Saya melalui jalan kecil di hadapan rumah pusaka ayah Dato Seri Anuar Ibrahim. Di situ letaknya rumah seorang guru saya yang sering mencari alasan untuk tidak hadir. Kadang-kadang ketidak hadirannya – tanpa alasan pun. Saya ingin menjemputnya untuk hadir mesyuarat – sekarang dikenali sebagi LDP ( yang dimestikan). Dia dikejutkan oleh isterinya yang menyatakan GB datang menjemputnya ke sekolah. Selepas mandi, dia menaiki kereta saya ke sekolah.
Saya berjaya.. kerana dia sering tidak hadir dalam program yang semacam itu. Peluang untuk guru-guru hadir bersama dengan saya adalah peluang yang sangat saya hargai.
Saya sering memikirkan untuk menjadikan sesuatu perjumpaan benar-benar memberi kesan kepada sekolah. Saya hanya akan memikirkan apakah agenda yang belum selesai di sekolah – seperti mana yang dikehendaki oleh JPN / KPM. Saya ingin melarikan diri dari ungkapan yang sering dikatakan iaitu ‘beban guru’ di sekolah. Maka peluang santai / bersahaja beginilah akan digunakan sepenuhnya untuk menyelesaikan ‘beban’ berkenaan.
Difikir, diolah, dirancang, didokumentasi dan dipersembahkan (oleh saya) untuk dilaksanakan oleh guru-guru yang hadir. “Mohon cikgu-cikgu selesaikan apa yang telah digariskan dalam kumpulan masing-masing”. Kata saya setelah selesai bermukadimah dalam satu perkembangan staf (LDP) di sekolah.
Di akhir program – banyak beban saya telah diselesaikan oleh guru. Terima kasih cikgu. Legaaaaaaaaaaa.
Tak pernah saya dengar pun yang : saya merobotkan cikgu. Kalaupun ada, saya sanggup menerimanya kerana, kerja guru yang banyak (kalau hendak dibuat) menjadi beban apabila banyak kerja-kerja tertunggak tidak dapat diselesaikan dalam masa tertunggak itu.
Jadi peluang perjumpaan sebegitu / sebegini saya akan gunakan sepenuhnya untuk menyelesaikan beberapa perkara tertunggak sebelum ini. Rancanglah apa sahaja untuk guru melaksanakan, nescaya mereka akan laksanakan dengan sebaik-baiknya; kadang-kadang lebaih baik dari yang diharapkan.
Apa masalahnya ?
Sekiranya perancangan LDP berfokuskan hanya semata-mata kepada pembangunan kemahiran guru – ada antaranya yang merasakan ianya tidak perlu dilaksanakan kerana ada banyak perkara lain yang berlaku di sekolah merupakan agenda yang belum selesai. Ada antara agenda tersebut sudah lama terbenam di sana dan menjadi kudis kepada sekolah (?) tidak dapat diselesaikan.
Apa yang boleh diselesaikan? (sekadar beberapa contoh)
(1) Stor sukan yang tidak tersusun mengganggu pembelajaran PJ. (2) Buku perpustakaan (yang dibeli oleh GB sebab banyak lebihan wang) yang belum diproses. (3) Aset sekolah yang telah bertapuk-tapuk tidak dikemaskini. (4) Bahan terbuang yang banyak di bawah meja guru. (5) Bilik panitia sudah lama tidak di audit. (6) Penilaian yang telah dijalankan di sekolah sebelum (itu) belum di analisis atau dibuat post mortem .. oleh GB sendiri.. (7) Ruang pejabat untuk menerima pelanggan dan tetamu tidak menceriakan…. etc
Rancanglah ini semua supaya sekolah akan sentiasa kelihatan sedang dan sentiasa di uruskan oleh seorang pengurus yang suka mengurus.
Pada saya :
LDP bukanlah hanya sekadar untuk memenuhi ruang yang telah disediakan dengan komimen dari GB sendiri tidak menyerlah – Seperti sekadar contoh di bawah ini :
(1) Guru disuruh membaca buku untuk mendidik tabiat membaca. (2) Guru disuruh memasak untuk meningkatkan kemahiran berkem di suatu masa nanti. (3) Memanjat bukit untuk membina ketahanan diri. (4) Mengikut ceramah motivasi khas agar rajin datang ke sekolah. (5) Memberi ceramah agama agar menguatkan ketaqwaan masing-masing. (6) Memberi bimbingan ke sukanan agar boleh menjadi pegawai sukan yang baik (7) Lawatan sambil makannnnnn.
