Skip to content

Komunikasi di sekolah.

2009 December 4
by Guru Besar Pencen

Terpanggil untuk memperkatakan mengenai sekolah setelah membaca ‘shout’ dari Zarina (?)

Saya selalu terdengar orang berkata mengenai Pengajian Komunikasi dan Media di universiti. Tentu seronok ye belajar di pusat pengajian tinggi dalam bidang-bidang seperti ini.  Beruntungnya orang sekarang mempunyai banyak peluang untuk melanjutkan pelajaran.

Sebaik beberapa hari melapor diri sebagai Guru Besar di sebuah sekolah, saya dikunjungi oleh seorang guru.  Che Puteh namanya, memang putih.  Di akhir ceritanya dengan saya, dia menangis tersedu-sedu.  Di dalam situsai yang hampir sama sebuah sekolah lagi, lagi seorang guru,  Wan (dipendekan – female) juga menangis.  Gelap sikit orangnya. Dan di sebuah sekolah lagi sekolah,  seorang guru lelaki.  Dia tidak menangis tapi dengan nada meminta simpati kerana dibebani tugas yang tidak berkesudahan.

Kesimpulannya ketiga-tiga mereka menyatakan  yang mereka dibebani tanggungjawab yang berlebihan di sekolah sehingga tidak terpikul. Agaknya bagaimana dia mentafsirkan raut wajah saya sehingga sedia menceritakan  kesulitan dalam menanggung kerja masing-masing.  Selepas itu saya telah cuba untuk mendekati permasaalahan itu.  Saya cuba untuk mendapatkan ramuan penyelesaian.  Walaupun saya berada di posisi itu tanpa pendidikan khusus,  saya harus mencari keberkesanan komunikasi, pengurusan perhubungan sesama staf  ‘bawahan’

Persoalannya kejadian seperti itu sering berlaku di sekolah disebabkan sikap ego seseorang,  sama ada pemimpin organisasi atau yang empunya diri.  Saya merujuk kepada kata-kata seorang pegawai JPN iaitu “all depend on you’ ketika menyampaikan ucapan di hadapan Guru Besar / Pengetua.  Beliau ingin merujuk bahawa sebagai ketua di sekolah, apa sahaja yang berlaku adalah menjadi tanggungjawab kita.  Walau apapun alasan yang diberi, kita sebenarnya ‘mesti’ bertanggungjawab. Kata-kata itu menjadi rujukan dan pegangan saya dari semasa ke semasa.

Katanya lagi .. kita sebagai Guru Besar harus dipertanggungjawabkan dalam semua hal.  Kita menerima jawatan Guru Besar secara ‘pakage’.  Semua kita mesti terima, baik buruk, cacat cela, cantik hodoh, baru lama, semuanya kita terima.  Terpulanglah kepada kita menanganinya. Hah.. senangnya pegawai berkenaan bercakap, susahnya kita hendak lakukan,  tapi kalau kita ‘minat’, kita boleh lakukan dengan ‘payah’ (bukan senang).

Bila semuanya ada di dalam ‘kepala’ :

1.  Kita perlu mengagihkan yang mana, ‘urgrent, yang mana ‘important’ dan yang mana harus KIV.  Satu persatu kita tangani dengan mengimbangi sumber-sumber yang ada.  Mengeksploitasi semua sumber (manusia, kebendaan, masyarakat, prasarana, dsb) dengan penuh keinsafan, budi bicara, berhemah dan penuh bertanggung jawab.

2.  Mengimbangi tindakan secara positif.  Menggunakan kekuatan yang ada dari sumber-sumber yang ada.  Meminimakan kelemahan dengan cara tidak menonjolkan kelemahan itu secara ketara, sebaliknya mengatasi kelemahan dengan terancang.

3.  Sebagai ketua organisasi, kita harus mendahulukan kepentingan pelanggan dari kepentingan diri sendiri.  Bersedia untuk membuat sedikit pengorbanan. Merendahkan diri agar mendapat kerjasama dari semua yang di bawah kelolaan kita

4.  Mesra tetapi ada ketegasan (saya tidak berapa tegas). Kemesraan digunakan untuk mempengaruhi orang-orang yang di bawah kawalan kita melalui beberapa peraturan dan kekemasan ‘prosedur kerja’.

5.  Sebagai ketua kita perlu munujukan kesungguhan membuat sesuatau tugas atau kerja.  Kita perlu mendahului dalam semua perkara dan mengambil tindakan awal dari apa yang hendak dilaksanakan. Dengan pengetahuan dan pengalaman yang ada kita akan memainkan peranan sebagai ‘moderator’ yang berkesan. Selesaikan antara 30% hingga 60%  sesuatu kerja itu terlebih dahulu sebelum menyerahkan kepada guru-guru di bawah kita kita.

