Sekitar pertengahan tahun 80an, bendahari Pemuda Bahagian adalah jawatan tertinggi dalam UMNO yang pernah saya sandang semasa kudrat masih kuat. Tidak langsung rasa keletihan ketika itu bilamana bergerak baik siang, malam, pagi atau petang. Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada masa itu, Datuk Seri Najib (Perdana Menteri Malaysia yang baru). Ketua Pemuda UMNO Bahagian saya pula ialah Nordin bin Md Noor (sekarang Dato’).
Ada (2) Nordin dalam Pemuda UMNO Bahagian kami pada ketika itu, (1) Nordin Md Noor – Ketua, dan (2) Nordin Kassim (mamak), Ahli Jawatankuasa.
Seingat saya tidak pernah pun saya bersama rakan-rakan yang memperolehi wang dalam membuat urusan semasa menjawat jawatan tersebut. Begitu juga rakan-rakan yang lain. Kami bermesyuarat pada waktu malam, bergerak menjalankan aktiviti di cawangan-cawangan tanpa mengambil tahu hal-hal-hal yang boleh memperkasakan (memperkaya) diri sendiri. Seingat saya, perbelanjaan perjalanan dan makan minum pun adalah dari wang gaji yang diperolehi dari bekerja sebagai seorang guru, (bodohnya saya ?) (atau tidak ada peluang?) (atau tidak pandai mengambil peluang). Yang saya pasti saya tidak pun mencari peluang. Kalau ada pun wang yang diterima ialah untuk menjalankan aktiviti yang diperolehi dari sumber-sumber yang saya tidak pasti dari mana datangnya.
Hubungan antara Jawatankuasa Pemuda sangat akrab. Kami sentiasa bertolak ansur dan tolong menolong. Kami tidak pernah bertanya ‘Apa yang akan kita perolehi dengan berkhidmat kepada UMNO ?’ Seingat saya, tidak pernah pun terlintas untuk bertanya hal-hal yang sebegitu. Sebagai adik, Pemuda amat menghormati barisan kepimpinan UMNO Bahagian sehinggakan kami sentiasa akur dan menurut perintah serta arahan yang dikeluarkan. Tanpa mempertikaikan atau sangat mengambil tahu perjalanan UMNO Bahagian, Pemuda UMNO Bahagian bergerak dengan taat dan bersemangat bagi menabur bakti kepada penduduk setempat.
Hinggalah pada suatu hari kami dimaklumkan akan di taja untuk menghadiri Perhimpunan Agung di PWTC. Permergian kami dengan penuh rasa terhutang budi kepada Nordin, ketua Pemuda kami. Beliau telah mendapatkan sebuah bilik hotel yang sederhana dan memuatkan 7 orang anggota rombongan kami. Dalam satu perbualan telefon, beliau menyatakan kepada rakannya bahawa beliau menginap di KL International Hotel (?). Akhirnya saya dapat juga berfikir bahawa Nordin perlu menyatakan bahawa beliau juga tidak kalah dengan rakan-rakannya yang lain; walaupun ketika itu beliau tidak mempunyai kereta dan saya juga sering membawanya dengan kereta Datsun 100 A F II untuk menghadiri mesyuarat. Gigihnya ketua Pemuda kami..
Selepas beberapa lama, sekali lagi kami di taja untuk menghadiri ke Perhimpunan Agung UMNO. Kali ini kunjungan kami lebih ‘glamour’. Kami menginap di Hotel Pan Pasific, hotel bertaraf 5 bintang. Kerana terlalu ramai yang ke sana, pada satu malam saya terpaksa tidur di tepi bilik air di bilik hotel itu. Hati sangat gembira kerana tidak pernah berada di hotel yang semewah itu. Nordin sudah berubah. Langkah politiknya lebih meyakinkan. Beliau telah dipilih untuk berucap dalam perhimpunan Pemuda. Beliau sering berbual dan bertemu dengan pemimpin peringkat kebangsaan. Beliau telah menganggotai Exco Pemuda UMNO Malaysia. Gigihnya Ketua Pemuda kami..