…gbpencen…Perkembangan Staf digunakan sepenuhnya untuk menyelesaikan masaalah sekolah yang tertunggak kerana guru semua dah mahir belaka dah….
Nilailah mereka dengan apa cara jua.. tentunya mereka ada kelebihan tertentu..
Cikgu Rahmah bertanya saya, “Dah bulan 2 (Febuari) dah, cikgu, kita belum mula lagi kelas tambahan (UPSR). Sekolah lain dah mula dah !” Saya tidak menjawab dengan tepat, tapi saya memang sedang merancang untuk mengadakan kelas itu.
Begitulah perihatinnya PK HEM saya. Selain dari ikhlas tegurannya, dia amat gerun dengan ke agresif an sekolah-sekolah jiran kami menggempur murid tahun (6) UPSR tahun itu. Saya hormat teguran itu yang juga datangnya dari semua guru-guru matapelajaran UPSR di sekolah saya.
Pada saya biasa saja kerana ianya satu (cabang) penilaian bagi mengenalpasti tahap penguasaan pembelajaran di sekolah rendah. Saya yakin jika proses pembelajaran yang berterusan dari Tahun 1, bahkan PRA Sekolah dilaksanakan dengan berkesan, apa saja penilaian tidak akan jadi masaalah. Dan jika skima peratusan menguasai yang diperolehi sangat kecil, maka tentunya semua organisasi sekolah (sebenarnya) telah melakukan satu kesilapan yang sangat besar. Kejayaan tidak sepatutnya bersandar kepada seramai mana murid memperolehi 5A; Ia sebaiknya ditakrifkan kepada tahap penguasaan 3M di sekolah rendah.
Oleh yang demikian, sepatutnya UPSR tidak akan menjadi satu tekanan kepada guru Tahun 6 sahaja kerana tahap penguasaan yang tinggi dalam UPSR adalah bergantung kepada semua guru yang mengajar 3 M dari Tahun 1 lagi. Dan jika tanggungjawab atau boleh disebut sebagai satu tekanan, maka tekanan itu adalah kepada semua guru : Bukan kepada cg Rahmah, Ruziah, Aziah, Zarina atau sesiapa sahaja yang mengajar tahun 6. Saya (GB) juga tidak mahu terdesak menerima tekanan itu, sebaliknya saya mahukan semua guru tertekan dengan murid-muridnya dari Tahun 1 hingga Tahun 6. Tidak kah begitu ?
Isu lama kembali semula : Isu pemansuhan proses penilaian; UPSR dan PMR.
Maka kita yang tidak arif ini telah banyak diberitahu melalui pelbagai media (terutamanya akhbar ) oleh cendekiawan dan penulis-penulis popular. Memberi pandangan dan pendapat. Begitu juga orang ramai turut serta dalam pelbagai forum rasmi mahupun yang tidak rasmi.
Dalam isu ini, guru-guru akar umbi : semuanya diam saja. Mendengar dan menanti dengan penuh debaran :
Apa pula yang mereka nak buat ?. Buat memang kena buat…. Betul pun kena buat, tak betul pun kena buat !. Lagi perubahan dibuat, lagi tak betul, buat lagi yang betul, masih tidak betul. Ubah lagi yang tidak betul, masih tidak betul… Betul ke tak betul ?
Begitulah yang sering dikatakan anjakkan paradigma. Satu perkataan yang saya sangat sedap diucap dan didengar. Paradigma adalah perkataan yang saya baru dengar dalam masa lebihkurang 12 tahun yang lalu. Sebelum itu, saya tidak pernah mendengar perkataan itu. Biar sedap didengar walaupun hakikatnya – menganjak dari mudah kepada …. payah.