6. Bersikap ‘sentiasa peka dan bersedia’ dalam menguruskan sekolah. Sentiasa peka dengan apa yang telah, sedang dan akan berlaku, akan sentiasa menjadikan suasana sekolah dalam keadaan yang terurus.  Sentiasa bersedia dengan apa yang akan berlaku; mengambil tidakana awal dan merancang persediaan sebelum sesuatu (program, aktiviti, mesyuarat dll) berjalan.

7. Berurusan secara rasmi dan bermesra secara tidak rasmi. Mendokumentasikan arahan, komunikasi, tindakan, penghargaan dan post motem secara teratur boleh membuatkan semua orang bawahan kita merasa bertanggung jawab dan di hargai. Semua arahan hendaklah jelas dan teratur, lengkap dan boleh difahami serta boleh dilaksanakan.  Dalam mengimbangi perlakuan itu, kemesraan perlu wujud demi rasa hati yang mungkin berlaku.

8.Secara berperingkat-peringkat mengikut kesesuaian pihak sekolah harus memperkemaskan sistem dan peraturan termasuk organisasi  yang sedia ada.  ada kemungkinan peraturan yang sedia ada perlu dinaik taraf atau dimansuhkan mengikut keadaan semasa.

9.  Meningkatkan pemantauan.

10.  Everyday, i am present.

semua yang berikut akan membolehkan ‘guru tidak menangis lagi’….

…gbpencen.. pun tidak kemana kejayaannya tetapi tidak bergaduh dengan sesiapa.

Pak Lah bela kerbau.

2009 November 28
by Guru Besar Pencen

Pak Lah (Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi) telah semakin dilupakan.  Berada dipuncak kekuasaan (memang benar) bukan sesuatu yang senang dan sentiasa tidak disenangi.  Keperkasaan dari segenap segi harus diberi perhatian, kalau tidak begitulah jadinya.  Kalau adapun yang hendak dikenang kerana terpaksa mengenang atas sifat-sifat ‘kelembutan budi dan pekerti’ masyarakat ‘kita’.  Semoga Pak Lah terus sihat dan menjalani kehidupan dengan penuh bermakna.

Guru Besar juga begitu.  Meninggalkan pintu pejabatnya di sesebuah sekolah dengan seribu macam kenangan. Semasa dipuncak kuasa tentu ada sesuatu yang dilakukan untuk kemajuan sekolah, yang akan meninggalkan kesan kepada warga yang dikepalainya sebelum ini. Atau sebaliknya.  Impaknya sama seperti yang berlaku pada Pak Lah. Sama ada ianya terus menjadi ingatan atau akhirnya akan dilupakan.  Dilupakan – sebab tidak meninggalkan kesan, atau sekurang-kurangnya kenangan.

Pak Lah yang ingin saya ceritakan adalah Pak Lah biasa, bukan Tun Abdullah. Orang kampung biasa seperti saya, sepermainan dengan saya semasa kecil. Namanya Abdullah, tetapi dia sedikit tua dari saya.  Dan saya adalah rakan bulinya. Sebagai orang kampung dia tidak mempunyai pendidikan yang tinggi hanya sekadar menamatkan persekolahan di darjah 3, sekolah rendah.  Tugas beliau ialah ‘bela’ (memlihara) kerbau kepunyaan keluarganya.  Kami sering mandi di sungai bersama kerbaunya.  Dia juga mandi bersama saya dan kebau-kerbaunya.

Melalui kehidupan seperti orang kampung biasa, biasanya tidak banyak aktiviti yang diceburinya. Dia tidak menyertai kami dalam persatuan belia di kampung kami.  Dia juga tidak berminat bermain bolasepak.  Dia juga tidak terdedah dengan aktiviti kami yang bersekolah di sekolah menengah. Kami akan temui Pak Lah selepas kami bermain bola sepak ketika dia memandikan kerbaunya di sungai.  Ketika itu dia akan cuba membuli kami di sungai.  Dia akan menunjukkan kejaguhannya di air dan kepakarannya mengendalikan kerbau belaannya.  Kerbaunya memang kerbau terdidik  yang boleh digunakan untuk mengerjakan tanah di bendang.

