Bukan senang orang seperti saya boleh berjumpa dengan seorang menteri.
Pada 6 Februari lalu, jam 8.30 malam, saya bersama rakan-rakan dari Persatuan Bolasepak Nibong Tebal (NTFA) telah dijemput ke Jamuan Mesra bersama YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakop, Menteri Belia dan Sukan di Bertam Golf Resort, Kepala Batas. Majlis tersebut adalah Majlis Perjumpaan Menteri tersebut dengan pemimpin-pemimpin belia, NGO dan pemimpin Sukan di Negeri Pulau Pinang. Walau bagaimanapun hadirin pada malam itu kebanyakannya datang dari sebelah Seberang Perai.
Ada bersama dalam majlis itu adalah pemimpin-pemimpin UMNO dari beberapa Bahagian UMNO di Seberang Perai yang sama-sama datang meraikan YB Dato’ Sri.
Sementara menunggu ketibaan YB Menteri (kami sampai kira-kira jam 8.00 malam) saya mengelamun. Saya merasakan bahawa usia saya sudah agak tua untuk berada sebaris dengan pemimpin-pemimpin persatuan sukan yang ada di dewan pada hari itu. Walau bagaimanapun bila kita imbas kembali senario kepemimpinan sukan di Malaysia sekarang, semakin tua seseorang itu semakin bernafsu pula menonjolkan dirinya untuk memimpin persatuan sukan. Dalam pada itu kadang-kadang di dapati penuh pula dengan aksi-aksi politiknya sekali dalam usaha merebut jawatan-jawatan tertentu.
Ketika perbualan dalam perjalanan semasa datang tadi bersama dengan 3 orang rakan AJK NTFA (yang kira-kira 20 hingga 30 tahun lebih muda dari saya) saya menyatakan yang saya hadir ke sini hanya untuk memberi keyakinan dan pendedahan kepada mereka agar dapat menerajui NTFA selepas ini, kerana sudah tiba masanya yang saya akan meninggalkan jawatan itu kepada mereka.
“Buat masa ini cikgu belum boleh meninggalkan kami lagi, kerja boleh kami buat tapi cik gu kena ‘ada’ ” . Itulah antara jawapan yang saya perolehi.
Pemimpin Sukan yang ‘berusia’ memang diperlukan oleh generasi muda sebagai pembimbing dan penggalak. Tetapi pemimpin yang ‘berusia’ ini perlu berhemah, jujur dan amanah supaya menjadi ‘role model’ kepada bakal pemimpin yang masih muda. Dalam ertikata yang sebenar pemimpin yang ‘berusia’ tidak perlu mengejar glamour, sanggup merendah diri, tidak mengejar wang dan tidak langsung mementingkan diri (atau keluarga).
Tidak dapat dinafikan kepimpinan sukan yang ‘berusia’ mempunyai pengetahuan dan kemahiran kepemimpinan yang tinggi, tetapi kegagalan mereka ialah kerana mereka gagal mendamping pemimpin muda dari segi isihati, stail dan kehendak orang muda disamping mereka gagal mengadaptasi kelemahan pemimpin muda ini. Disebab yang demikian maka berlakulah perselisihan pendapat yang menyebabkan kegagalan kepimpinan di peringkat persatuan yang seterusnya gagal mencapai matlamat yang telah ditetapkan.
Memorandum yang saya bawa untuk diserahkan kepada Menteri saya tertinggal di dalam kereta. Kesempatan YB Dato’ Sri Menteri belum hadir saya gunakan untuk turun mengambil memorandum itu. Sebaik sahaja mengetahu yang YB Dato Sri Menteri akan mengadakan lawatan ke Seberang Perai, Jawatankuasa NTFA mengambil keputusan untuk menyerahkan padangan Persatuan Bolasepak Daerah (bukan permohonan – lazimnya kalau serah surat kepada Menteri akan mengandungi ‘permohonan’) untuk dikongsi bersama dengan YB Menteri memandangkan YB Menteri Belia dan Sukan masakini dapat mengimbangi keperihatinannya terhadap pembangunan bolasepak di Malaysia.
Sebagai sebuah pertubuhan bolasepak yang mewakili sebuah daerah, kita tentunya merasai apa yang sebenarnya berlaku di peringkat paling bawah dalam permainan bolasepak. Dari segi infrastruktur, pemain, kepimpinan bolasepak daerah, kepimpinan bolasepak negeri (FAP), keterlibatan pejabat belia dan lain-lain agensi kerajaan, kepimpinan politik (pertukaran kerajaan dari Barisan Nasionl ke Kerajaan Campuran DAP PAS dan Keadilan), sesitiviti masyarakat, di peringkat bawah banyak mempengaruhi keberkesanan dan kejayaan pembangunan bolasepak.
