Skip to content

Setahun di sebuah kilang..

2009 June 25
by Guru Besar Pencen

Sudah lebih setahun saya bekerja sambilan di kilang ini iaitu selepas 4 bulan saya bersara.  Gajinya tidak banyak,  tapi cukup sekadar saya mempunyai tempat untuk saya menghabiskan masa lapang dengan melakukan kerja-kerja  mengumpul maklumat pengeluaran dan sedikit sebanyak menguruskan kebajikan pekerja dan gaji pekerja kontrak. Masuk jam 10pagi dan balik selepas solat Zuhur. Saya seronok kerana masih ada kawan di sini.

Dengan  gaji antara RM15.00 hingga kurang dari RM20.00 sehari, banyak ceritaragam pekerja yang saya ditemui. Ada seramai 100 orang pekerja am  di situ dengan 85%  daripadanya adalah pekerja warga asing. Bakinya pekerja tempatan (melayu) yang gaji mereka juga sama (atau lebih sedikit) dengan pekerja warga asing.

Agihan pekerja tempatan melayu  : 50% adalah wanita – ibu tunggal,  35% wanita berpelajaran rendah 10% pekerja lelaki sebagai pemandu dan 5% selebihnya lelaki yang tiada pelajaran. Dapatkah kita bayangkan pekerja tempatan dengan 8 jam bekerja dan berpendapatan sebegitu menjalani kehidupan. Hanya kategori pemandu memperolehi gaji sebanyak RM37.50 sehari.

Namun begitu, mereka akan bekerja selama 8 jam sehari dengan penuh kepatuhan.  Kemudian dilengkapi pula dengan kerja lebih masa untuk memperolehi gaji antara RM20.00 hingga RM25.00 sehari menjangkau sehingga antara jam 8.00 hingga 11.00 malam. Diikuti pula dengan bekerja pada hari-hari cuti am atau cuti hujung minggu untuk mendapatkan ‘gaji berganda hari cuti’.  Sebulan – saya kira antara RM550 hingga RM750 boleh diperolehi sekiranya jadual bekerja diperlengkapkan seperti yang disebutkan tadi.  Gaji pemandu lori boleh mencecah sehingga RM1200 hingga RM1500 termasuk elaun-elaun isentif yang lain.

Namun, pekerja berketurunan Cina (8 orang sahaja) pula berbeza tangga gaji mereka (di luar perkiraan saya..  no komen)

Dengan penuh kesabaran dan kesyukuran, mereka bekerja.   Nora dan Jamilah bekerja untuk menyara 2/3 anak yang di tinggalkan ‘bapa’.  Mak Su, Kak Biah dan kak Minah, janda kematian suami menyara anak dara yang semakin pandai bergaya tapi tak pandai bekerja dan bersekolah.  Che Mariam, isteri kedua yang jarang dikunjungi suami,  bekerja untuk menyara 3 anak masih bersekolah.  Udi, berusia 13 tahun, tidak tamat darjah 6 sudah boleh membantu keluarga,  Selainnya cukup pendapatan untuk menyara diri dan membantu menyara kehidupan bersama suami. Begitulah setiap hari mereka akan mengunjugi kilang IKS bertaukeh berbangsa Cina ini. Dengan tekun dan tenang dan dalam suasana yang tidak  memerlukan ‘kundusif’, untuk menempuh kehidupan dan masa depan yang penuh cabaran di kampung saya. Terasa saya keperitannya.

Teringat saya ketika di sekolah dulu,  saya sering dikunjungi oleh ibubapa yang sering membawa berbagai episod ‘cerita yang bermasaalah’. Saya dengari dan cuba atasi dengan hatibudi dan bicara bersama PK HEM.  Kadang kala kita tidak dapat bayangkan bagaimana sebenarnya keperitan kehidupan keluarga melayu yang tidak sempurna pendidikan mereka;  yang sudah tentu tidak boleh ditengahkan mereka ini ke dalam pasaran pekerjaan. akhirnya terjerumus dengan kesempitan terutama dalam era globalisasi masa kini.