Semenjak itu UMNO semakin sibuk. Pemimpin silih berganti. Makin ramai yang tampil untuk memimpin atas nama menawarkan diri. Ramai diantara kami mengundur diri kerana ramai yang tampil untuk menawarkan diri sebagai pengganti. (2) Nordin terus menghayun langkah politik yang semakin bergaya.
Yang lainnya semakin berundur dan meneruskan tugas harian sambil memerhati perjalanan politik yang sudah mula berliku. Saya meneruskan komitmen yang tinggi terhadap tugas memartabatkan anak bangsa melalui tugas semurni seorang guru. Tugas sebagai Penolong Kanan Pentadbiran dengan elaun RM 40.oo sebulan selama lebih 10 tahun diteruskan. Pengalaman ‘politik kampung’ telah dapat membantu memudahkan amanah yang diberi.
Sebagai ‘pelayan kecil tanahari’ saya merasakan telah juga mempunyai sumbangan terhadap kekuatan UMNO pada ketika itu walaupun akhirnya kekuatan itu menjadi keangkuhan yang membawa padah.
Bertuahnya (2) Nordin rakan kami ini. Meraka meneruskan langkah politik dengan gigih dalam situasi berbeza di era UMNO yang sangguh bergaya dan mengharukan. Mereka berjaya mengharunginya. Dato Nordin Md Noor yang kini berkereta 1 juta menjadi warga Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur. Beliau terus bersama arus politik negara, (mungkin) bersama dengan Perdana Menteri baru kita yang juga rakan karibnya. Dan Dato Nordin Kassim pula adalah pemimpin terhormat di kedaerahan jajahan takluknya dengan menguasai syarikat bersekala besar yang mampu membantu menjana ekonomi tempatan. Beliau banyak membantu rakan-rakan politik seangkatannya. Tahniah. Kami (rakan seangkatan Pemuda UMNO Bahagian kita, dulu) sungguh berbesar hati.
Selepas beberapa minggu bertugas di PPD mulai akhir tahun 1997, saya begitu mesra dengan En Bakri bin Ahmad (orang baik dan disenangi semua petugas di PPD – kini bertugas di Unit HEM JPN, Pulau Pinang). Setelah beberapa lama berada dalam kemesraan, beliau memanggil saya ‘pemimpin tulen’ (panggilan sindiran) . Beliau selalu mempromosikan panggilan sindiran itu apabila berlaku penghujahan (pertengkaran mini) dalam sembang politik ‘kedai kopi’ di PPD ketika itu. Hebat panggilan itu…
Sebabnya ..
Dalam pertengkaran mini dengan penggemar ‘politik kedai kopi’ di PPD, (antaranya Ustaz Maktar Shafie yang bersara dari Penolong PPD dan menjadi Wakil Rakyat PKR sekarang – PRU12) hujah-hujah saya biasanya akan bertapak kepada realiti; prinsip, pengorbanan, keikhlasan, integriti dan akar umbi. Bersembur air liur sekalipun, prinsip itu akan dipertahankan dan saya selalu merasakan kemenangan (?) memihak kepada saya walaupun saya (syok sendiri) ditentang habis-habisan oleh Bakri, Ustaz Maktar dan beberapa orang lagi…
UMNO bermula dengan telah bermula dengan baik, cuma pelari terakhir telah menjatuh kan ‘baton’
kerana prinsip kepimpinan yang saya dokong ialah :
- Guru pencetus berpolitik yang berkesan.
- Jiwa bangsa merupakan wadah perjuangan tulen.
- Perjuangan sebernarnya bukan untuk kita, tapi generasi bangsa yang di hadapan.
- Dampingi peringkat rakyat di bawah, berkesanlah penggubalan strategi di atas.
