Skip to content

Juruacara Sekolah

2009 November 17
by Guru Besar Pencen

Kalau tidak menjerit bukanlah juruacara handalan, namanya.  Itulah kesimpulan yang saya boleh buat melihatkan juruacara atau pengacara di dalam program-program televisyen sekarang. Pada saya ianya satu trend baru dalam dunia hiburan ‘melayu’ masakini. Apa kelebihannya mungkin orang muda-muda sahaja yang tahu menilainya.

Saya (sebagai Guru Besa) memang berhati-hati dalam mengendalikan program di sekolah.  Walaupun mungkin ianya hanya majlis kecil bersama murid-murid tetapi ianya harus diuruskan dengan sebaik mungkin.  Juracaranya mesti peka dengan suasana majlis. Ia akan mengundang kepada keberkesanan dan penghormatan kepada majlis itu sendiri.

Kali pertama (seingat saya ) cg Zamri dipilih untuk menjuruacarakan satu majlis yang melibatkan waris, beliau membawa sekeping kertas ke bilik saya di suatu petang. Raut wajahnya saya nampak gelisah.  Beliau juga membawa sekeping kertas program yang mengandungi aturcara majlis. Persoalannya bukan apa yang akan ditanya olehnya kepada saya tetapi saya pasti beliau ingin menjadi juruacara yang perihatin seperti kehendak saya. Walaupun saya tidak menyatakan, tetapi ungkapan yang pernah saya beritahu kepada semua guru membawa maksud ‘saya mahu apa saja majlis di sekolah harus berjalan dengan sempurna, sesempurna yang boleh…’

Saya telah menyatakan segalanya yang patut saya nyatakan kepada cg Zamri.  Saya menjadi juruacara di depannya.  Saya nampak semacam dia menyalin skrip yang saya ucapkan secara spontan.  Beliau terus menyelami saya.  Saya tidak memperlekehkannya. Satu nada yang  jelas dan kata-kata yang jitu.  Esoknya majlis berlangsung.  Zamri mengintai senyuman saya.  Majlis berjalan seperti sepatutnya.  Cacat celanya boleh dibaiki.  Saya telah meberinya ruang, peluang dan bimbingan yang sepatutnya kepada beliau.

Majlis seterusnya beliau terus berkembang.  Kalau diberi cadangan, namanya sentiasa dicadangkan walaupun kadang kala diberi lalauan kepada rakan-rakan yang lain.

Semalam saya telah dberitahu bahawa beliau (cg Zamri) dipilih sekali lagi menjuruacarakan majlis Hari Anugerah. Telah 2 tahun saya meninggalkan majlis seperti itu.  Walaupun rasa sangat rindukan majlis seperti itu, tetapi kerinduan itu sedikit terubat bila mendengar khabar bahawa anak didik saya diberi peluang untuk menjuruacarakan majlis tersebut.  Saya pernah menyatakan bahawa bukan semua guru ‘tahu segala-galanya’. dan saya juga menyatakan ‘kita’ perlu memberi bimbingan, kepada mereka agar mereka akan terus boleh mewarnai ‘sekolah’ mereka sendiri (sekurang-kurangnya) .  Berikan juga mereka peluang, ruang  dan keyakinan.  Mereka dan sekolah akan dihargai dan dipandang tinggi.

Saya tidak belajar komunikasi dimanapun juga sepanjang hidup saya.  Saya hanya perihatin sesitiviti ‘audience’.  Saya pernah melihat majlis bercelaru dengan tingkah laku juru acaranya.  Juga majlis yang dicemuh oleh hadirin kerana tidak terurus susunannya, meleret-leret, berjela-jela.  Saya pernah mendengar dan mematuhi teguran pegawai JPN yang cerdik pandai.  Oleh yang demikian saya perihati. Saya melihat dan mendengar cerdik pandai melalukannya dan saya cuba lakukan.  Saya juga menilai komen-komen yang pernah diberikan.  Makan jadilah ia sebuah ‘ilmu – syok sendiri’

