2 tahun permulaan menjadi Guru Besar rasanya sudah cukup untuk mendewasakan pengalaman bagi menyumbang bakti. Mulai tahun ke 3 hingga tahun ke 10sehingga akhirnya menempuh hari-hari persaraan dengan rasa amat puas sekali. Hanya itulah ungkapan yang dapat disebut untuk menggambarkan kepuasan setelah 34 tahun 11 bulan 5 hari bertugas.
Saya tidak dapat lari dari membuat perbandingan diantara rakan-rakan seperjuangan. Setiap Guru Besar mempunyai gaya tersendiri dalam menguruskan sekolah. Saya mempunyai pendirian sendiri bagaimana sesebuah sekolah itu harus diuruskan.
Saya ingin tumpukan perbincangan ini kepada budaya menyelenggara di sekolah. Topik ini saya pilih kerana kita dengan mudah dapat melihat sekolah yang tidak diselenggara. Selenggara pada saya bermaksud lebih kepada servis (service). Sekolah perlu diselenggara secara berterusan.
Hanya 4 buah sekolah yang saya diamanahkan untuk mengurus dalam tempoh 10 tahun. Apabila saya mula sampai di sekolah-sekolah tersebut, saya mendapati kesemuanya mesti diselenggara secara keseluruhannya. Tugas menjadi berat dan usaha mesti dilipatgandakan.
Apa yang perlu diselenggara ?. Semua benda patut diselenggara, terutamanya perabot. Semua benda patut berada di tempat yang sepatutnya. Bangku kantin sepatutnya ada di kantin dan kerusi meja murid sepatutnya berada di bilik darjah . Perabot rosak sepatutnya ada disatu sudut barangan pelupusan atau sudut untuk dibaiki. Perabut berlebihan juga sepatutnya ada di satu tempat khas untuk tindakan lanjut. Di kaki lima sekolah tidak sepatutnya ada almari dan di bawah tangga tidak sepatutnya ada simen sebab almari ada tempatnya dan simen sepatutnya ada di stor pekerja. Begitu jugalah dengan benda-benda lain yang ada disekitar sekolah.
Ada bilik darjah yang tiada almari sedangkan almari masih ada tetapi berada di tempat yang tidak sepatutnya ia berada. Adapula bilik darjah yang ada almari tetapi rosak dan membahayakan murid tapi masih berada disitu tanpa fungsinya. Peralatan pertukangan di letakkan (bukan disimpan) di bilik guru (?), di pejabat (?) atau di tempat-tempat lain (?). Sepatutnya semua ini berada di stor atau bilik pekerja. Adakah Bilik pekerja pula di selenggara ? Kalau diselenggara, maka tidak timbul masalah untuk mendapatkan alat tukang (alatan penyelenggaraan) apabila hendak digunakan sebab kesulitan ini selalu berlaku.
Oleh yang demikian, keperluan ialah memperkemaskan sudut penyelenggaraan prabot untuk menempatkan perabot yang boleh dikatagorikan (1) rosak (2) stok. Kemudian proses pemindahan dan bancian boleh dilakukan. Objektif penyelenggaraan awal ialah bagi menentukan semua benda berada di tempat yang sepatutnya.
Budaya menyelenggara tidak akan menjadi satu budaya di sesebuah sekolah jika Guru Besarnya tidak memulakannya kerana kebanyakan warga sekolah akan merasa bahawa tugas itu adalah tugas pekerja sekolah. Yang lebih malang sekiranya Guru Besar sendiri merasakan tugas itu adalah tugas pekerja sekolah dan yang paling malang jikalau Guru Besar sendiri merasakan itu bukan tugasnya (??).
Tanggungjawab ini boleh dilakukan dengan berkesan dengan mengwujudkan satu sistem penyelenggaran yang difahami dan boleh digunapakai oleh semua warga sekolah. Ianya perlu diperingati dari semasa ke semasa melalui teguran, pujian, penambahbaikan dan kalau perlu dengan sedikit tekanan melalui denda/hukuman yang sesuai.
Perkara-perkara lain yang sering berlaku kegagalan penyelenggaraan secara berterusan ialah ke atas kemudahan-kemudahan lain seperti sudut hiasan taman, laluan berumput, pagar, bilik stor, sudut-sudut pameran, bilik-bilik khas, kemudahan siaraya, kemudahan letrik, pintu dan tingkap, kemudahan Alat Bantuan Mengajar dan sebagainya. Perjalanan sekolah menjadi tidak lancar jika pengurusan sekolah gagal membudayakan proses penyelenggaraan ini.