Buatlah apa saja perubahan tetapi hakikatnya murid memerlukan penilaian. Murid perlu dinilai dan guru memerlukan penilaian. Setiap hari murid di nilai dari apa yang mereka perolehi dari pembelajaran mereka. Guru pula harus menilai untuk mengetahui keberkesanan P&P mereka. Menilai dan membaikpulih adalah tanggungjawab yang berat yang mesti dipikul oleh guru. Jika kaedah ini dilaksanakan pada setiap masa, disetiap situasi P&P dengan berkesan dan penuh tanggungjawab serta komitmen, maka tidaklah sampai Cg Rahmah begitu amat risau bahawa saya (GBP) tidak “panggil mesyuarat lagi” berhubung dengan kelas tambahan UPSR tahun berkenaan.
Penilaian yang menyeluruh amat penting sepertimana dicatat dalam Buku Laporan PKBS, edisi awal. Kemudian catatan Buku Laporan itu kian hilang ditelan masa. Ketika saya mengikuti kursus pada masa PKBS mula-mula dilaksanakan, nampak seperti ianya satu penilaian yang komprehensif. Semua aspek murid dinilai untuk mengetahui perkembangan mereka secara menyeluruh. Namun sampai di suatu peringkat, ianya jarang malahan adakalanya tidak disebut langsung mengenainya. Maka ianya seperti program yang lain juga, hilang ditelan zaman. Penilaian sudah mula beransur kembali ke tahap lama dengan memberikan markah dan gred – ia juga telah dilaksanakan di salah sebuah sekolah Kluster yang pernah saya temui….. alahai PKBS.
Mengapa UPSR perlu dimansuhkan ? Pada saya ianya adalah baik untuk murid. Mengapa pula UPSR hendak dimansuhkan :
Kerana JPN sudah hilang arah untuk menonjolkan kecemerlangan NEGERI. Kerana GURU BESAR sudah hilang arah untuk menonjolkan kecemerlangan SEKOLAH.
Kembalilah objektif awal UPSR : Bahawa ianya untuk mengetahui tahap pengusaan murid di sekolah rendah sebelum ke sekolah menengah. Kalau ianya dapat dihayati oleh JPN dan Sekolah ianya akan tidak menimbulkan apa-apa konflik, tekanan, dan hambatan yang tidak ketahuan arah.
...gbpencen…menghambat guru yang tak masuk kelas..
Saya ditegur oleh cikgu RB kerana bersembang ketika tazkirah tarawikh sedang berlangsung. Peluang bertemu dengan cg Majid digunakan sedikit bercerita mengenai kawan-kawan se kampung. Maklumlah cg Majid jarang-jarang saya temui. Kami berasal dari kampung yang sama dan menetap se taman dan se surau pula.
Ketika Pengarah sedang memberi ucapan, dalam ramai-ramai Pengetua dan GB di perjumpaan dwi bulanan, juga saya gunakan untuk bersembang. Mencari-cari rakan sembang di awal pendaftaran dan duduk sambil bercerita-cerita berbagai hal untuk mengubat kebosanan. Itu juga yang diulang oleh Tuan Pengarah dalam setiap ucapannya. Berlingkar mengenai kekalutan dan ketakutannya prestasi JPN negeri merudum dari JPN negeri-negeri lain. Saya rasa saya sudah cukup faham.
Saya terbawa-bawa tingkah laku ‘buruk’ itu sampai ke usia pencen. Walau bagaimanapun saya (pasti) saya memang ada rasa hormat kepada apa saja majlis; hanya maklumat yang diulang-ulang (supaya kita tidak lupa) itu yang membosankan saya. Walaupun saya bosan tetapi hakikat tetap saya terima juga – sunat berulang-ulang, kata Tuan Guru.
Selepas teguran itu, baru saya perasan yang Cg RB akan berada di saf belakang sambil memerhati suasana setiap kali tazkirah berlangsung, agar berjalan lancar. Dalam senda hati kecil saya menyatakan bahawa “Ingat di sekolah sahaja ada ketua darjah, rupanya dalam tazkirah pun ada ketua darjah”. Bulan baik ini saya pujuk hati saya dengan menyatakan “Bagus juga begini ye… !”