Baik agensi mana sekali pun(buat masa ini yang ketara ialah FAM, Persatuan Bolasepak Negeri dan KBS sendiri) yang mendominasikan sukan bolasepak di Malaysia, pandangan dari peringkat daerah dan kampunglah merupakan sumber yang paling tepat untuk dirujuk.
Oleh yang demikian isi kandungan memorandum itu hanya ingin berkongsi padangan mengenai pembangunan akar umbi kerana pengalaman NTFA dalam bidang ini dapat membantu Perancangan Pembangunan Bolasepak Malaysia (KBS) yang lebih berkesan.
Antara pengalaman NTFA ialah : pernah beraksi dalam Liga Malyasia / Piala FAM dan Liga Perdana dalam tahun 2003 hingga 2006, mempunyai Akademi Bolasepaknya, mempunyai pasukan bawah umur yang beraksi dalam Liga Persatuan Bolasepak Pulau Pinang(FAP), ada penganjuran Liga Tempatan (buat masa ini sudah tidak berdaya menganjurkannya), mempunyai Pasukan Bolasepak Vetran yang aktif dan penyertaan kelab-kelab kampung juga penganjuran aktiviti bolasepak futsal, sembilan sebelelah secara amatur. Memorandum itu diharapkan akan membantu YB Menteri dalam merangka pembangunan bolasepak Malaysia di bawah kelolaan Kementerian Belia dan Sukan nanti.
Menteri telah tiba dan hanya ucapan YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakop, Menteri Belia dan Sukan sahaja yang dibuat (beliau tiba lewat sejam dari aturcara kerana jadual lawatannya ke Pulau Pinang sangat padat). Banyak informasi yang diperolehi dari ucapan beliau yang merangkumi aktiviti dan perancangan KBS. Para belia yang hadir amat tertarik dengan perancangan yang disediakan dan perlu mengambil tindakan (bukan sahaja perhatian) terhadap perancangan itu. Tapi yang paling menarik perhatian saya dan rakan-rakan saya ( mungkin juga orang lain yang amat berminat dengan permainan bolasepak) bahawa KBS akan menganjurkan Liga Bolasepak Komuniti di setiap daerah di Malaysia. Satu lagkah yang baik yang ditunggu-tunggu oleh pemain bolasepak di peringkat bawah (kampung dan daerah).
Walau bagaimanapun, lama dahulu pihak KBS melalui pejabat Belia Daerah pernah juga menganjurkan liga seperti ini tetapi malangnya ianya tidak langsung memberi kesan terhadap pembangunan bolasepak kerana beberapa perkara. Antaranya seperti berikut :
1. Kegagalan pihak Pejabat Belia mendamping Persatuan Bolasepak Daerah untuk dijadikan penganjur bersama kerana kepakaran dan komunikasi yang berkesan ada kepada Persatuan Bolasepak Daerah dengan kelab-kelab kecil di peringkat kampung dan Taman. .
2. Menggunakan dengan melantik rakan yang rapat dengan Pejabat Belia Daerah sahaja untuk dijadikan Ahli Jawatankuasa penganjur yang mana kebanyakan diantara mereka tidak mempunyai jiwa bolasepak dan kurang mendampingi kelab-kelab kecil tadi.
3. Penganjuran sebelum ini lazimnya berkonsepkan ‘ada peruntukan, ada aktiviti’ ; pada hal penganjuran secara bersendirian oleh Persatuan Bolasepak Daerah tanpa bantuan KBS bukan sahaja tidak dapat keuntungan bahkan banyak pengorbanan dari segi masa dan wang yang dibuat oleh beberapa orang Jawatankuasanya (kerana penganjurnya berjiwa bolasepak ).
4. Tiada tindakan susulan dan tiada penilaian dibuat selepas penganjuran Liga tersebut. Ini sudah tentu tidak memberi apa-apa kesan kerana tiada Jawatankuasa Khas untuk tujuan Pembangunan Sukan Bolasepak itu sendiri.
5. Kemudahan dan pengurusan sukan yang ada di dalam daerah (yang dikendalikan oleh Pejabat Belia dan Sukan Daerah dan agensi-agensi kerajaan yang lain) tidak dimaksimakan penggunaannya. Kemudahan ‘sumber manusia’ yang ada di PBDSD juga tidak dioptimumkan. Mungkin tiada kepakaran atau pengkhususan di dalam satu-satu bidang sukan.
Akhirnya memorandum itu saya serahkan kepada menteri. Dalam sapaan ringkasnya YB Dato’ Sri Menteri bertanya saya “Dari Persatuan Bolasepak kah?” . Pada saya beliau sudah dapat mengagak. Dalam jawapan ringkas selanjutnya kepada saya beliau menyatakan ” Ya, saya akan baca, terima kasih”
“Dato Sri bacalah, ia hanya akan mengambil masa 5 minit sahaja untuk menghabiskannya, ia mengandungi dua helaian mukasurat sahaja. Hanya sekadar untuk berkongsi pengalaman. Terima kasih Dato’ Sri”
Saya sungguh berbesar hati.