- Kematian menanti kita untuk membawa bersama sekeping kain putih (sahaja).
.. gurubesar pencen … semakin berusia, kalau dulu, sakit bila terantuk tapi sekarang, tak terantuk pun .. sakit.
Setiap hari saya masuk ke perkarangan sekolah melalui jalan ke dua (Link ke 2). Saya letak kereta di bawah pokok di tempat yang biasa dahulunya saya letak ketika menjadi Guru Besar sekolah ini. Sekarang kereta Proton Wira (Proton Wira se standard dengan jawatan Guru Simpanan Kebangsaan) tapi dulunya kereta Volvo 240 – lama (Volvo 240 se standard dengan jawatan Guru Besar). Di renung pokok itu dan kawasan sekitarnya teringat saya semasa saya berusaha membina Link ke 2 ini.
Sebelum itu hanya ada 2 pintu masuk ke kawasan sekolah ini . Pintu Utama (Pintu 1) masuk ke tempat perhimpunan dan pintu ke 2 masuk ke padang. Dengan ihsan PPD pintu ke 3 dibina untuk menyambungkan pintu ke 2 dengan pintu ke 3 dari Jalan Kulim ke Jalan Gajah Mati . Jalan yang berturap tar yang panjangnya hanya 20 meter itu dapat memudahkan kenderaan waris keluar masuk tanpa menggunakan pintu utama.
Pada waktu awal pagi hari persekolahan murid-murid kecil akan berlarian di kawasan tapak perhimpunan berhadapan pintu utama. Kenderaan guru yang masuk melalui pintu utama diminta berhati-hati supaya tidak berlaku kemalangan. Murid-murid juga dipesan supaya ….
Murid-murid perlu selalu dipesan, di pesan dan dipesan.. juga perlu selalu diberitahu, diberitahu, diberitahu dan seterusnya diberitahu .. berkali-kali, berpuluh kali bahkan beratus-ratus kali. Ini membawa maksud bahawa insan yang dinamakan kanak-kanak itu adalah insan yang memerlukan sifat kedewasaan kita untuk terus-menerus mengingatikan mereka akan benda yang akan membahayakan diri mereka. (ingatlah – semua benda adalah berbahaya kepada kanak-kanak).
Pintu utama juga sering digunakan oleh waris untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Ada waris yang perihatin dengan memperlahankan kenderaan mereka ketika masuk ke kawasan ini dan ada waris yang tidak memperdulikannya. ‘Mood’ pagi biasanya akan mempengaruhi waris ketika menghantar anak-anak ke sekolah. Maka dengan sebab itulah saya telah diberi petunjuk oleh yang Esa bagi memikirkan bahawa Link ke 2 adalah langkah bijak bagi mengelakkan .. kemalangan menjadi kecelakaan dan kecelakaan menjadi tragedi. Syukur, sehingga saya meninggalkan kerusi pengurus sekolah ini pada Mach 2004, tiada kecelakaan yang berlaku. Alhamdullilah.
Jika pada waktu pagi, terlupa saja tutup pintu utama maka pelanggan kedai ‘Omar Mee Kuah’ (yang lokasi kedai betul-betul di hadapan pintu utama sekolah) akan masuk dan memusingkan kenderaan mereka di tapak perhimpunan. Ada yang perlahan dan ada yang laju memusingkan kenderaan masing-masing. Pada waktu petang, ketikamana P&P sudah berakhir, pusingan kenderaan pelanggan kedai mee popular ini lebih ganas lagi, maklumlah kawasan bertar itu akan sempit dan sesuai untuk mempamerkan aksi ‘car drift’ masing-masing. Dari atas pejabat saya mengetap gigi memerhatikannya.
Kegusaran ini membuatkan saya terpanggil untuk membina Link ke 2 dan menutup pintu pagar utama sepanjang masa. Begitupun ianya telah mengundang padah yang mendalam dalam karier perjawatan saya sebagai Guru Besar :
Ikuti ceritanya ..