Bila dewasa, beliau menyertai politik.  Parti berteraskan keagamaan, PAS.  selepas beberapa ketika penglibatannya dalam politik, dia sering berulang alik ke masjid.  Menjelang petang dia akan bertenggek di tebing titi batu masjid memerhatikan orang yang lalu-lalang.  Kumpulan yang seangkatan dengan kefahamannya juga akan melakukan perkara yang sama – mencari mangsa untuk berhujah. Pak Lah sudah begitu taksub dengan partinya.

Pada masa itu ramai antara kami menyertai Pergerakan Pemuda UMNO di cawangan. Ketika itu UMNO telah mendominasi politik tanahair dengan begitu ampuh sekali seperti tiada tolok bandingnya.  Pak Lah begitu rakus sekali menyerang saya dan rakan-rakan saya  Setiap kali saya berjumpanya dia akan mempersendakan politik perdana terutama kepimpinannya (Tun Mahathir).  Oleh sebab kedengkelan dan informasi yang diperolehinya agak terhad maka, hujahnya agak sumbang.  Walau bagaimanapun Pak lah tidak patah semangat.  Semangat yang diperolehi dari ketaksubannya dan pemimpinnya telah menjadikannya sentiasa mendabik dada dengan penglibatan dan kebolehannya.  Saya tetap menegurnya.

Kemuncak ketaksubannya, suatu hari dia menyatakan kepada saya : ” Di tengah rumah Dr Mahathir itu ada sebuah pongsu yang lilin nya sentiasa menyala,  dia selalu memuja pongsu itu – tok dia, tu lah sebabnya dia susah nak jatuh (ditumbangkan)”. Saya tidak hairan dia mengeluarkan kata-kata itu tetapi yang menghairankan saya, begitu sekali lah dia mengagumi kebolehan Tun Dr Mahathir. Kesanggupan dia mengeluarkan kata-kata itu tidak menghairankan saya, kerana itu lah Pak lah, sahabat saya yang saya kenali.

Setelah bersara dari bela kerbau, impak yang diterima oleh Pak Lah tidaklah sehebat dengan Tun Abdullah, juga berbeza dengan impak ke atas saya sebagai seorang Guru Besar. Pak Lah masih sihat seperti saya.  Langkah politiknya sudah longlai, sama seperti saya.  Kudrat sudah kurang tetapi tiada apa kesannya ke atas orang lain, keluarga, masyarakat dan negaranya. Dia tetap seperti dahulu, menikmati arus pemodenan negara bersesuaian dengan kebolehan pendidikannya.  Pegangan politiknya juga sama.  Pak lah beruntung kerana tanah pusaka datuk neneknya membolehkannya berteduh di sebuah rumah dengan anak cucu cicitnya melalui kehidupan sederhana seperti saya. Kami sama-sama tidak mempunyai misi yang jelas dalam politik, melihat dan mengikuti dari jauh sahaja.

Apa ayng ingin saya nyatakan bahawa pendidikan memainkan peranan dalam mencorakkan kehidupan kita .. dan ..

Semakin tinggi kita dipertanggungjawabkan maka kesannya ke atas orang lain makin besar andainya kebertanggungjawaban itu tidak dilaksanakan dengan ‘yang terbaik’.

…gbpencen…kenangan mengusik jiwa.

7 x 3 = 21

2009 November 23
by Guru Besar Pencen

Dua situasi :

Situasi 1 :

Selang 2 malam saya berdepan dengan tazkirah di sepanjang bulan puasa lalu.  Ustaz silih bertukar ganti.  Yang suara lembut, keras, separa menjerit.  Ada yang lulusan Universiti, Mesir, penceramah bebas, sekolah Arab, pensyarah maktab  dan dari sekolah pondok. Ramai yang memberi ceramah. Saya keletihan dan mengelak beberapa tazkirah yang diadakan. Jahil sungguh saya.

Situasi 2 :

Hari ini, cucu saya terperosok dicelah didinding,  merajuk kerana saya tidak mengajaknya sembahyang Maghrib bersama seperti selalu.  Mampu saya memujuknya untuk membaca ‘iqra’ bersama saya sebelum kami berjamaah Isyak.  Betul kata ustaz :  Bahagikan pendidikan kanak-kanak kepada (3) : Bermainlah dengannya sehingga usia 7 tahun,  (fasa 1) berilah didikan / agama sebaiknya sehingga usia 14 tahun (fasa 2) dan bebaskanlah ia ketika berusia 21tahun (fasa 3) . Saya terdengar ceramah yang membawa ungkapan tersebut melaui radio ketika  saya sedang bekerja di pejabat (kilang tempat saya bekerja)

Dua situasi ini merujuk kepada keperluan mendalami ilmu agama untuk diri sendiri dan untuk generasi akan datang.  Sering dapat kita lihat di masjid / surau, mengadakan  ceramah hampir setiap malam.  Bebagai-bagai jurusan ilmu agama diperdengarkan. Jengok di dalamnya, ramai yang datang mendengar dengan kyusuk tanpa berkata apa-apa. Ada setengahnya terlena bersandar di dinding.  Semuanya akan mendapat keberkatan ilahi, insyaalah.