Makanan sedap.
gurubesarpencen .. sedang buat persiapan untuk mengadakan mesyuarat agung NTFA dan pemilihan Presiden pasti berlaku kerana Presiden lalu En Ooi Teng Hoe telah meninggal dunia 2 bulan yang lalu akibat serangan jantung. Takziah.
Guru Besar yang bersara dalam era penghujung 90’an dan awal tahun 2000 hingga kini kebanyakannya dari golongan yang amat selesa dari segi kewangan kerana kebanyakannya berkahwin dengan isteri / suami yang berpendapatan tetap. Juga kebanyakannya memilih pasangannya dari kalangan guru.
Apabila bersara , ianya memberi impak yang besar dari segi kewangan, tambahan pula ada di antaranya yang sempat mencapai pendapatan tertinggi hingga ke gred gaji DG34 atau DG 41. Kalau pasangan merupakan seorang guru atau Guru Besar juga maka perolehan wang ganjaran itu akan mencapai sehingga ke peringkat maksimum kerana kedua-duanya akan bersara selang beberapa lama antaranya. Syukur alhamdulillah.
Bermulalah satu alam atau suasana yang sangat berbeza, yang paling ketara ialah meninggalkan tugas harian yang penuh dengan cabaran selama ini. Sebelum bersara, sebagai Guru Besar yang komited: setiap hari, setiap masa dan dimana saja, ada saja perkara yang bermain dalam kepala yang menuntut anjakan, keperihatinan, pendekatan, tindakan, ketegasan, kelembutan dan sebagainya bagi melayari sebuah organisasi di bawah kepimpinan seorang yang bernama Guru Besar. Tapi kini semuanya hilang dalam sekelip mata saja.
Apa yang berlaku selepas tanda noktah ini (pencen) :
Setelah memperolehi ganjaran yang lumayan tentunya sibuk berkira-kira untuk merancang wang ganjaran yang banyak (bagi kebanyakan orang) diperolehi . Ada berbagai-bagai cara orang menangani situasi ini. Bagi saya sebagai seorang individu yang pasangan tidak bekerja, semasa masih bertugas, soal berbelanja tidaklah mewah, tambahan pula sikap boros, tidak berjimat cermat dan tiada budaya menabung telah mempengaruhi situasi berbelanja dan merancang perbelanjaan setelah saya memperolehi ganjaran.
Saya suka membayar hutang bila ada duit dan suka berhutang bila tiada duit. Setelah memperolehi ganjaran, semua hutang-hutang saya di langsaikan. Dua tiga hari saya mengeluarkan wang yang banyak dan bergerak ke sana-sini membayar hutang. Hutang kereta, kad kredit, hutang motosikal, hutang orang, hutang majlis daerah, hutang hasil kerajaan dan entah apa-apa hutang pun saya tak ingat. Kemudian saya mula beli barang-barang yang dulunya saya teringin tapi tak dapat beli, kebanyakannya alatan pejabat dan alatan pertukangan. Dan lain-lain perbelanjaan lagi
Dalam pada itu saya juga terfikir bahawa isteri saya yang setia selama ini bersabar tanpa memakai barang-barang kemas (setelah beg tangannya dicuri menyebabkan semua barang kemas yang dibeli semasa berkahwin30 tahun dulu hilang dicuri penagih dadah yang juga rakan saya) . Beliau juga seperti saya, sebelum ini sangat teringin untuk melengkapkan rumah kami tetapi tidak terdaya. Sikap pemurah saya telah menjadikan isteri saya seorang yang sangat gembira kerana semua keinginannya dapat saya tunaikan sehingga saya berjaya membuka akaun ASB untuknya dengan nilai pelaburan RM5000.00 (Juruwang Bank CIMB tercengang kerana terkejut ketika berumur 49 tahun baru isteri saya membuka akaun Amanah Saham Nasional).
Saya juga membeli hadiah untuk anak-anak. Mereka sangat sangsi untuk menerima hadiah-hadiah itu dari saya kerana saya tidak pernah membeli hadiah untuk mereka sebelum ini. Ada yang dapat kasut, ada yang dapat menggantikan tayar kereta yang botak, dapat hadiah wang untuk repair kereta, ada yang dapat rantai tangan dan akhirnya dapat sekeluarga bermalam di hotel 2 bintang di Kuala Lumpur selama 2 malam. Mereka semua rasa ayah mereka ini hebat walaupun buat sementera waktu kerana sebelum ini tidak pernah berbuat demikian. Mungkin mereka ini antara anak-anak yang pandai bersyukur.