Pada suatu petang saya telah dihubungi oleh seorang ‘pegawai’ dari Jabatan Pelajaran Negeri. Beliau mengenalkan dirinya sebagai Zamri. Pada masa itu saya tidak mengenalinya. Beliau bertanyakan apakah masaalah sekolah ini ?. Saya memberitahu beberapa kelemahan yang saya tidak boleh atasi dan berharap pihak jabatan dapat mengatasinya. Perbualan itu tamat di situ sahaja dan saya tidak menghiraukannya lagi.
Selang beberapa lama, dalam satu perjumpaan, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri telah menyatakan, bahawa pada suatu petang beliau telah mendapati ketidak perihatinan seorang Guru Besar sebuah sekolah yang letaknya hampir dengan sempadan negeri (sekolah saya le) telah menutup pejabat dan pintu pagar sekolah sebelum tamat waktu pejabat. Dan juga kereta Guru Besar nya pun sudah tiada di kawasan sekolah. Beliau terus menghuraikannya berkali-kali bagi menunjukkan kelemahan Guru Besar tersebut (saya). Seingat saya beliau mengulangi ‘serangan’ tersebut dalam 2/3 siri perjumpaan selepas itu. (ini memberi syarat kepada saya bahawa perkara tersebut memang serius – kepadanya)
Saya menyedarinya tapi saya tidak memberi apa-apa ‘respon’ . Selang beberapa lama saya telah memperolehi maklumat dari rakan karibnya (yang juga rakan karib saya) yang beliau ada datang untuk melawat sekolah saya (atau beliau datang untuk makan mee popular itu ?) . Pada ketika itu pintu pagar bertutup tapi tidak berkunci (mungkin beliau hendak parking kereta dalam kawasan sekolah kerana kesukaran mencari tempat ‘parking’). Pejabat lama memang ditutup sebab telah dipindahkan ke pejabat baru dan kereta saya memang tiada di hadapan sekolah kerana diletakkan di kawasan Link ke 2 untuk memberi kemudahan kepada kenderaan guru (juga pelanggan saya) yang menggunakan tapak perhimpunan untuk meletakkan kereta masing-masing.
Saya diberitahu oleh rakan karibnya bahawa En Zamri yang menghubungi saya terdahulu adalah pegawai khas Pengarah tapi beliau tidak menyatakan sebab sebenar beliau menelefon saya. Selepas itu bila berkesempatan berselisih dengan Pengarah, saya menegurnya tetapi beliau juga tidak juga menyatakan apa-apa kepada saya. Saya pernah terkejut apabila beliau menegur dengan menyebut nama saya, sedangkan saya bukanlah orang yang patut beliau kenali tapi beliau tidak juga menyatakan apa-apa. Beliau tidak pernah meminta saya menemui untuk menyatakan rasa tidak puashatinya.
Hari demi hari perkara tersebut terus berlalu. Saya tidak menghiraukan peristiwa itu kerana orang ‘yang benar’ tidak menyatakan kebenarannya kepada saya dan saya yang dianggap ‘bersalah’ tetap dengan alasan saya tersendiri bahawa ‘saya akan mendahului kepentingan pelanggan-pelanggan dari diri saya sendiri’. Saya tidak (dapat) mempertahankan diri saya.
Betulkah ini kesannya ?
Saya telah diarahkan bertukar ke sebuah sekolah lain. Tanpa bantahan saya terus melaporkan diri ke sekolah baru. Pada ketika itu Gred hakiki saya ialah DGA 32. Surat arahan pertukaran itu bertukar kepada KUP DG A 32. (bermakna saya belum ‘disahkan’ gred DGA 32 sedangkan dulunya saya sudah ‘disahkan’). Keutamaan saya adalah pelanggan saya, bukan pangkat, gred atau gaji saya. Saya meneruskan tugas sehingga bersara dengan rasa amat selesa. Rakan karib saya telah selesai kenaikan pangkatnya DGA 34. Saya pencen dengan gred DGA 29 (Tidak disahkan sebagai DGA 32). Saya ada juga bertanya kepada unit ‘sulit’ JPN, pegawainya menyatakan proses tersebut ‘betul’. Terima Kasih.