Murid-murid juga perlu dibudayakan untuk mengurus bilik darjah masing-masing. Oleh yang demikian semua guru di sekolah merupakan makanisme penting dalam merealisasikan proses membudayakan ‘penyelenggaraan’ ini. Dengan yang demikian murid-murid akan memenanamkan rasa kecintaan kepada kekemasan. Seterusnya budaya ini akan membantu murid-murid ini lebih bertanggungjawab, seterusnya sayang akan persekitaran dan harta benda sekolah. Diharapkan didikan yang sebegini akan dapat dibawa balik ke rumah dan seterusnya mereka ini akan menjadi warga yang bertanggung jawab kepada masyarakatnya..
Saya ingin menarik perhatian mengenai ‘penyelenggaran tandas awam’ di sekitar bandar kecil tempat tinggal saya.
Mulanya ada (1), kemudian rosak ,dan tidak diselenggara (orang ramai tidak berani masuk) kemudiannya dibina lagi (+1=2) dan rosak dan tidak juga diselenggara akhirnya dikunci. Orang ramai yang berhajat akan menggunakan tandas akan ke Bangunan Pasar (+1=3), dibina lagi (+1 =4) di perhentian bas (tandas berbayar) dan di selenggara, dibina lagi (+1 =5) (tandas berbayar) dan di selenggara, akhirnya dibina lagi ( +2=7) masih belum di rasmikan lagi. 2 tandas yang baru ini nampak lebih canggih (mungkin memakan belanja yang banyak) tetapi belum tahu lagi nasibnya apbila dibuka nanti.
Ini membawa maksud bahawa budaya selenggara itu tidak wujud dengan meluas. Semenjak dibangku sekolah lagi murid tidak diterapkan dengan budaya tersebut hinggalah murid tadi menjadi dewasa dan berkuasa setelah menjawat jawatan bagi menguruskan sebuah organisasi awam – budaya selenggara terus diketepikan.
Oleh sebab ada peruntukan.. membina tandas baru lebih menguntungkan dari menyelenggara(??)
…gurubesarpencen… tandas guru dicuci sendiri.
Yusoff bin Hussain (Chop ) telah membenarkan permohonan saya untuk mengambil bahagian dalam lakonan drama purbawara kendaliannya bersama-sama dengan beberapa orang rakan yang lain. Sekeping kertas yang sebesar separuh wang kertas RM1.00 ditulisnya dengan tergesa-gesa dan diberikan kepada saya. Saya mengambil dan membacanya : ‘Perintah tuanku patek junjung di atas batu jemala patek’. Kami pun beredar ke pentas persembahan (sebuah pondok yang dibuat dari keratan pelepah kelapa).
Pada petang itu, beberapa orang rakan saya mula melakonkan watak-watak dalam drama purbawara dengan menggunakan skrip yang diberi oleh Chop. Ada diantara ‘pelakon’ petang itu yang tidak berbaju, kebanyakannya berseluar pendek dengan memperagakan tengkolok yang dibuat dari kain atau kertas surat khabar lama. Boleh dikatakan semua ‘pelakon’ akan mengenakan keris (yang dibuat dari pelepah daun pinang) yang di sisip dicelah seluar (bahaya) di pinggang. Ramai di antara kami yang bermisai yang dilukis dibibir dengan menggunakan arang. Ada juga yang nakal menghitamkan seluruh muka mereka dengan arang tadi.
Saya berdiri di sudut ‘pentas’ yang berlantaikan tanah dan tidak berbumbung. Sambil menunggu giliran untuk saya membaca skrip yang diberikan tadi, saya memerhatikan rakan-rakan lain berlakon melalui skrip yang mereka perolehi dari Chop. Satu babak demi satu babak berlalu dan saya makin bercelaru menunggu giliran skrip saya. Akhirnya drama purbawara sampai ke kemuncaknya. Babak pergaduhan pun bermula. Pelakon yang terlibat mula memencak silat, bertikam-tikaman dan sebagainya. Masing-masing menggunakan ‘keris’. Akhirnya drama purbawara itu tamat dengan perkelahian sebenar. Skrip saya tidak dapat diteruskan.