Kata-kata ustaz tazkirah terbenam dalam hati saya “Tazkirah ini adalah ‘santai’ dalam kita menunaikan ibadat solat tarawikh”. Saya minat dengan ungkapan itu dan saya memegang teguh denganya. Saya mengamalkannya. Tiada perlakuan terkejar-kejar dalam bersolat tarawikh. Saya pun secara bersahaja : menanggalkan ketayap, memacak lutut, beralih ke sana-sini, bertimpuh, bersila dan menghela nafas lega secara bersahaja – semasa mendengar tazkirah di sampaikan. Di hujung mata saya, saya melihat cg RB memerhatikan saya. Saya senyum ‘kambing’.
Ramadhan hampir menuju penghujung. Bini semakin kalut berkueh raya. Dia meminta saya tolong sikit-sikit. Saya tolong sapu ‘telur’ di biskut, letak badam dan sebagainya hanya sehingga mata mula mengantuk. Namun tarawikh tidak saya abaikan dengan melakukannya di rumah – sebelum tidur – . Bila habis 4 rakaat, selepas doa – saya sambung membantu bini berkueh raya, kemudian saya sambung lagi 4 rakaat dengan 3 rakaat witir ! … santai kan ? Santaikan Ramadhan ini ?
Lagi 4 hari menjelang raya, panggilan Ramadhan terus menghantui saya. Keazaman untuk memperhebatkan alaman melonjak-lonjak – beza dari tahun sebelumnya, mungkin disebabkan banyak juga mendengar tazkirah. Cucu ajak bermain mercun. Lepas solat Isyak di rumah, bermain mercun dengan cucu dahulu sebelum membantu sedikit banyak ‘bini’ yang sedang bertungkus lumus berkueh raya. Masuk semula ke bilik – dalam suasana yang hening (hanya bunyi air con saja yang kedengaran) Tarawikh terus menyemarakkan 10 malam terakhir. Santaikan ?
Banyak petunjuk diperolehi dalam Ramadhan ini. Dalam bersantai Ramadhan saya merasakan sudah tiada apa lagi yang perlu dikejar dalam usia 60an ini . Nak sombong tiada apa yang boleh dibanggakan. Nak bergaya tiada siapa yang nak saya ditunjukan gaya saya. Nak berkelahi tiada apa yang nak direbutkan. Nak kaya, sekarang pun dah rasa selesa dah dan rasa tak nampak sebarang petunjuk yang memungkinkan akan jadi kaya. Nak jadi pemimpin, banyak sangat dah pemimpin yang sedang menonjol dan hebat, Nak jadi ketua, siapa pula yang nak jadi pengikut ….. Maka jadilah saya seorang yang suka bersantai selepas bersara dan yang pasti selepas Ramadhan ini…
Yang benar-benar terasa ialah kesyukuran yang amat sangat kerana masih dianugerahkan kesihatan yang baik. Supaya dapat membuat kebaikan dan melakukan benda-benda baik…. dan saya akan terus melakukan itu, insyaalah..
Hebat ustaz ini : Ustaz Sofi – Pemangkin aktiviti Ramadhan di sekolah saya.
Ketika bertemu dengan cg Osman Sungai Duri (GB SK Sungai Bakap) semasa menziarahi kematian ayah pemangku GB Pulau Aman dia menyatakan yang ia akan mengakhiri tugasnya dalam beberapa minggu lagi, Ruangnya untuk bersantai semasa bertugas memang tidak ada. Dia menambah bahawa tugasan sebagai GB dipenuhi dengan komitmen yang padu di sekolah. Ianya telah dipikul selama bertahun-tahun – dan dia tidak mampu lagi meneruskan sehingga usia 58 – dan bersara ketika usia 56….. untuk bersantai (?)
Saya juga tidak pernah bersantai ketika bertugas sebagai GB. Setelah 3 tahun bersara, Ramadhan kali ini benar-benar dekat di hati. Sambil menghayatinya, saya telah diajar banyak erti kehidupan ini terutamanya – dunia ini adalah laluan smentara (begitu menusuk dihati…)
“Ramadhan oh ! Ramadhan” (kata M. Shariff – bapa rock Malaysia)
...gbpencen… ” Bertemukah saya di Ramadhan akan datang… ?”


