
Solana (2) : Adakah plan tindakan ekonomi melayu yang digubal oleh UMNO kawasan saya dan sejauh manakah pencapaiannya pelan selama ini ?
Harapan menggunung untuk kepimpinan baru menjawab (2) soalan di atas.
Petang itu tidak hati rasanya hendak pergi ke tempat mengundi. Akhirnya saya redah juga hujan lebat untuk mengundi UMNO kerana sayangkan perjuangan lalu yang sangat mahal harganya. Dalam hati penuh rasa marah .. tapi tetap sayang kerana suatu masa dulu pernah sama-sama bersilat segelanggang tapi perguruan baru banyak langkah yang sumbang….
..gbpencen… satu undi ibarat menabur gula di lautan… bergelombang.
Kami sampai dulu daripada Yang Berhormat Dato Zainal Abidin bin Osman (Dato’ Non) di LCCT, KLIA. Saya dengan Ong, Naib Presiden NTFA menunggu di lobi lapangan terbang itu sambil memerhatikan keadaan sekeliling. Oleh sebab kali pertama kami sampai di situ, banyak kali juga kami menghubungi orang-orang kanan Dato Tony Fernandez, CEO, syarikat penerbangan Air Asia untuk mengetahui lokasi perjumpaan kami dengannya.
Kami sambut Dato’ Non sebaik saja dia sampai di pintu masuk lapangan terbang itu. Beliau bersama kami berserta dengan seorang lagi penaja (pengangkutan bas) untuk NTFA, En Hisham mengikut setiausaha khas En Tony ke biliknya pejabatnya di tingkat atas.
Alangkah terkejutnya saya bila saya sampai di sana, kerana jalan ke lokasi pejabatnya agak sempit. Bila saya ditunjuk pintu masuk, saya dapati pintunya juga kecil. Pada anggapan saya, tentulah jalan ke pejabatnya luas dengan pintu pejabatnya bercermin mewah, besar dan mempunyai sistem kawalan yang terkini.
Bila berada di dalamnya pula, hanya lorong yang sempit saja membawa kami ke bilik mesyuaratnya. Diantara lorong-lorong itu kelihatan bergantungan kain rentang promosi Air Asia dengan lunggokan cenderahati di merata tempat. Kelihatan 2 / 3 orang kerani di pejabatnya (perempuan) sedang menjalankan tugas di bilik-bilik kecil (yang saya tak pasti berapa bilik yang ada). Mereka menyambut kami dengan ‘selamat datang’ dan sentiasa tersenyum. Manis seperti pramugari di atas pesawat.
Kelihatan 2 orang lagi pembantunya mengiringi kami masuk ke bilik mesyuarat Air Asia. Kesemuanya 3 orang. Mereka berpakaian ‘casual’ tidak bertali leher, sedangkan kami semuanya bertali leher dan Dato’ Non, berkot (sesuai dengan jawatanya sebagai Timbalan Menteri pada masa itu). Kesemua pembantu Dato’ Tony memakai seluar ‘jean’ dan berkemeja biasa, salah seorang daripada mereka bajunya di lepaskan keluar saja…
Kami semua berhimpit-himpit dengan kerusi untuk duduk di bilik mesyuarat Air Asia itu. Saya menjadi bertambah hairan. Biliknya agak besar sedikit dari bilik tidur saya saja, ada sebuah meja bulat dan beberapa kerusi kayu. Di dinding bilik terlekat bermacam-macam poster termasuk poster pasukan bolasepak Machester United. Ada sebuah LCD Projector di atas meja, 2 keping ‘white board’ dan pelekat-pelekat memo di merata-rata tempat di dinding. Di sebelah bilik itu terdapat bilik yang kecil sedikit dari bilik mesyuarat itu; pada agakan saya mungkin bilik itu bilik Dato Tony Fernandez, CEO, syarikat penerbangan Air Asia.
Tidak lama kemudian, CEO, syarikat penerbangan Air Asia pun sampai.. tepat pada masanya. Seorang yang sangat mesra (friendly). Bertanyakan nama kami dan memperkenalkan nama rakan-rakannya. Salah seorang rakannya, yang saya faham adalah seorang yang sangat ‘berpengaruh’ menggerakan operasi syarikat mereka. (yang pakai baju lepas keluar itu). Begitu mesra sekali berbual sebelum kami memulakan perbincangan. Bercerita sedikit sebanyak dengan Dato Non mengenai hal-hal politik tanah air.
Tujuan kami difahami olehnya. Beliau menyatakan bahawa beliau telah menaja pasukan bolasepak Manchaster United (tidak diterangkan bentuk penajaannya) dalam jumlah yang cukup besar. Sebelum itu beliau juga telah pun diminta untuk menaja pasukan-pasukan lain seperti Selangor dan Johor, sebaliknya beliau telah menolak atas alasan yang sama .. kalau Air Asia menaja pasukan negeri (mana-mana negeri), negeri lain juga akan turut memohon, maka tidak adillah untuk beliau. Oleh itu beliau hanya akan memberi sumbangan kepada badan induk Bolasepak Malaysia (FAM) sahaja.
Celahan saya bahawa NTFA (Nibong Tebal Foot ball Association – Liga Perdana 2006) bukan sebuah pasukan negeri tetapi sebuah pasukan daerah, yang daif.. Beliau nampaknya faham akan situasi NTFA tetapi menyatakan bahawa semua kelab pasukan Liga Malaysia adalah sama seperti NTFA juga, juga beliau akan tidak berlaku adil pada kelab-kelab yang lain. Atas simpati itu beliau telah sudi menaja 2 penerbangan perlawanan NTFA untuk 25 tempat dudk ke tempat lawan di mana-mana distinasi dalam Malaysia.
Pada saya itu adalah satu kejayaan kerana memperolehi 2 penerbangan percuma dari Air Asia. Saya memang tidak mengharapkan apa-apa dari Air Asia semasa En Ong mengajak saya untuk bertemu dengan Tony Fernandez, tetapi saya bangga kerana beliau (Tony) sanggup bersetuju mengaturkan temu janji untuk bertemu dengan kami yang sekerdil ini (tidak Dato’ Non) dari sebuah pasukan bolasepak daerah yang terpencil. Kami menggunakan kemudahan penajaan penerbangan itu dengan sebaik-baiknya. Terima kasih Dato Tony. Kami bertolak balik dengan ‘Perdana’ En Hisham.
Moral pertama yang saya perolehi dari pengkisahan ini ialah, sebesar syarikat Air Asia, sebegitu saja keadaan pejabat dan kakitangan pengurusannya …. (?)
Moral kedua , betapa tidak mahu menghampakan apabila orang yang datang meminta, ibarat : tiada nasi, air semangkuk dihulurkan jua… (Karam Singh Walliah – peribahasa moden)
…gbpencen … dapatkah kita mengambil iktibar dari perlakuan Tony itu...
…gbpencen … masih simpan topi airasia yang dihadiahkan oleh Tony…