Turun ke  padang (dewan ) menyusun meja kerusi, pentas, kedudukan itu dan ini.  Pastikan hiasan pentas tidak seperti ‘raya hindu’ dan yang penting sisitem bunyi yang berkesan, (kalau perlu, belanjakan sedikit wang tambahan tanpa kedekut).  Lain-lain dalam keadaan kemas dan teratur.  Pendek kata semuanya saya perhati dan uruskan (bersama rakan guru yang lain).  Pasrikan juga prosedur penyampaian hadiah – susunan hadiah, susunan pergerakan murid, tata tertiban murid menerima hadiah dan sebagainya.  Pastikan masa yang tepat.. semuanya – supaya majlis tersebut akan dihormati oleh semua yang hadir…

Akhirnya Zamri akan berdiri dengan megah dalam majlis yang serba sempurna.  Tahniah Zamri ! ….

…gbpencen…baru tersedar yang sudah lagi tidak diberi peluang untuk memberi ucapan.

Betul ke cikgu ni…

2009 November 13
by Guru Besar Pencen

Sifatnya memang kritikal. Ada kebaikannya dan ada wawasannya.  Saya sering menghormati pemandu lori ini.  Antara pekerja di situ (tempat saya bekerja sekarang), dialah yang berfikiran rasional. Pandangannya saya hormati dan dia amat menghormati saya.  Berprinsip dan rajin bekerja juga sedikit wara’. Oleh yang demikian dia bijak mengelola keluarga dan mempunyai kebolehan menguruskan kewangan dengan baik.  Simpanan ASBnya dan isterinya semakin hari semakin meningkat.  Saya angkat topi.

Pagi itu dia menyatakan yang cikgu anaknya di sekolah (menengah) meminta wang sebanyak RM15.00 untuk tujuan mengadakan jamuan kelas.  Dia begitu tersentak dengan jumlah wang yang diminta itu.  Bukan kerana dia tidak mampu membayarnya tetapi jumlahnya adalah ‘banyak’ berbanding dengan ‘event’ pelajar sekolah Tingkatan 2.

Dia terus menghuraikan bantahannya : kalau dengan tujuan jamuan perpisahan akhir tahun cukup pelajar-pelajar ini makan dengan RM5.00 sahaja, itupun sudah lebih (katanya disokong oleh Rosli rakannya)  Beliau membandingkan yang makan tengahari beliau yang sebegitu teruk bekerja hanya dalam lingkungan jumlah itu sahaja. Juga huraiannya bertambah yakin dengan membandingkan bahawa pekerja di kilang tempat kami bekerja hanya berupah sebanyak RM 15.00 sehari – lapan jam bekerja.

Jika Pah, Mariam, Che Jam, Biaeah  dan Nora (ibu tunggal) dan Aishah (suami uzur) diminta oleh cikgu kelas untuk membiayai RM15.00 untuk jamuan perpisahan anak mereka, maka habislah gaji untuk sehari mereka bekerja.  Bayangkanlah.  Itu adalah antara berapa banyak (entah) cerita ibu tunggal yang senasib dengan mereka. 

Dipendekkan huraian rakan saya itu beliau menyimpulkan bahawa pada setengah orang RM15.00 itu tidak ada nilai apa-apa tapi pada setengah orang RM15.00 itu adalah seharian gaji mereka untuk membiayai seluruh kehidupan dalam sehari. (?)  Sedarkah kita (?) Jawapan yang sering kita lihat (bukan kita dengar) ialah ramai antara kita tidak sedar dan jarang atau tidak pernah mengambil kisah perkara ini.

Esoknya dia datang lagi membawa rentetan dari keluhan wang jamuan RM15.00 anaknya.  Pertanyaan beliau dijawab oleh anaknya dengan menyatakan banyak rakan-rakan di kelas tidak dapat, tidak mampu atau tidak mahu menjelaskan bayaran jamuan itu.  Ha… (katanya) itu menunjukan bahawa pada kebanyakan orang yang senasib seperti Nora tadi, begitu besar nilainya (RM15.00) kepada mereka.

Maka begitulah berakhir cerita Dira, pemandu di kilang tempat saya bekerja.