Peristiwa itu berlaku berlaku pada saban petang dalam tahun 1960 atau 1961 ketika saya bersama Chop di darjah 3 atau 4. . Kami dipengaruhi oleh pementasan yang sering diadakan di padang sekolah oleh pemuda-pemuda kampung kami pada sebelah malam. Pentas sebenar didirikan dan diterangi oleh lampu letrik yang dijana dengan kuasa enjin. Kami amat gembira sekiranya dapat menyaksikan pementasan itu kerana pentas akan diterangi dengan lampu yang terang benderang. Pada ketika itu di rumah kami tiada bekalan letrik. Sebagai kanak-kanak kami amat gembira apabila disajikan dengan berbagai pertunjukan pada malam tersebut. Ada nyanyian, lawak jenaka, boria dan yang tidak ketinggalan ialah Drama Purbawara. Kebanyakan pelakon atau pelawak adalah lelaki ; walau pun watak perempuan, lelaki yang melakonkannya.
Ketika itu Radio Singapura sering memperdengarkan rancangan ‘Bangsawan di udara’, drama purbawara yang diminat dengan mendalam oleh generasi ketika itu. Lanjutan daripada itu terdapat filem melayu yang menonjolkan cerita-cerita istana. Ia berkaitan dengan ketaatan kepada raja dan peranan orang-orang di bawah raja dan rakyat biasa. Walaupun ramai antara kami tidak berpeluang untuk menonton wayang gambar tetapi saya dapat melihat gambar-gambar filem itu melalui ‘majalah filem’ yang amat diminati ketika itu. Semuanya menjadi pujaan saya dan rakan-rakan.
Bertitik tolak dari situ, ketaatan kepada istana (raja-raja) telah bersemi. Secara ketidak langsung taatan itu telah bersemai seterusnya telah menjadi darah daging kepada kami dari zaman kanak-kanak lagi. Sehingga sekarang, generasi sezaman dengan saya, masih menebal semangat ketaatan kepada institusi raja. Pendek kata tidak perlu lagi dipertikai, diperkatakan malah diubah samasekali ketaatan kepada raja dan institusi istana itu. Ia merupakan satu kehidupan yang tetap berada bersama kehidupan seharian. Persoalannya mengapa ia berlaku begitu ? Kerana Bangsa Melayu mesti mempunyai raja untuk memayungi Bangsa Melayu…
Ampun tuanku beribu ampun, sembah patek harap diampun, perintah tuanku patek junjung.
Tentunya tidak akan berlaku : Ampun tuanku beribu ampun, sembah derhaka patek sembahkan. Patek tak mahu letak jawatan sebagai bendahara negeri Perak . Ampun tuanku.
…. gurubesarpencen ….. pernah memenataskan drama purbawara ‘seuntian kasih di rimba neraka’ yang dilaporkan oleh pemberita sambilan, Anuar Asmadi dalam akhbar Berita Harian sekitar tahun 1972 semasa dimaktab perguruan.
Dalam tahun 1982 saya sudah 10 tahun mengajar di Sekolah Kebangsaan Panchor, Pantai Remis di dalam daerah Dinding (sekarang ini dikenali sebagai Manjung) di negeri Perak. Sekolah itu merupakan sekolah pertama saya mengajar selepas tamat kursus perguruan pada tahun 1971 dan 1972. Memang penuh dengan kenangan dan nastolgia. Bila saya imbas kembali perwatakan saya, sehingga hari ini yang saya ‘dengan rasa penuh bangga’ menyatakan yang saya adalah seorang guru yang sangat komited dengan tugas saya.
Suatu hari (dalam tahun ke 10 saya berada di sekolah itu) saya telah diberitahu oleh kerani sekolah itu bahawa saya telah diarahkan bertukar ke sekolah yang berdekatan dengan tempat tinggal saya (di Pantai Remis) iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Batu. Sungguhpun sekolah tersebut sangat hampir dengan rumah saya (kurang dari 1 km jaraknya) tetapi saya tidak gembira untuk ke sana. Saya lebih suka untuk terus berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Panchor yang jaraknya hampir 6 km dari Pantai Remis, tempat tinggal saya. Baru saya sedar ada seorang pegawai yang bertugas di Pejabat Pelajaran Daerah Dinding (Manjung) datang ke sekolah beberapa hari sebelum itu. Mungkin beliau lah yang mencadangkan yang saya perlu ditukarkan kerana sudah lama berada di sekolah itu.
