Setiap Sabtu saya akan menyemak, menanda tangani dan merekod buku ringkasan (BR) mengajar yang di kumpul. Kemudian berangan-angan sekejap dengan BR itu; yang hantar, yang tidak, yang elok, yang cantik, yang tulis, yang tidak dan membuat penilaian kendiri; dimana silap saya lagi kerana masih terdapat kecacatan. Kemudian saya akan menyemak buku catatan guru bertugas – pagi, kemudian – buku guru petang pula.
Pada saya Buku Catatan Guru Bertugas ini penting, dan sangat penting untuk melihat sejauh mana perihatinnya seorang guru bertugas menjalankan tugas. Pihak sekolah akan meletakkan 2 orang untuk bertugas sepanjang minggu supaya ianya berkesan dan tidak timbul masaalah jika seorang daripada mereka tidak hadir atau ada urusan di luar sekolah. Dua orang guru ini menyelia membuat catatan mengenai beberapa aspek perjalanan sekolah sepanjang minggu. Saya menilai catatan mereka dengan membuat catatan saya di buku tersebut merujuk kepada pemerhatian saya.
Guru suka saya menyemak buku tersebut (?) kerana di dalamnya akan ada coretan dan komen saya mengenai apa yang ditulis dan apa yang berlaku. Saya membaca dengan teliti.
“Murid berjalan tidak mengikut barisan” dalam catatan seorang guru bertugas ; Saya coretkan : “Apa tindakan yang telah diambil ? sila catatkan untuk pengetahuan saya”. Selepas catatan saya itu, guru bertugas selepasnya akan menulis tindakan yang telah diambilnya jika terdapat teguran dibuat.
Ini menunjukan guru akan perihatin jika Guru Besarnya (GB) mengambil berat dengan apa yang ditulis oleh mereka dan apa yang telah dilakukannya sepanjang beliau bertugas. . Sebenarnya guru tidak akan marah teguran sebegitu sebaliknya (saya rasa) akan menjadi perangsang untuk dia lebih berhati-hati dan mempamerkan tugasan dengan baik.. kerana dipandang (dihargai) oleh GBnya.
Setiap hujung minggu, hari Sabtu saya berkesempatan untuk membaca catatan guru saya. Tidak pernah sekali pun saya terlepas membacanya kerana guru bertugas akan menghantar buku catatan tugasannaya bersama-sama dengan Buku Ringkasan (BR) mengajarnya. Catatan untuk penambahbaikan juga dilakukan oleh saya terutama catatan yang ‘routine’ akan saya minta ditiadakan. Yang penting, jika perlu saya minta untuk dicatatkan – untuk pengetahuan dan tindakan saya.
Begitulah kerja routine saya pada setiap hujung minggu ketika sekolah sunyi senyap tiada berpenghuni kecuali seorang pengawal yang menemani saya di tempat tugasannya. Saya masih ingat betapa seronoknya saya membuat catatan seterusnya apabila selesai menyemak catatan Guru Bertugas. Saya akan merangka aturcara Perhimpunan pada hari Isnin berikutnya.
Saya perjelaskan dalam buku itu bagaimana Perhimpunan sepatutunya dijalankan seperti kehendak saya. Jika perlu (selalunya) saya perincikan. Saya akan minta supaya guru bertugas memberi ucapan mengenai beberapa perkara yang (saya catatkan). Atau mengenai apa yang berlaku sepanjang minggu yang perlu diberi teguran, perangsang atau motivasi. atau apa hebahan yang saya rasakan perlu. Seperti ‘pita rakaman’ guru akan mematuhi arahan saya seperti yang saya catatkan melalui stail (ucapan) nya yang tersendiri.
Sebenarnya bukan tujuan saya memperbodohkan guru tetapi sepanjang perjalanan saya, saya sering dapati guru bertugas sering tersasar arah. Ucapan yang seolah-olah lebih dari pita rakaman yang diulang-ulang. ‘Jagalah kebersihan…, jagalah disiplin…, berilah salam…,’ tanpa ada tindakikut yamg sepatutnya namun masaalah yang ditegur tidak kunjung selesai. “Saya guru bertugas minggu ini, kalau ada apa-apa masaalah sila jumpa saya..’ pada setiap minggu akan kedengaran. Semua ini pada saya perlu perubahan.
