Skip to content

Guru Simpanan Kebangsaan (GSK) vs PPSMI (4 round)

2009 March 25
by Guru Besar Pencen

ROUND ONE :

3 Mach yang lalu saya mengisi borang ‘Guru Simpanan Kebangsaan’ (GSK) dan terus menghantarnya ke Pejabat Pelajaran Daerah (PPD). Saya telah mendapat ‘memo’ dari seorang pegawai ‘muda’ En Shuhada (seperti nama perempuan) yang meminta saya bertugas keesokan harinya. Sebelum memo dikeluarkan hanya satu soalan yang beliau tanya kepada saya : Bolehkah cik gu mengajar sains ?Dengan ringkas saya menjawab : Boleh.

 Dengan rasa bangga dan gembira saya menerima arahan memo itu kerana saya amat rindukan sekolah setelah setahun meninggalkannya. Cik gu Jamil yang menemani saya ke PPD juga kelihatan gembira. Mungkin kerana pelawaannya untuk mengajar di sekolahnya kali kedua telah saya terima. Pelawaannya kali pertama setahun yang lalu terpaksa saya tolak dengan alasan saya hendak berehat terlebih dahulu.

Kebetulan sekolah tempat saya menjawat jawatan GSK itu adalah sekolah lama saya.  Di situ saya telah bertugas selama 12 tahun setengah sebagai Guru Biasa dan Penolong Kanan 1 dan 2 tahun setengah sebagai Guru Besar (GB). Tentunya amat menyeronokan, bukan ?  Yang bermain di kepala saya ialah sekarang saya terlibat secara langsung dengan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P).  Dan yang paling mengujakan pula ialah saya akan mengajar subjek sains dalam Bahasa Inggeris di bawah produk PPSMI yang sedang hangat diperkatakan sekarang.

4hb Mac saya kembali ke sekolah semula. 85% guru dan kakitangan adalah mereka yang pernah bersama saya dan di bawah saya (ketika menjadi GB). GBnya pula adalah sahabat yang seangkatan dengan saya.  Walau bagaimana pun saya menjejakkan kaki kembali kali ini dengan satu prinsip bahawa saya adalah seorang guru biasa yang penuh dengan pengalaman (maksudnya : bukan pandai) dan tugas saya ialah untuk mengajar – sebaik mungkin dan membantu sekolah seadanya.  Kini saya berdepan dengan PPSMI.

ROUND TOW :

Mulanya program ini dipanggil dengan nama eTem’s, ada juga disebut sebagai  PPSMI. eTem’s dipilih mungkin disebabkan hendak mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, dan bila di melayukan dikenali dengan PPSMI.  Akhirnya sekarang dikenali dalam Bahasa Melayu sebagai (PPSMI) tapi mengajar dalam bahasa Inggeris (etem’s)

Semasa saya menjawat jawatan GB, produk PPSMI penuh dengan seribu andaian . Saya terlibat di sekolah semenjak dari mula pelaksanaannya hingga murid tahun satu di tahun 5, setahun sebelum UPSR/PPSMI yang pertama. Pada peringkat permulaan pelaksanaannya, sebagai pentadbir sekolah, seperti biasa tumpuan saya berikan kepada pengurusan & pentadbiran PPSMI.  Mungkin banyak masyarakat luar tidak mengetahu isi kandungan pelaksanaan awal PPSMI ini. 

Guru-guru di minta menghadiri satu siri kursus (tinggallah murid bersama ‘guru ganti’ masing-masing-relief teacher). Kemudian tiba pula giliran ketibaan bahan pengajaran khas, termasuk peralatan-peralatan ICT ke sekolah.  Arahan demi arahan diterima untuk memantapkan pengurusan (stok), penempatan peralatan dan kepenggunaaan alatan dan bahan-bahan itu. Troli yang lengkap dengan sistem audio telah dibekalkan ke sekolah.  Tolak ke sana, surung ke sini untuk mencari lokasi yang selamat kerana troli itu mahal ceritanya. Laptop dan LCD pula dibekalkan, mahal juga ceritanya.  Simpan di sana tak kena, sini tak kena takut di curi.  Masih tidak selamat. (memang banyak yang tidak selamat pun)

Kemudian tiba pula peruntukan tambahan.  Tingkap dan pintu bilik-bilik darjah di grillkan untuk menyelamatkan peralatan ICT. Masih tidak selamat juga rasanya.  Arahan diterima bahawa semua guru kena bawa bersama laptop ke rumah dan ambil tanggungjawab sepenuhnya atas keselamatan ‘harta kerajaan’. Masih ada yang hilang dicuri.  Tunggu arahan untuk dikenakan ‘sur charge’ (?)