Pada masa itu saya sangat aktif dalam persatuan belia yang baru di tubuhkan di kampung tempat saya mengajar itu. Persatuan Belia itu ditubuhkan semenjak saya ditukarkan ke situ. Banyak aktiviti yang dijalankan melalui pertubuhan itu. Yang paling ketara saya bersama-sama dengan belia-belia tempatan dapat mengembelingkan tenaga muda supaya bergerak dalam satu haluan. Pendekatan turun padang dapat menangani gejalah penagihan dadah yang sudah mula bertapak di kalangan anak muda di kampung nelayan itu. Dengan berkonsepkan ‘mengawal belia yang belum terjebak dadah’ telah membawa kepimpinan saya dan rakan-rakan diterima baik oleh penduduk setempat. Aktiviti sukan dan kebudayaan ternyata berkesan menarik perhatian belia setempat selain aktiviti kebajikan masyarakat.
Semasa surat pertukaran sekolah itu saya terima, saya sudah sekian lama dilantik sebagai setiausaha kerja JKKK kampung berkenaan. Pada ketika itu (akhir era 80an) peranan JKKK mula diaktifkan dan ahli jawatankuasanya mendapat elaun mesyuarat. Tok Sidang (Pengerusi JKKK atau Ketua Kampung) pada masa itu (Pak Chu Chin) sangat menyukai saya kerana kepimpinan saya dalam Persatuan Belia dan kebolehan saya dalam urusan dokumentasi (surat menyurat) serta sistem fail yang saya wujudkan. Sebagai ‘orang lama’ kebolehan itu langsung tidak ada dalam dirinya dan rakan-rakan seperjuangannya yang diberi tanggungjawab menerajui kepimpinan JKKK. Disamping itu, dengan melantik saya sebagai setiausaha JKKK, beliau juga mendapat kemudahan melalui saya untuk menggunakan kemudahan yang ada di sekolah di kampung itu seperti kemudahan padang, tempat mesyuarat dan peralatan cetakan (Gestetner) kerana Guru Besar sekolah itu sangat mempercayai dan menghargai perhubungan saya dengan masyarakat setempat.
Tok Sidang telah menerima perkhabaran itu dengan rasa amat terkejut. Beliau merasakan akan kehilangan sesuatu yang menjadi harapannya selama ini. Sebagai seorang yang berjawatan politik (JawatanKuasa UMNO Bahagian Pengkalan Bahru) beliau rasa amat tercabar. Pada suatu malam, di bawah sinaran lampu ‘gasoline’ (kawasan disitu masih tiada bekalan letrik pada masa itu) beliau bersama rakan karibnya (Pak Chu Min) dan beberapa orang penduduk kampung mengambil keputusan untuk berjumpa dengan EXCO Kanan Negeri Perak pada masa itu, Dato Hj Abd Malik bin Ahmad, yang juga Ketua Umno Bahagian Pengkalan Bahru untuk mengadu bagi membatalkan pertukaran mengejut saya itu. Saya hanya diminta berdiam diri.
Selang beberapa hari saya pun berangkat meninggalkan sekolah tersebut untuk mengajar di sekolah yang baru (Sekolah Kebangsaan Sungai Batu) kerana saya sedar bahawa sebagai penjawat awam saya terpaksa patuh kepada perintah jabatan. Pihak Jabatan Pelajaran Perak enggan tunduk kepada desakan politik untuk membantalkan pertukaran saya seperti mana yang dikehendaki oleh pemimpin politik tempatan.
Beberapa hari kemudian saya mendapat ‘khabar’ yang pegawai PPD yang menukarkan saya telah diarahkan (oleh arahan politik) untuk bertukar serta-merta (dalam tempoh 24 jam) dari PPD Dinding ke Ipoh.
Moral dari cerita ini bahawa pada ketika itu, ketikamana kerajaan yang memerintah sangat kuat (mendapat sokongan padu rakyat) semua perkara boleh berlaku. Kadang-kadang kita perlu menerima hakikat yang kita amat memerlukan pemerintah yang mempunyai ‘kekuatan’ dan menggunakan kekuatan untuk kebaikan masyarakat. Saya amat sedar yang tenaga saya amat diperlukan di sekolah asal itu.
Ketikamana pemerintah sudah lemah (tiada sokongan padu dari orang ramai) seperti sekarang, maka berlakulah apa yang dapat kita saksikan ‘sandiwara’ yang dipertontonkan kepada kita (rakyat bawahan) sekarang. Kebetulan apa yang terjadi sekarang dan kepada saya 26 tahun yang lalu berlaku di Negeri Perak tempat saya memulakan karier saya sebagai seorang ‘GURU’
Permohonan saya untuk bertukar ke negeri asal saya, Pulau Pinang berlaku setahun kemudian.
.. gurubesarpencen teringat arwah Pak Chu Chin, alfatihah.