Apa yang saya cuba garapkan melalui pengalaman berharga ini ialah :

1.  Kecanggihan pendidikan tidak dapat dimenafaatkan oleh semua warga melayu kerana tindakikut dari kalangan masyarakat tidak berkesan.  Berbagai-bagai ejensi dan pertubuhan (termasuk pertubuhan politik) berdegar-degar bunyinya tapi tidak tercapai juga sasaran asas untuk membina dan membangunkan pendidikan akar umbi. Pemimpin silih berganti di desa / kampung tetapi kebocoran terus berlaku dalam melaksanakan agenda pendidikan melayu tidak mencapai matlamat ‘sifar keciciran’

2.  Terdapat dua darjat pendidikan melayu di kampung, sebahagiannya adalah yang terdidik dengan aset pendidikan yang ada dan di bantu dengan sebaiknya melalui saluran yang disediakan oleh berbagai pihak dan satu lagi : bimbingan, bantuan  dan motivasi tidak sampai kepada golongan darjat kedua kerana sifat golongan tersebut dan sifat kepimpinan yang ada di sekeliling mereka. Golongan kedua ini terus tersasar, semakin lama semakin jauh dan kepimpinan yang ada juga tidak turun ke padang secara bersungguh-sungguh untuk menampung kebocoran.

3.  Golongan kedua ini tidak dimanipulasi (secara bersungguh-sungguh) oleh pihak-pihak yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat setempat melalui ejensi kerajaan yang ada untuk  meningkatkan taraf hidup mereka sebaliknya taukeh saya yang memanipulasi mereka ini untuk perniagaannya.

4.  Kegagalan (kepimpinan yang diberi tanggung jawab) untuk  membentuk satu komuniti melayu melalui asas-asas pendidikan dan ekonomi terserlah.. apabila kita dapat melihat bagaimana pemimpin yang dipilih selalu membawa masaalah peribadi mereka ke pihak atasan dari membawa cadangan atau rangka kerja masaalah masyarakat untuk dibuat perhitungan ke arah penyelesaian.  Di akhir-akhir ini (sebagai contoh), pemimpin sibuk memperjuangkan agenda (pemilikan kuasa memerintah) mereka sahaja, bukan agenda (seperti) pekerja melayu malang yang dimsnipulasi oleh pihak lain.

5.  Pemimpin kampung tidak dapat menghidu kepayahan dan keperitan penduduk setempat kerana jarang meluangkan masa bersama golongan ini, kalau adapun sekadar memberi bantuan ‘one off’ yang lazim dilakukan (tidak ajar mengail, sebaliknya hanya memberi ikan untuk digoreng) tetapi tiada plan jangka panjang (plan strategik) yang dirancang, dibahas untuk dilaksanakan bagi membina masa hadapan masyarakat setempat.

…gbpencen ….. hanya boleh membantu pemimpin.

Bermain bola jaring dengan ustaz

2009 June 24
by Guru Besar Pencen

Ustaz Mahmud pendek dan gempal orangnya.  Sepadan dengan isterinya Ustazah Rogayah,  tapi isterinya tidak meminati bola jaring. Ustaz berlari di sekeliling gelanggang sambil meniup wisel.   Sebagai peminat bola jaring, ustaz menjadi pengadil setiap kali pertandingan bola jaring MSSPk Zon Pengkalan Baharu.  Ketika itu saya baru mula menjadi guru.  Saya merasa satu kelainan mungkin juga satu kekaguman pula, tambahan dia adalah jiran saya tetapi tidak mengajar di sekolah yang sama.