Klimaxnya ialah apa yang akan saya ucapkan saya akan mencatatkan bersama di Buku Catatan Guru Bertugas itu. Guru bertugas sudah tahu apa yang saya akan ucapkan dan beliau tidak akan menyentuhnya malah akan mengolah masa untuk memberi ruang kepada ucapan saya. Biasanya ucapan saya ucapan bertema. Mengandungi semua aspek termasuk teguran, motivasi, hukuman, denda, pemantauan dan tindakan. Yang paling penting ialah post mortem. perjalanan sekolah dalam masa seminggu sebelumnya.Ucapan Perhimpunan saya di hari-hari akhir menjelang persaraan saya sering (juga) mendapat tepukan spontan dari murid-murid (bukan guru ye..). Saya tahu apa yang sedang berlaku di dalam ‘diri’ murid-murid saya.
Saya hanyut dimimpikan olek kenikmatan yang tidak akan dirasai oleh sesiapa, hanya saya sendiri sahaja (syok sendiri).
Di awal saya sampai ke sekolah (itu) (sesebuah sekolah) saya akan membetulkan alat pembesar suara perhimpunan supaya jelas didengar dan mesra pengguna. Mendengar dan melihat bagaimana perhimpunan berjalan. Guru marah-marah, bengis-bengis, dan bermacam teguran demi teguran.. semuanya dalam bentuk mengajar orang tidak baik menjadi baik, orang nakal menjada sopan. Guru cakap macam-macam tiada fokus kecuali pengumuman.
Satu kampung mendengar suara kita memarahi anak mereka pada setiap hari pertama setiap minggu (?). Wajarkah kita berbuat demikian. Pada setiap pagi Isnin, ketika bangun tidur, anak didik kita akan tertanya-tanya, apalah nanti cikgu akan marah kita pula hari ini. Wajarkah kita (?)
Teguran demi teguran, bimbingan demi bimbingan, saya terus tidak jemu-jemu mepromosikan perhimpunan berhemah, bersistem dan beradap. Bagaimana ia harus berlaku supaya Perhimpunan berkesan dan tidak menjemukan. Bagaimana ia harus bermula, kemudian bagaimana pula ia harus diisi dan bagaimana ia harus berakhir. Bermulalah dengan ringkas dan padat, isilah dengan kata-kata berhemah dan berakhirlah dengan perbarisan masuk kelas dengan teratur dan terkawal.
Tinggallah kenangan Perhimpunan Pagi saya semasa menjadi Guru Besar dengan rasa puas berkat kerjasama semua guru. Terima kasih cikgu,
...gbpencen… suka ubah ‘gaya’ bila dah jemu.
Sekarang titi itu telah bertukar kepada titi baru. Letaknya bersempadan dengan Bandar Tasik Mutiara di tengah-tengah Kampung Kepala Gajah. Dulu titi itu titi kayu yang kemas. Digunakan sebagai laluan orang kampung untuk pergi menoreh (memotong) di ladang getah ‘orang putih’. Titi itu juga digunakan oleh ‘tuan beruk’ (Brooke) sebagai laluan keluar kereta jenis ‘Borg Ward’nya masuk keluar di ladangnnya ke bandar – Pulau Pinang atau bandar berdekatan.
Titi bukan sebarang titi. Titi kayu itu digunakan oleh penduduk kampung untuk melepaskan hajat mereka pada setiap tahun. Mereka akan berkumpul pada sesuatu masa yang tertentu untuk ‘menolak bala’ yang mungkin akan menimpa kampung, atau orang-orang tertentu di kampung saya itu.
Sungguhpun saya tidak begitu pasti tetapi saya masih ingat bahawa hari berkenaan meriah bagi kanak-kanak kampung seperti saya. Kami akan berkumpul pada kira-kira jam 5.00 petang di kepala titi itu. Orang-orang dewasa akan beransur-ansur memenuhi kawasan tersebut. Tok Hashim Bomoh akan mendahului upacara ‘tolak bala’. Berpinggan-pinggan pulut kuning dengan gulai ayam kampung akan diletakkan berbaris di atas titi. Jambangan sirih dalam bekas mengkuang lengkap dengan sintok, limau, rokok daun dan tembakau mendahului barisan pulut kuning tadi.