Situasi yang satu lagi,  juga keperluan didikan agama kepada anak-anak di rumah sebagai persediaan menghadapi usia 21 tahun  mereka.  Disekeliling ada anak-anak kita, anak-anak didik kita, anak sahabat-sahabat kita dan anak jiran kita, Melayu kesemuanya.. telah hilang arah.  Belumpun mencapai 21 tahun, ketika di fasa 2 lagi sudah tidak terarah. Maka  ungkapan 3 x 7 ini sangat besar maknanya dan molek  di debatkan.

Perdebatan boleh dimulakan ketika mana kita rata-rata dengan mudah akan mendengar berbagai-bagai hujah, pandangan, pendapat, teguran dan kutukan melalui ceramah-ceramah agama.. di radio, di televisyen, di surau / masjid, di khutbah bahkan di rumah tuan guru – tuan guru.. pada sebilang masa dan pada setiap hari tanpa henti, secara berterusan.  Melalui ceramah, ianya satu ilmu yang diperturunkan untuk di dengar dan dihayati, yang penting adalah untuk diamalkan.

Apakah tindakan selepas ceramah ini.  Impaknya ialah tiada satu kesepaduan dalam merealisasikan isi ceramah. Ianya tidak mempunyai tindak ikut yang tersusun, tiada ada perancangan yang teratur, tiada kerjasama semua pihak, tidak melalui pendekatan yang sistemmatik dan langsung tiada pemantauan.  Maka hanya mendengar ceramah sahaja kemudian pulang ke rumah dengan rasa puas kerana memperolehi ilmu untuk diri sendiri. Organisasi yang menjadi penganjur ceramah hanya akan bangga kerana dapat menyediakan ceramah sedang isi ilmu dari ceramah itu terhadap ‘audience’  yang hadir tidak diterjemahkan sebagai satu gagasan menuju kepada kejituan dalam kehidupan seharian. Kalau hendak diikutkan, organisasi yang dimaksudkkan (khariyah masjid – contoh)  sebagai penganjur mempunyai hak mutlak untuk merealisasikan ‘isikandungan’  ilmu tersebut melalui pendekatan yang telah dinyatakan di atas.

Maka anak didik Melayu yang tidak terarah itu, terus berlarutan tidak tentu arah. Tolong nafikan kalau ada yang tidak bersetuju ungkapan ini. Kita terimalah  hakikat ini.  Akhirnya, kita semua akan bertanya bangau, mengapa ia kurus… semua akan menyalahkan orang lain.  Marilah kita terima hakikat bahawa kita semua bersalah ataupun tersilap arah.   Dari 10 ceramah yang diadakan,  mari kita cuba lihat (kalau ada) satu program mendekati anak-anak didik Melayu yang bersalah arah ini yang telah dijalankan. Siapa yang mendekati mereka, yang mengajak mereka bersama bersuka-suka sepertimana yang mereka suka, sebelum diajak mereka untuk ber qiamullail,  bersemabahyang tahajud, kem ibadat dan merapak berdoa memohon limpah ilahi. Semuanya akan pulang dari masjid / surau setelah memperolehi keberkatan ilahi sejurus tadi (mendengar ceramah).

Oleh itu, sama-sama kita hayati apa yang kita boleh buat untuk 3 fasa pendidikan ini melalui surau dan masjid kita. Disamping kita sibuk bertanya-tanya siapa penceramah handalan / tok gu handalan yang akan berceramah nanti malam, esok malam dan malam-malam yang akan datang, kita kena juga sibuk siapa yang akan kita dekati antara umat-umat anak melayu yang sudah tidak tentu arah sekarang ini selain kita hanya mendekati diri dan keluarga kita sendiri, anak-anak dan cucu-cucu kesayangan kita sahaja.

Ianya harus bermula dari institusi tertinggi dalam daerah / kawasan kita, iaitu dari surau dan majid kita.

…gbpencen…menyampaikan suara hati sahaja kerana suara sebenar hanya sayup-sayup kedengaran, atau sudah hampir tidak kedengaran.