Berbagai-bagai jawatankuasa di tubuhkan, ditambah pula dengan siri perjumpaan pentadbir sekolah dengan pihak yang bertanggung jawab dari Kementerian atau pun Jabatan Pelajaran. Maka sibuklah warga sekolah yang setia (menurut perintah) menyediakan semua yang diarahkan, maka pelajaran pun bermula. Peralatan ICT pun digunakan oleh guru-guru.  Murid pula balik ke rumah memberitahu ibu bapa masing-masing “kami tengok wayang di sekolah” Guru perlu mengagihkan masa pembelajaran dengan pengajaran secara tradisonal dan kaedah terkini menggunakan peralatan ICT.

Riuh rendah pula diberitakan pula bahawa guru-guru di sekolah tidak mahir Bahasa Inggeris.  Kerana kebimbangan ini maka bermulalah pula siri kursus untuk pemantapan penguasaan guru dalam Bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik.  Guru yang dicadangkan akan dipanggil untuk berkursus namun masih juga tidak menjadi. Maka diminta pula guru Bahasa Inggeris di sekolah masing-masing mengajar dan membimbing guru-guru PPSMI ini dalam program “Buddy Support’.  Guru Bahasa Inggeris terima tanggungjawab ini (mungkin kerana mereka ada mendapat elaun 10% dari gaji masing-masing) mengajar guru-guru disamping mengajar Bahasa Inggeris kepada murid-murid.  Disyaratkan pula agar perjumpaan guru pembimbing ini dengan guru PPSMI hendaklah diadakan sekerap mungkin(jumlah jamnya ditentukan) .Taklimat, modul, borang, laporan, penilaian dan pematauan terus menerus berlaku.

Akhirnya murid terus juga belajar, guru terus juga mengajar, murid yang cerdik boleh berbahasa Inggeris, murid yang kurang cerdik terus berbahasa seperti ‘ayam bercakap dengan itik’.

Namun anjakan ini diterima oleh semua warga sekolah demi untuk memperkasakan pengetahuan ke arah era globalisasi.

Masih ada lagi yang tidak lengkap, begitulah diberitakan pula. Peralatan PPSMI mesti ditambah…. (??)

Jumpa lagi di Round Three & Round TKO (akan datang)

…gurubesarpencen… dah 10 hari mengajar (kena kira, sebab gaji hari)

Buah melaka, buah lengkenang, buah keduduk dan buah riang.

2009 March 17
by Guru Besar Pencen

Hari raya kali itu,  (dalam tahun 1961) saya bernasib baik.  Saya ada seluar panjang dan baju tangan panjang yang baru.  Abang saya yang beli semuanya menjelang hari raya.  ‘Baju raya itu tidak boleh dibasuh, kerana dia akan hancur’  kata abang.  Saya terus mempercayainya kerana mengagumi kecantikan baju itu.  Saya akan menceritakan kepada kawan-kawan tetapi ada diantara mereka yang ‘cerdik’ tidak mempercayainya. Banyak juga yang percaya.

Selepas aktiviti di masjid di pagi hari raya itu, saya mengajak sepupu saya berbasikal ke pekan yang berdekatan.  Dua orang sepupu lelaki saya hanya memakai kain pelikat lusuh dan berbaju, juga lusuh.  Mereka tidak mempunyai pakain baru di hari raya itu.  Ayah mereka bekerja sebagai penoreh getah.  Ayah mereka tidak rajin bekerja.  Ibu pula tidak bekerja.  Masih ada lagi adik-adik mereka. 

Begitulah kehidupan kami pada masa itu.  Saya bersama ibu (bapa sudah meninggal) mampu hidup agak selesa kerana abang yang menyara kehidupan kami, bekerja dengan kerajaan. Tetapi saya dapat merasakan kehidupan sepupu saya dihimpit kemiskinan.  Walaupun saya agak simpati dengan mereka, apakan daya saya.

Biasanya apabila tiba waktu makan tengahari, saya akan makan bersama ibu saya.  Tidak jauh dari rumah saya ketika itu akan kelihatan sepupu saya merayau-rayau mengintai kami makan.  Biasanya kedua-dua mereka tidak berbaju dan dalam keadaan letih lesu.  Ibu akan memanggil mereka makan bersama.  Biasanya mereka menolak, tetapi akhirnya mereka akan makan bersama kami.

Sama juga dengan saya, pada waktu petang kami akan bermain seperti budak-budak yang lain. Bila kehausan kami sama-sama akan ke telaga (perigi) menceduk air dan meminumnya melalui timba yang sedia ada di situ.  ‘Telaga’ adalah sebuah lubang yang di korek di tanah untuk mendapatkan air. Tiada langsung rasa kekok minum air telaga yang letaknya tidak jauh dari ‘jamban’ itu.  Seingat saya air itulah yang diminum oleh seluruh keluarga dan jiran-jiran yang tinggal berhampiran dengan rumah saya.