Tiada pun seorang yang bercakap kecuali Tok Bomoh saja yang menyerapah (berjampi). Tidak jelas perkataan yang diucapkan hanya mulutnya yang berkumit-kumit mengeluarkan suara mendengus-dengus memecah suasana hening penuh konsantrasi hadirin yang kira-kira hampir 40 orang. Orang tua dan dewasa duduk mencangkung (bertinggung) sekitar kepala titi itu sambil memerhati dan menghayati serapah bomoh.
Air di bawah titi jernih, mengalir lesu dicelah-celah pokok keladi dan rumput rampai sepanjang parit jalanraya Tasek ke Simpang Ampat. Anak-anak ikan kemeras berenang memecut laju. Kepalanya yang berbintik putih menarik perhatian kami melihatnya. Ditebing parit berkerumun siput pahit memanjat pokok keladi dan pokok paku rawan. Akhirnya bekas sirih itu dihanyutkan perlahan-lahan di dalam air parit itu. Aliran air diharap akan membawa sirih jampi itu ke jambatan keretapi ke sungai Simpang Ampat terus ke laut di kuala hampir dengan Bukit Tambun. Semua orang merenung bekas itu dihanyutkan air sambil mengharapkan bala yang akan menimpa juga akan hanyut bersamanya (?)
Serentak dengan itu, kaum ibu akan menebarkan bertih ke atas kepala hadirin di majlis itu. Bersorak kami semua bila bertih itu turut diberi kepada kami untuk ditaburkan. Melompat-lompat kegembiraan. Akhirnya majlis itu berakhir apabila pulut kuning dan gulai ayam kampung dihidangkan kepada semua yang hadir dalam ‘istiadat’ tersebut. Semua kembali ke tugas masing-masing petang itu setelah puas bahawa bala yang bakal menimpa kampung kami sudah diikhtiar dihindarkan.
Sebab saya masih anak-anak lagi (ketika itu) saya tidak pasti samaada ada pihak yang menegah amalan tersebut kerana (seperti yang kita maklumlum) ianya adalah amalan kurafat. Walaubagaimana pun begitulah antara berbagai-bagai amalan yang dilakukan di masa-masa dulu. Sudah banyak ‘amalan” seperti itu ditinggalkan oleh generasi sekarang. Sungguhpun begitu dengan senang juga kita boleh dapati amalan sebegitu dalam bentuk yang lain berleluasa dilakukan.
Itulah dahulu dan itulah kenangannya. Tanpa menyedari batasan keagamaan, ada saja ‘aktiviti’ sedemikian dilakukan pada zaman itu demi mengisi masa lapang (masa terluang). Tapi sekarang, kesibukan manusia telah menghindarkan orang ramai dengan amalan kurafat ini. Akhirnya wujud pula kurafat dalam bentuk lain (?) pula…
…gbpencen…adik ipar saya dah jadi bomoh
Setiap kali ada kontoversi, akan kedengaran ungkapan ‘Aku sudah 30 tahun jadi Guru Besar (GB)’. Begitu juga kalau ada sembang-sembang kosong, cabar mencabar, ungkapan itulah yang terkeluar dari mulutnya menggambarkan begitu banyak pengalaman yang dilaluinya. Rasanya tidak dapat ditandingi oleh sesiapa antara kami GB yang lain .. tambahan lah saya.
Kerja dan penglibatannya dalam berurusan dengan JPN memang tidak dapat dipertikai. Kebolehan kawan saya ini untuk bersemuka dan berkomunikasi dalam banyak hal mengenai pengurusan sekolah jarang dapat di tandingi oleh sesiapa di kalangan kami. Sering dapat dilihat beliau mewarnai perjumpaan-perjumpaan dengan info-info terkini dan merujuk kepada maklumat Jabatan dan Kementerian dengan tepat (mungkin – sebab saya tidak banyak yang tahu). Calang-calang pegawai di JPN dan di PPD, jarang berani bersemuka dalam banyak hal. Suaranya yang tegas dan penuh yakin selalu membuatkan rakan-rakan GB lain hanya mampu mendengarnya sahaja.