Selepas musim itu, ustaz Mahmud sudah tidak kelihatan lagi mengadili pertandingan bola jaring MSSPk di Zon Pengkalan Baharu.  Diberitakan bahawa pengadil lelaki tidak dibenarkan lagi mengadili pertandingan bola jaring – yang dimainkan oleh orang perempuan  / murid perempuan /wanita.  Mengapa? Sedangkan pada pandangan saya, pengadil ‘guru perempuan’ kelihatan gagal melakukan ketegasan, tiupan wisel pun lemah, tidak yakin dengan keputusan, larian masih lemah  dan sering menyalahkan antara satu dengan lain – pengadil ke (2) dan .. dan ..  dan (pada masa itu)

Bukan kerana saya lelaki untuk memperlekehkan pengadil-pengadil perempuan tetapi saya juga pernah menjadi pengadil bolasepak yang berkesan. Di ajar, di latih dan di bimbing dengan sebaiknya untuk menjadi pengadil yang berkesan.  Tok Guru saya (dengan bangganya) ialah Mohd Nazri Abdulah (allahyarham) yang nama sebelum Islamnya ialah Letcumanasamy. Jawatan terakhirnya setelah menjadi pengadil FIFA ialah Penyelaras Kepengadilan Persataun Bolasepak Asia (AFC).  Seorang lagi Tok Guru saya ialah Cik gu Wahab bin Mohamed, pengadil kebangsaan, bekas setiausaha Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) dan pernah menjadi Guru Penolong Kanan di SK Juru yang sekarang ini masih aktif sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Bukit Mertajam (BMFA)   Jadi tahulah saya sedikit sebanyak etika sebagai pengadil. Walaubagaimanapun pengadil bolajaring (wanita) MSSPP sekarang.. memang hebat dan mantap tapi masih terbawa-bawa …. (rujuk perenggan terakhir artikel ini)

Saya terpanggil untuk melakar-rapu coretan rencana ini  setelah saya menyaksikan Pasukan Bolajaring Malaysia mengalahkan Pakistan untuk berada di tempat ke 12 kejohanan yang baru selesai di adakan di Malaysia. Dalam perlawanan tersebut saya melihat kelibat pengadil lelaki mengadili perlawanan tersebut.   Punyai ketegasan, tiupan wisel kuat, yakin dengan keputusan, larian bersemangat dan tidak menyalahkan antara satu dengan lain – bertindak profesional. Boleh pulak ? . Pada ketika itulah saya mengimbas kelibat Ustaz Mahmud (dengan lariannya yang hebot-hebot dan ketajaman pemerhatiannya) dalam tahun 1975. Ketika SK Panchor (sekolah saya) melawan SK Sungai Batu (selepas 5 tahun kemudian,  juga menjadi sekolah saya) untuk mengadili bola jaring MSSPk yang di adakan di Zon Pengkalan Baharu. Hati kecil saya menyatakan bahawa 30 tahun dahulu ustaz memang telah mengambil tindakan yang ‘betul’  bukan kebetulan.  Suara-suara sumbang yang menafikan hak Ustaz Mahmud sebagai pengadil bolajaring (lelaki) yang sah itu lah yang tidak betul.  Walau bagaimanapun perjuangan ustaz 30 tahun dahulu telah berhasil. Kesian dan tahniah untuk Ustaz Mahmud.

Setahun sebelum persaraan saya, sekolah saya diberi tanggunjawab menganjurkan Kejohanan Bolajaring MSSPP, Zon Bukit Mertajam. Dengan kerja kuat dan kerjasama dan kerja rapat rakan-rakan (Syabas Cik gu Mazlan – PKKK dan semua yang dalam senarai panjang saya)  saya amat yakin untuk menyatakan itulah kejohanan yang terbaik yang pernah ‘saya’ kelolakan.   Antara unsur-unsur lain yang membantu menjadikannya ‘terbaik’ ialah kerana saya seorang ketua yang mahu bekerja keras untuk yang terbaik (yang saya minati – sukan).  Juga dengan kerjasama  dan kerja kuat Unit Pengadil Bola Jaring MSSPP. Berlaku pula hari ini dalam sejarah, sekolah kami berada di tempat ke 4 kejohanan di mana kesemua 8 pasukan yang layak ke suku akhir mendapat hadiah masing-masing (yang ditaja oleh PIBG kami yang sungguh murah hati – Tahniah Encik Md Noor, Yang DiPertua PIBG merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian  Batu Kawan) dan 2 orang sahabat akrab yang menjadi jurulatih pasukan sekolah – tahniah .. tahniah .. tahniah .. nana dan khairatul.