Belanja dan berbelanja dan berbelanja dan berbelanja dan …..
Sehingga 4 bulan di alam persaaan ‘sepenuh masa’ maka saya pun keletihan ‘duduk saja’ . Dah habis urusan beli-membeli saya lakukan. Dah selesai mebersih dan mengatur rumah untuk mempersiapkan diri menghadapi hari-hari persaraan selanjutnya…..
Maka saya pun mulalah mencari kerja kerana takut hendak berniaga.
(bersambung bila dperlukan pernyataan)
Part 2 :
Hampir 10 tahun blog ini bermaya tetapi diakhir-akhir ini sudah tidak bermaya lagi.
Setelah sekian lama saya muncul kembali dalam semak samuk kehidupan yang dilalui. Saya sudah hampir mengenali istilah manusia dan kehidupan. Sudah sampai masanya untuk menutup kehidupan ini sebagai manusia. Namun sisa sisa kehidupan yang masih ada diteruskan sebelum meneruskannya diperjalanan terakhir.
Bulan Jun 2016 adalah post yang terakhir dari saya, setelah 2 tahun, saya menyunting profil ini. Semoga ada hikmah disebalik segalanya. Ianya sesuatu waktu yang sangat sukar untuk dilupakan dengan kehilangan insan tersayang, yang bernama ‘isteri’ (25 Julai 2017) . Selain masih dikelilingi oleh orang yang disayangi – landskap kehidupan sama sekali berubah.
Dalam usia yang menjangkau 70 tentunya masih muda jika dibandingkan dengan kegigihan PM yang baru ini. Namun hakikatnya kehidupan saya tidak seperti kehidupan Dr Mahathir dan yang pasti budaya hidup saya (kebanyakan kita) tidak seperti kehidupanya – dipayungi oleh disiplin yang tinggi.
Sudah 11 tahun meninggalkan bidang keguruan, namun rindunya masih tebal. Satu demi satu lipatan sejarah berada dicerminan minda, terus menerus mengukir senyuman tanda puas. Allah itu maha kaya; kini saya masih lagi mengajar – cucu yang diakhir usia 5 tahun – menjadi teman berbicara, bergaduh dan bersenda menghilang kesunyian. Sudah boleh membaca, menulis dan mengira – kerana “saya seorang guru biasa, yang hanya mengajar tulis dan baca” (Usman Awang).
Alhamdulillah.
Part 1 :
Blog ini mengucapkan selamat datang dan mengalu-alukan semua pengunjungnya. Dengan namanya saja tentunya pengunjung dapat mengetahui siapa saya dan bidang yang saya ingin berkongsi. Setelah melalui pengalaman selama 35 tahun dalam bidang pendididkan, termasuk 10 tahun sebagai pentadbir sekolah; sekarang ini ada sedikit ruang untuk dikongsi kerana sebelum ini seluruh masa dan keringat telah dicurahkan sepenuhnya kepada bidang tugas.
Walaupun tidak dikatagorikan oleh majikan saya, sebagai Guru Besar cemerlang maupun sekolah yang pernah saya tadbir sebagai sekolah cemerlang tetapi pengalaman yang ditempuhi dalam arus pendidikan negara semenjak dibangku sekolah mulai tahun 1958 hingga meninggalkan sekolah pada 6 Disember, 2007 akan menjawab segala-galanya. Sungguhpun begitu saya selalu merasakan perwatakan saya sebagai Guru Besar agak berlainan dari rakan-rakan yang lain, maka saya wujudkan blog ini agar dapat memberi menafaat kepada semua pihak.
Dalam masa hampir 50 tahun berada di sekolah ianya adalah satu jangkamasa yang cukup sesuai untuk menjadikan blog ini sebagai medan bersama bagi mengimbau pengalaman lalu untuk dihayati bersama warga pendidik lama dan baru terutamanya setelah saya dapat merasakan berbagai perubahan dalam beberapa era sepanjang 50 tahun itu.
Selain dari itu saya mengalu-alukan juga perkongsian kita dalam lain-lain bidang seperti politik dan sukan permainan bolasepak kerana kedua-dua bidang ini juga saya telah melalui masa yang mempengalamankan saya. Saya pernah aktif dalam politik di peringkat Pemuda Bahagian UMNO dan juga menjadi Setiausaha Persatuan Bolasepak Daerah selama 20 tahun1998 -sehingga sekarang) dan Pasukan Daerah itu pernah beraksi dalam Liga FAM dan Liga Perdana pada tahun 2003 hingga 2006; ianya tentu hangat untuk dikongsi bersama.
Banyak juga bidang-bidang lain yang kita boleh berkongsi. Semoga ini akan memberi menafaat kepada kita semua.
… hanya ini dan melalui inilah ‘sesuatu’ yang dapat kita semua berikan dipenghujung usia ini …