Beliau juga manusia biasa, sama seperti kita semua. Saya cuba menghidu bagaimana menangani keperkasaannya. Saya cuba memudahkan keadaan untuk mendekati beliau moga saya dapat mempelajari sesuatu dari orang yang se gah ini. Dengan berhemah saya selalu memuji kebolehannya. Saya suka bertanya mengenai perkara-perkara yang telah saya buat untuk menguji pandangannya. Nampaknya tiada banyak bezanya antara apa yang saya dan dia lakukan di sekolah. Malah ada antaranya yang saya lakukan yang beliau belum lakukan dan juga yang sebaliknya.
Saya pernah menjadi GB di sekolah peninggalannya selepas beberapa orang GB selepasnya . Lama dia di sekolah itu. Saya dapati hasil peninggalannya memang banyak dan boleh dikatakan mengagumkan. Tetapi semasa saya mengambil alih semua hasil tangannya masih ada tetapi semakin pudar. Ada guru-guru yang seangkatan dalam masa pemerintahannya mengakui dan mengaguminya. Kepudaran itu disebabkan tiada ‘folow up’ apa yang telah dilakukan oleh GB hebat ini. Dalam erti kata lain, tiada tindak ikut, pemantauan pembaikan dan naik taraf. Akhirnya tinggal bekas, tinggal kenangan. Saya pula cuba melakukan yang terbaik yang saya fikirkan, tetapi oleh sebab baru ke jawatan itu, saya masih tercari-cari rentak untuk terus menabur khidmat dan meninggal jasa di situ.
Hasil peninggalan saya di sekolah lama juga akan menjadi pudar .. seperti itu akhirnya (?)
Di akhir kariernya beliau berada di sebuah sekolah yang diberitakan tidak kurang juga hebatnya. Oleh sebab kehebatannya, maka sekolahnya jarang dijadikan ikon mencari kesalahan. Banyak pihak beranggapan sekolah yang beliau kendalikan adalah hampir kepada taraf ‘perfect’. Jadi bermaharajalela lah dia untuk membuat apa saja berdasarkan pengalamannya yang ‘jenuh’ di masa-masa lalu.
Di akhir kariernya juga, perhubungan dengan GB lain penuh rasa hormat. Perhubungannya dengan rakan kongsi perniagaan semakin menjadi. Beliau berjinak-jinak dengan dunia perniagaan sebagai bekalan menjelang persaraannya. Produk Pendidikan menjadi asas kepada perniagaannya. Jualan secara kecil-kecilan dibuat melalui rakan-rakan GB kami. Nampak dia sudah mula menempa kejayaan. Sehubungan dengan itu dia telah layak untuk mempunyai isteri kedua yang muda, segak dan bergaya.
Tarikh persaraan semakin hampir. Audit terakhir sebelum persaraannya menimbulkan banyak masaalah. Dokumen kewangannya bertaburan disebabkan pemantauan ke atas kerani kewangannya dialpakan. CC sekolah saya juga diarahkan untuk membantu sekolah GB rakan saya ini untuk menyelesaikannya tetapi masih tidak berjaya kerana kurang kerjasama. Audit sekolah juga datang menetap di sebuah hotel berhampiran dengan sekolahnya untuk membantu. Tidak tahu apa kesudahan.
GB ini terus menyepi diri dari rakan-rakan. Sebagai kawan saya mengunjunginya tapi tidak banyak yang saya dapat membantu sekadar menyampaikan simpati. Dia bersara awal sedikit dari saya pada usia 55 tahun. Saya tidak dapat menghubunginya sehingga sekarang. Begitu juga dengan rakan-rakan GB yang lain. Saya terus berharap beliau selamat dalam persaraan.
Semoga menjadi satu iktibar kepada semua.
…gbpencen… sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang kerani tegur-tegurkan.