Kalau saya sebutkan saya pernah susah, semua akan menyebutnya begitu juga tetapi dapatkah kita benar-benar menginsafi kesusahan orang ?.  Kesusahan zaman moden perlu digarapkan oleh setiap Pengetua dan Guru Besar di sekolah. Dipersekitaran kesibukan pengurus-pengurus sekolah ini akan kita terlepas pandang dan selalunya kita akan terlupa kesusahan waris-waris diluar persekitaran kita.  Di keliling perkarangan sekolah penuh dengan kereta model masa kini yang menggambarkan ‘kita’ (cikgu)  tidak susah. Tapi diluar perkarangan sekolah kita terselit berbagai-bagai episod -beberapa keping wang yang berjumlah RM15.00 itu sangat tidak ternilai – nilainya.

Setiap sumbangan yang diberi, setiap sumbangan yang dipohon ianya haruslah melingkari kedaerahan yang mempunyai banyak episod duka.  Mampukah kita mengisafinya,  atau PK HEM atau PIBG sendiri mengisafinya sebelum apa-apa langkah / keputusan yang membabitkan kewangan dibuat. Sudah cukupkah maklumat yang kita perolehi jika kita hanya berlegar-legar sahaja di kawasan dan bangunan sekolah ?.  Kita perlukan satu keinsafan yang waris sedang memerhati kita dari luar pagar ‘daerah’ kita.

Disamping kita akui banyak juga waris yang merupakan pelakon-pelakon yang tergamak melakonkan ‘kemiskinan’ dalam kemampuan dek kerana ketamakan dan salah urus diri sendiri.  TAPI yang paling berbisa ialah Guru Besar melakonkan beberapa episod membeli ‘buku-buku kerja tambahan’ untuk murid-murid masing-masing tetapi diakhir tahun – buku tidak bertulis, yang bertulis pula tidak bertanda, yang bertanda pula tidak disemak’. 

Malang sungguh anak Dira, anak Rosli dan anak-anak mereka yang bergaji RM15.00 sehari.

…gbpencen…konsep beli buku kerja RM4.75,  jual RM5.00 dan beli RM4.25,  jual RM4.00 – kerana keinsafan.

KEJUT BEWAK

2009 November 8
by Guru Besar Pencen

Bewak adalah sebutan loghat orang utara kepada ‘biawak’. Kejut bewak lebih dikenali sebagai – gempax (r) bewak yang membawa maksud ‘hanya cuba menakut-nakutkan tapi sebenarnya tidak ada kesan atau tidak berbuat apa-apa‘.  Ibarat ini saya ingin kaitkan mengenai berita terbaru dari Persatuan Bolasepak Pulau Pinang ekoran tindakan FAM untuk membatalkan penyertaan pasukan negeri / kelab dalam Liga Malaysia kerana tidak ‘bijak’ menguruskan kewangan kelab / pasukan :

Istilah yang sepatutunya digunakan ialah ‘tidak ada wang untuk diuruskan dengan bijaksana’

2 kali pengalamam seperti ini terjadi kepada saya (kami) di NTFA ketika kami meyertai Liga Perdana / FAM 2005 dan 2006.   Setelah kami berjaya menjadi Johan Piala FAM kami telah ditawarkan penyertaan di dalam Liga Perdana.  1 juta RM adalah pertaruhan yang perlu ada (yang dikehendaki oleh FAM) untuk kami turut serta dalam Liga Malaysia. Kami tidak terkejut kerana kami yakin kami boleh mencari ruang untuk kami menyertai Liga Perdana yang kami nanti-nantikan selama ini.

Bangsa Cina adalah bangsa yang gigih.  Presiden dan Naib Presiden NTFA adalah keturunan Cina (rakan lama saya).  Keberanian mereka dalam memperjudikan minat mereka tidak dapat saya pertikaikan.  Berbagai usaha kami jalankan untuk mendapatkan dana tetapi tidak mencukupi.  Telefon demi telefon, surat demi surat tetapi kami masih gagal mendapatkan sebarang penajaan sebaliknya hanya janji-janji kosong yang tidak berkesudahan.

Syarikat mana tidak kami hubungi, hatta Anchor Beer, Gunniess Stout, Bank, Yang Berhormat, NTPM, Dr Ibahim Saad, 4 Nombor Ekor, Magnum, Syarikat Penerbangan Air Asia, syarikat besar, syarikat kecil, orang besar, orang kecil  dan sebagainya kami temui, kami mohon, kami minta (sedekah) .. namun gagal.  (tuan tentu tahu apa sebabnya).