Seperti yang saya nyatakan (penganjuran kejohanan terbaik (?) saya) ada pula cacatnya konon.  Seorang waris dan seorang jurulatih sekolah mempertikaikan beberapa keputusan pengadil dengan tindakan yang ‘agak agresif’. Memang kurang sopan dan kurang patut. Semasa jamuan makan di akhir majlis penyampaian hadiah  saya terus mempromosikan kekemasan penganjuran tetapi pengadil  mempromosi rasa tidak puas hati atas bantahan si waris dan guru tadi.  Terbawa-bawa rasa tidak senang hati dengan insiden terakhir itu (mereka  seperti kurang selera makan) walaupun dari hari pertama kejohanan pengadil-pengadil ini (guru wanita) nampak sangat selesa dengan penganjuran.

Pada saya, ini lah asam garam menjadi seorang pengadil.  Yang diluar sana (penonton) lebih pandai dari pengadil  – kononnya (walaupun mereka tidak di latih untuk menjadi pengadil). Pangadil mesti adil tetapi lebih ramai pengadil (dari kalangan penonton dan penyokong) yang sedang mengadili pengadil yang sedang bertungkus lumus menengakkan keadilan di dalam padang.  Apa yang puan-puan kena ingat   ialah : pedulikan mereka.. anda telah dilatih untuk menlakukan pengadilan, tegakkan keadilan.  Tahniah cik gu Saadiah dan rakan-rakan, anda memang hebat.

…gbpencen… pernah di’hambat’ dengan tiang bendera tepi padang oleh penyokong bolasepak, lari ke masuk ke balai polis Jalan Dato’ Keramat mencari perlindungan ketika mengadili perlawanan Liga FAP di padang Broom, George Town, Pulau Pinang sekitar awal ’80an.

Saya tak puas hati, cik gu, dengan GB..

2009 June 15
by Guru Besar Pencen

Lebih kurang 2 minggu yang lalu saya menerima satu ‘sms’ dari bekas guru saya semasa saya menjadi ketuanya. 

“Salam cikgu,  sihat ?  Saya memang tidak puas hati dengan GB.  Sudah 16 tahun saya mengajar di sekolah ini, tidak pernah diberi APC (Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang membawa ganjaran ‘one off’ sebanyak RM1000).  Hanya yang saya perolehi ialah  ‘time based’  DG32 yang orang lain pun dapat setelah saya lulus PTK (Penilaian Tahap Kecekapan) .  Apa yang dia suruh saya, semua saya buat; alih-alih orang lain yang dapat, semuanya guru-guru perempuan yang rapat dengannya saja yang dapat.  Ada kawan saya, 2 x dapat, di dua buah sekolah dalam masa tidak sampai 4 tahun.  Saya sudah tidak boleh tahan dengan GB ini, saya mesti tukar tahun ini cik gu, walau apa cara sekali pun.  Ada ke patut cikgu ? ”

Dia seorang lelaki yang lemah lembut dan rajin bekerja.  Beliau seorang yang patuh kepada peraturan sekolah dan menjalankan tugas dengan baik.  Komited terhadap tugasan P&P. Berperibadi mulia, hormat ketua, suka berjenaka, selalu ceria dan senang diajak berunding.  Berkebolehan mengurus (walaupun agak leka – kerja ‘last minute’) dan menyiapkan kerja mengikut jadual atau masa yang ditetapkan. Beliau juga mengutamakan pencapaian kemahiran murid.

Itu lah antara ungkapan yang sering saya catatkan ketika mengisi ‘Rekod Prestasi’ guru untuk seorang  guru yang baik di bawah pengurusan saya. Kalau guru yang kurang baik, sama juga catatannya tapi kurang baik sikit keindahan perkataannya. Catatan di atas juga adalah benar untuk seorang bekas guru saya yang meng sms kan sms di atas kepada saya 2 minggu yang lalu.

Persolalannya :  Mengapa terjadi begitu ?  Jawapan dan persoalannya terlalu banyak dan senang untuk dihuraikan.