Kemudian kami akan pergi di pinggir kampung.  Sepupu saya akan memanjat pokok  melaka dan menjatuhkan buahnya.  Kami akan makan bersama sebagai ‘makanan petang’.  Sepupu saya memang handal memanjat pokok.  Kadang-kadang kami akan mencari buah keduduk.  Pokok keduduk sejenis pokok kecil. Buah keduduk suka dimakan oleh burung merbah.  Rasanya manis dan warnanya kebiru-biruan.  Mulut kami akan berwarna biru selepas makan buah itu. Itu juga adalah makanan petang kami.

Buah lengkenang adalah sejenis buah makanan burung.  Batangnya boleh dibuat rangka sangkar burung. Buahnya juga boleh di makan.  Ia juga satu lagi hidangan makanan kami pada waktu petang.

Biasanya pada hari cuti, pada waktu pagi kami akan ke tepi sungai yang tidak jauh dari rumah. Di tepi sungai itu ada sebatang pokok ‘riang’.  Pokoknya tinggi dan besar.  Sepupu saya akan memanjatnya dan menggoncangkan (menghinggut) rantingnya.  Buah riang yang kecil dan masak akan jatuh kedalam sungai yang airnya mengalir ‘lesu’.  Kami akan turun ke sungai untuk mengutip dan memakan buah riang yang ranum itu.

Sekarang pokok buah-buah ini telah semakin tidak kelihatan walaupun rasanya belum pupus.  Ada generasi sekarang sudah tidak tahu lagi buah ini. Pokonya jarang kelihatan kecuali jikalau kita masuk lebih jauh ke dalam hutan.  Buah-buah ini sudah tidak lagi menjadi makanan manusia kecuali haiwan dan unggas.

Apa yang perlu kita tahu bahawa, sekiranya manusia terdesak maka semuanya akan menjadi makanan.  Bagi kami, pada waktu petang, tiada menu yang disediakan untuk mengalas perut.  Makanan akan dihidangkan pada waktu tengahari dan malam selain dari makanan tradisi untuk sarapan pagi.  Oleh sebab ianya satu rutin harian,  kami tidak merasakan apa-apa kejanggalan.

Hidup mesti diteruskan sementara menanti dunia berubah. Saya terus bersekolah hingga tingkatan 5 dan kedua-dua sepupu saya berhenti sekolah ketika di darjah2 dan 3.

Syukur saya kerana dunia telah berubah dari sehari ke sehari.

Pada tahun 1967, kedua-dua sepupu saya telah bekerja di ‘kilang kertas’  yang baru dibuka di kampung saya dengan gaji RM2.50 sehari. Saya sedang menunggu keputusan SPM dan bekerja sambilan sebagai penoreh getah dan membanting padi di sawah.

Sekarang kami bertiga telah pun bersara dari pekerjaan masing-masing.  Kedua-dua sepupu saya memperolehi wang KWSP hampir RM180.00.  Kami semua sudah bermenantu dan saya telah pun bergelar ‘datuk’ (kerana telah bercucu). Kedua-dua sepupu saya pun sudah agak selesa, begitu juga saya, gurubesarpencen.  Kami tetap bersama seperti dahulu.  Kami terus  bersyukur dan tabah melayari kehidupan yang mendatang.

Kita perlu mengimbas kembali detik-detik di ketika itu.  Dengan itu akan timbul keinsafan untuk terus berjuang menabur bakti dengan membina kebajikan diri kerana keinsafan itu.

.. gurubesar pencen … nak pergi meminang untuk anak sepupu di Pulau Pangkor Ahad ini.

Tak pandai berhujah – kena pandai berfikir.

2009 March 1
by Guru Besar Pencen

Rajin membaca, banyak pengetahuan :  Begitulah antara beberapa banyak ‘mutiara kata’ yang sering saya ucapkan di sekolah bagi menerapkan budaya membaca di kalangan murid-murid. Baik dalam ucapan di majlis-majlis,  ucapan di perhimpunan pagi/petang,  semasa mengajar,  semasa sesi motivasi dan pada masa-masa lain yang sesuai.  Isi kandung ucapan saya  itu meliputi maklumat yang akan diperolehi, kemudahan yang ada di sekolah, menggunakan masa yang terluang, untuk menjamin masa depan yang gemilang dan menjadi manusia yang sempurna jika seseorang itu berpengetahuan.

Hari ini, ketika saya membaca surat khabar Mingguan Malaysia edisi 1 Mac, 2009.  Saya sempat menghabiskan bacaan yang ditulis oleh beberapa orang cendikiawan melayu.  Melalui rencana-rencana mereka dalam beberapa tema ini,  saya beranggapan mereka ini memang berkebolehan untuk menjana pemikiran pembaca bagi menambahkan pengetahuan.  Saya tidak berhajat untuk mengulas mengenai tulisan mereka sebaliknya saya ingin berkongsi maklumat mengenai minat membaca di kalangan masyarakat melayu.