Beberapa bulan sebelum bersara, murid di sekolah rakan karib saya (juga rakan karib pengarah) telah di langgar oleh sebuah kereta yang merempuh masuk melalui pintu hadapan sekolah ketika perhimpunan pagi. Beliau menjadi popular dengan kejadian itu kerana dikunjungi oleh pegawai atasan dari kementerian dan jabatan juga yang mengunjungi sekolah beliau ialah Gabenor Negeri yang bersimpati dengan kejadian itu.
Ingatlah : Tuhan masih ada dan masih berkuasa.
selepas kejadian itu, arahan tegas telah dikeluarkan agar sekolah-sekolah sentiasa menutup pintu pagar sekolah. Saya tersenyum sendirian kerana saya sudah lama menutup pintu pagar sekolah tanpa menunggu sebarang arahan.
…… gurubesar pencen …… masih dok dapat pencen macam DG34 walaupun lulus spm gred 2 saja.
Round 3
Hari ini 01 April, genaplah 14 hari saya mengajar atas kapasiti sebagai GSK. Dari catatan ringkasan; guru yang saya ganti (beliau berkursusu 14 minggu – satu program meningkatkan kemahiran guru dalam bidang-bidang tertentu), bermula dari hurraian sukatan pelajaran, buku teks, buku aktiviti hinggalah ke ‘teacher’s hand book’ dan buku kerja murid (yang dibekalkan oleh penjual buku) .. habis semuanya saya semak, selak dan slidik demi untuk memantapkan pengajaran saya dalam produk PPSMI (Sains). Seperti biasa, bayaran yang saya perolehi nanti (dari gaji) saya kena anggap sebagai satu amanah. Sedaya upaya saya akan saya tunaikan. Akhirnya gendang sains dalam rentak PPSMI yang dipukul dapat juga saya tarikan (menari). Walaupun ada sumbangnya .. tapi disebabkan saya (buat masa ini) lebih pandai dari murid yang saya ajar maka tak lah sesumbang mana pun.. Saya terus mengajar dan mengajar. ..
Akhirnya saya pun mulalah pula meninjau peralatan canggih PPSMI (ICT) untuk digunakan demi untuk memperkasakan P&P saya. Saya diberitahu, dalam bilik sains ada 2 LCD, satu di gantung dan satu dalam almari besi. Kemudian saya diberitahu yang digantung itu tidak dapat digunakan kerana rosak dan saya boleh menggunakan LCD dalam almari besi itu tetapi kenalah memasangnya secara ‘manual’. Saya tidak terus menggunakannya (?), saya tangguhkan dahulu kerana perlu ambil masa untuk memasangnya.
Selang beberapa jam kemudian saya mula cuba mendapatkan CD matapelajaran sains. Saya diberitahu, dalam bilik sains pun ‘ada’, di Makmal komputer pun ‘ada’ dan di Pusat Sumber Sekolah pun ‘ada’ sebahagiannya. Saya memilih untuk mendapatkannya dari bilik Sains yang kebetulan saya jadikan ‘stesen’ kerana tiada tempat untuk saya di bilik guru (padat). Saya menjumpai banyak CD dari dalam laci meja guru di situ tetapi CD yang saya cari belum jumpa lagi. Dalam antara laci tersebut saya menjumpai sebuah lagi LCD. Sebelum ini saya tidak diberitahu bahawa di dalam bilik tersebut ada sebuah lagi LCD.
Demi menjaga amanah harta kerajaan yang berharga itu, saya memaklumkan kepada Ketua Panitia Sains perkara tersebut kerana bimbang tentang tanggungjawab saya yang menggunakan bilik tersebut sebagai ‘stesen’ tempat saya bekerja ketika waktu tidak mengajar.