1.  Guru ini tersinggung kerana khidmatnya tidak dihargai walaupun beliau telah lama berkhidmat di sekolah berkenaan.  Tersinggung dengan kedatangan guru baru telah dapat mempengaruhi Guru Besar untuk memilih guru selain darinya untuk menerima APC.

2.  Guru Besar tidak dapat menghidu rasa hati/citaras/ keinginan guru lama ini kerana GB di kelilingi oleh guru-guru yang menonjolkan diri untuk membantu GB menyelesaikan tugasan yang banyak dan  segera.

3.  Komunikasi GB dengan guru lama ini telah terbantut disebabkan penonjolan individu guru baru yang lebih sedia untuk menjalankan arahan pentadbiran. Juga mungkin Jawatankuasa Pemilihan APC kurang berkesan atau tiada mesyuarat pemilihan untuk APC diadakan hanya dengan perundingan 2 atau 3 orang guru / Guru kanan.

4.  Merasakan dirinya  terpinggir (tanpa di bawa berunding) dalam sesuatu hal atau merasakan keputusan yang di buat tanpa berunding dengan ‘orang lama’  (hanya berunding dengan guru yang ‘favour’ sahaja) menyebabkan keputusan pihak pentadbir tidak jitu.  Dengan itu, guru ini (atau kumpulan guru ini – ada kumpulan pulak ?) menjauhkan diri dari melibatkan diri secara total dalam pelaksanaan keputusan.

5.  GB membiarkan perkara ini berlarutan tanpa ada tindakan susulan untuk menjernihkan suasana, langsung mengambil sikap meminggirkan kumpulan ini – termasuk tidak diberi APC.  Seterusnya menjurus kepada penyakit yang makin berjangkit dan terus menjadi wabak.

‘It’s all depend on you’  saya masih mengguna pakai kata- kata pegawai atasan saya  ketika saya menghadapi masaalah di sekolah. Seorang guru yang baik boleh bertukar menjadi tidak baik, dan seorang guru yang tidak baik boleh bertukar menjadi baik .. ‘It’s all depend on you’  wahai GB sekalian.

Situasi Satu :          Saya berkawan dengan seorang guru yang ‘sasau / spara gila’.  Setiap pagi saya menunggunya  di pintu pagar belakang sekolah setelah loceng berbunyai,  15 minit kemudian dia datang dan saya mengajak dia minum bersama saya. Kemudian dia terus pergi mengajar. Sekali sekali dia meminta kebenaran saya untuk ke hospital “Perak Road, Penang – wad psikatri.  Saya membenarkannya.  Saya diberitahu dia telah bertukar ke pulau, Pulau Pinang; mungkin supaya dia lebih dekat berurusan dengan wad psikatri.

Situasi Dua:          Saya agak dia ada masaalah dengan dadah, tapi setiap kali dia ke kantin saya akan memintasnya untuk cuba minum bersamanya pada waktu petang.  Dia suka bersendirian tapi saya akan menemanainya.  Saya menunggu sehingga habis sesi petang untuk cuba bersamanya dan guru-guru yang lain bermain ping pong.  Dia terus datang mengajar walaupun ada kebocoran sedikit sebanyak di mana-mana – ampunkan dia dan ampunkanlah saya.

Situasa Tiga :       Selain itu banyak perkara yang kecil-kecil lagi perlu di tangani dengan bijaksana.  Memperhambakan diri demi untuk anak didik kita, tiada langsung rasa keegoan, sedia mendengar dan sedia untuk berkongsi pendapat.  Bersedia di tegur dan ingin mendengar cadangan alternatif yang lebih baik dan berkesan. Sanggup meletihkan diri agar suasana yang sentiasa harmoni dalam melayari sebuah pengurusan yang mantap.  Bersedia untuk berkelahi sekiranya kelembutan dan keilkhlasan telah di salah guna dan di ambil kesempatan.

Cik gu,  sabarlah .. lain padang, lain belalang, padang terlalu besar, tentu belalangnya pun lain…..

…..gbpencen….. pun dapat APC apabila dalam mesyuarat terakhir APC,  sebelum bersara, 2 kerani kesayangan saya mencalonkan nama saya… terima kasih Liza dan As.