Saya merupakan seorang yang tidak minat membaca.  Tanggunjawab saya ialah untuk mempastikan murid-murid di bawah tanggungjawab saya minat membaca.  Oleh itu ianya menjadi satu perkara yang amat susah walaupun telah melalui berbagai program termasuk memantapkan Program NILAM anjuran Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Di akhbar Mingguan Malaysia hari ini, tulisan Tun Daim Zainudin yang memperkatakan mengenai kegawatan ekonomi, Dato  Dr Firdaus, mengenai polimik perhubungan UMNO – MCA dapat kita jadikan contoh sebagai individu yang rajin membaca dan berpengetahuan.

Isi kandungan tulisan mereka menunjukan yang penulis-penulis ini adalah orang yang rajin membaca dan berilmu pengetahuan.  Oleh yang demikian hujah-hujah yang dikemukakan dalam rencana tersebut berkesan dan boleh dibuat renungan.

Terdapat juga rencana-rencana lain yang saya baca tetapi ianya berkisar mengenai isu-isu semasa yang ‘galak’ diperkatakan sekarang. Semuanya sudah seakan-akan ‘muak’ didengari bagi membicarakan permasaalahan politik yang tidak berkesudahan.

Yang menjadi tanda tanya adakah rencana semurni ini dapat dibaca dan dihayati oleh pembeli surat khabar Mingguan Malaysia ?  Terdapat ramai yang membaca berita ringan dan sensasi saja dari dalam akhbar mingguan maupun dalam akhbar harian.  Berita-berita sebegini tidak memerlukan pembaca menghayati dan berfikir bagi menganalisis isi kandungannya.

Pembaca golongan sederhana dan bawahan tidak mengambil kisah mengenai krisis ekonomi dan politik yang berlaku kerana mereka tidak memerlukan apa-apa tindakan untuk mengatasi kemelut tersebut.  Pada mereka, yang perlu ialah hasilnya sahaja.  Mereka ingin melihat kegawatan ekonomi pulih dengan segera dan keadaan politik stabil semula supaya kehidupan mereka yang sederhana dapat berjalan seperti biasa.

Maka timbullah persoalan bahawa golongan ini tidak perlu berhujah .. tidak perlu bercerita panjang dan tidak perlu bertekak dengan sesiapa. Tidak perlu membaca rencana dan tidak perlu mendengar ceramah ke atas masaalah  yang berprofile tinggi.  Ekoran dari itu akan wujudlah golongan yang hanya akan mempersoalkan apa yang berlaku kiranya perkara tersebut tidak memberi keuntungan kepada mereka.

Sebenarnya kita harus menerima hakikat bahawa golongan ini adalah golongan yang tidak bermasaalah.  Walaupun tidak pandai berhujah, golongan ini seharusnya pandai berfikir.  Kewarasan fikiran mereka adalah perlu bagi menentukan yang mana baik dan yang mana buruk.  Yang mana yang boleh diterima dan yang tidak boleh diikut.

Dalam masyarakat yang tidak berminat untuk membaca, kita memerlukan satu golongan yang rajin membaca dan berpengaruh untuk tolong membaca dan seterusnya menceritakan kepada golongan ini.  Oleh yang demikian mereka akan memperolehi pengetahuan dan boleh berfikir kerana berfikir juga memerlukan pengetahuan.

Maka terjadilah seperti yang berlaku masakini yang mana penceramah-penceramah (politik atau bukan politik)  yang berpengaruh terus mengeksploitasikan golongan yang tidak rajin membaca dan kurang pengetahuan ini dengan memperdengarkan ceramah-ceramah mereka yang berdegar-degar kepada golongan yang tidak berpengetahuan untuk berfikir.

Ada pemimpin politik diperingkat bawah yang berceramah itu sendiri adalah golongan ahli politik yang malas membaca.  Mereka mendapat idea dari persepsi politik yang diperolehi dari pemimpin atasan parti yang di dokongi mereka sahaja.

Seorang rakan saya En Nafis bin Budin, guru lepasan ijazah awal tahun 80’an pernah memperlekehkan seorang AJK UMNO Bahagian dengan mengatakan ‘ Bagaimana u nak jadi ahli politik sedangkan u tak pernah membaca buku pun’

En Nafis telah beberapa kali mencuba menjadi orang politik tapi akhirnya beliau gagal kerana dia hanya membaca buku tetapi tidak membaca isi hati orang-orang yang akan menjulangnya ke atas dalam persada politik UMNO Bahagian. Tapi masa sudah mendewasakannya.

..gurusbesarpencen..  semuanya kena baca.