Sebenarnya LCD yang digantung di siling dengan set peralatan audio visual yang di pasang di dinding itu adalah sebahagian dari peralatan PPSMI tambahan (fasa II) yang dibekalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk ‘memantapkan’ lagi P&P PPSMI. (memantapkan boleh membawa maksud supaya produk PPSMI ini ‘tidak gagal’). Dalam masa pemasangan peralatan untuk fasa II ini, adakalanya saya terpaksa bekerja hingga 6 atau 7 hari seminggu (wakil kotraktor hanya dapat bertugas pada hujung minggu kerana ada diantara mereka bekerja sambilan). Sebagai pengurus sekolah ketika itu, saya benar-benar ingin mempastikan peralatan tersebut akan terpasang sebaiknya seperti yang saya kehendaki juga yang seperti ‘tokeh’ saya kehendaki.
Saya meminta juruteknik tersebut mengajar saya cara mengoperasikan peralatan tersebut (untuk mengambil tahu) setelah selesai kerja-kerja pemasangan. Setelah berpuashati semuanya, dokumen yang dihulurkan, saya tandatangani agar ‘boss’nya akan dapat membuat tuntutan bayaran seberapa segera. Hah .. letih dan meletihkan, tapi ianya terpasang juga.
Kebetulan pada suatu hari pada minggu yang lalu datang seorang juruteknik pembaikan peralatan ICT/PPSMI untuk memberi perkhidmatan. Kebetulan pula saya berada bersama guru sains dalam bilik sains. Bila diajukan masalah kerosakan LCD yang disebutkan tadi, maka bermula lah episod yang sering dipanggi karenah birokrasi.. ‘kena tanya pegawai… kena buat pesanan…kena buat ‘Quotation’ …. kena … kena ….’ Beliau meneruskan pemeriksaan di sebuah komputer yang tidak rosak di bilik berkenaan. Beliau terus mendapatkan tandatangan dari pihak pentadbir. Sebelum itu beliau ada memberitahu yang beliau tidak dapat menukar LCD rosak itu dengan yang saya temui dalam laci tadi kerana kesuntukan masa untuk ke sebuah(sahaja) sekolah lain. Tak sempat katanya walaupun jam baru pukul 11.00 pagi (?)
Teringat pula apa yang berlaku di sekolah lama saya. Teringat saya betapa marahnya gadis-gadis yang membuat pemeriksaan di bilik makmal komputer. ‘Hang pa mai, gabus sana, gabus sini sikit sebanyak, suruh saya sain’ Kata saya dengan nada menyindir. Hati saya sebenarnya bergurau tetapi mereka memang terasa. Saya tidak menyalahkan mereka kerana mereka digajikan untuk menjalankan gabus mengabus itu. Tapi begitulah perkhidmatan yang berjalan sepanjang PPSMI yang menjadi agenda Kementerian; sama sepertimana yang berlaku kepada juruteknik yang membuat ‘servis’ hanya di komputer yang tidak rosak. Tujuannya baik tetapi dek terlalu banyak pengisian di dalam produk ini ianya telah menjadi jadi seolah-olah tidak terkawal atau hilang kawalan.
Sinopsis dari pengkisahan tadi ialah :
1. Pembelajaran dengan pengkaedahan tradisi masih menghantui guru.
2. Begitu banyaknya bekalan bahan dan peralatan juga menyukarkan P&P
3. ‘budaya selenggara’ masih menjadi masaalah .
4. Berapa banyak wang yang telah digunakan ? Berbaloikah – itu persoalannya.
5. Pernahkah akar umbi diajak bicara mengenai pelaksanaannya ? (Jawapannya tidak, tapi mengapa ?)
….. gurubesar pencen…..sedang melakar GSK vs PPSMI (pukulan TKO)