Akhirnya dengan FAM kami berunding.  Dengan sekeping surat jaminan, entah syarikat apa pun kami kurang pasti, kami berjaya menyertai Liga Perdana selama dua tahun berturut-turut sehinggalah FAM sudah tidak percayakan kami lagi yang kami sebenarnya tidak mempunyai RM sekian banyak yang dikehendaki dalam akaun kami.

Maksudnya, jaminan 1 juta yang diperlukan itu hanyalah sesuatu yang fantasi sahaja.  Kami memang tidak ada wang sebanyak itu tetapi FAM sanggup mempertimbangkan kemasukan kami demi mencukupkan ruang yang sememangnnya ada untuk kami.  Terima kasih FAM. Kami akur untuk tahun ketiganya FAM sudah tidak dapatl lagi mempertaruhkan jaminan kosong kami yang akhirnya akan merumitkan FAM itu sendiri.

Begitulah juga berlaku pada Liga Malaysia musim akan datang.  JKuasa Pertandingan FAM telah mengeluarkan arahan agar pasukan Liga Super menyediakan RM 2 juta sebagai syarat untuk penyertaan, jika tidak ….. .

Beberapa pasukan sudah dikenalpasti akan di gugurkan penyertaan mereka.  Kalau hendak diikutkan  banyak lagi pasukan kelab malahan negeri akan menghadapi situsi ‘tidak dibenarkan beraksi dalam Liga Malaysia. Jangan takut dan jangan bimbang, saya yakin FAM (hanya kejut bewak je) akhirnya akan membenarkan juga penyertaan pasukan-pasukan yang menghadapi masaalah kewangan.  Mereka akan diminta mengemukakan surat jaminan dari mana-mana syarikat atau orang-orang kenamaan atau yang berpengaruh dan akhirnya mereka akan dibenarkan meneruskan aksi dalam Liga Malaysia. Insyaalah.

Saya terus hairan kerana FAM masih lagi belum menyedari hakikat sebenarnya.  Hakikat bahawa pasukan kelab mahupun pasukan negeri-negeri di Malaysia TIADA wang. Juga mereka kurang menyedari bahawa bolasepak di Malaysia tidak berorentasikan perniagaan seperti di negara-negara lain (yang maju dalam pengurusan bolasepak profesional).  Pada saya RM2 juta bukanlah satu jumlah yang kecil malah ianya sangat banyak.  Maka dengan itu pasukan-pasukan di Malaysia tidak mampu untuk menguruskan ‘diri’nya dengan tuntutan dan cara pengendalian Liga Profesional seperti yang dipraktikkan (sebenarnya ditiru) oleh FAM.  FAM sebenarnya mesti mentadbir Liganya sesuai dengan kemampuan kelab dan sambutan peminat.

Selepas ini saya yakin yang masaalah yang sama akan terus berlaku.  Gaji tidak dibayar,  EPF tidak dicarum, pemain menjadi lesu,  hutang lain bertapok-tapok, seperti yang pernah kami alamai di NTFA.

Namun kerana minat dan mencintai permainan ini, bolasepak terus bergolek di padang dengan menggamit pencinta-pencintanya untuk turun bermain.  Juga menggamit peminat terus mengunjugi gelanggang dan stadium kerana tarikan kepada permainan ini tidak dapat dibendung malah terus segar sepanjang masa.

FAP juga akan turun ke gelanggang musim hadapan dengan barisan kepimpinan baru yang tidak kurang hebat ‘politikingnya’ semasa pemilihan yang baru lalu.  FAP juga sudah makin mantap dengan kebolehan pemimpin baru mendapatkan dana untuk membiayai pasukan.  Tahniah dan harapan menggunung sedang menunggu peminat setia di Pulau Pinang. Semoga berjaya… musim ini.

**Haria Penang Haria  Jangan terkejut bewak pulak

..gbpencen… ingin menarik diri dari menganggotai  Ahli Majlis FAP kerana tak terdaya menyumbang…

**(Haria adalah bahasa Tamil yang sering digunakan oleh penduduk Melayu di Pulau – sama makna dengan pulun untuk pasukan Kedah).