Pagi raya yang lalu saya bertemu cg (cik gu) Mazlan, PK 1, SK Kampung Baru, Bukit Mertajam. Kami meninggalkan surau taman perumahan tempat saya tinggal sebaik saja doa di aminkan. Dua soalan yang saya inginkan sangat mendengar jawapan darinya. Mengapa sembahyang di surau saya, tidak di surau taman tempat tinggalnya ? dan mengapa tidak mendengar khutbah raya ?
Sebenarnya seronok (semasa pencen ni) dapat berbual dengan guru yang menunjukkan kemesraan dengan kita. Mungkin saya merasa kesepian tanpa ‘sekolah’ . Jawapan saya perolehi, surau di Taman Kemuning ramai jemaahnya sampai melimpah ke luar. Surau di Taman Bersatu tidak begitu ramai jemaahnya. Hakikat itu saya persetujui.
Untuk jawapan soalan yang kedua, jawapannya seperti yang saya sangkakan. Khutbah di Taman Bersatu selalunya akan lebih politik dari penerapan keagamaan, katanya. Kami berdua meninggalkan khutbah hari itu sebaik saja khatib mula memperdengarkan suaranya. Dia menolak untuk ke rumah saya dan kami berbual-bual berhampiran sebuah kedai runcit. Sebenarnya kami sependapat bahawa jika surau atau institusi masjid diwarnai dengan mana-mana fahaman politik yang sempit ianya sudah tentu memecah belahkan masyarakat. Bukan semua anak khariyah mempunyai fahaman politik yang sama. Kalau surau atau masjid (tempat ibadat) di dominasi oleh satu pihak, maka pihak yang lain akan mengimarahkan masjid tersebut mengikut prosudur biasa, iaitu tidak melibatkan diri dalam aktiviti tambahan yang menjurus kepada fahaman politik anjuran kumpulan dominasi itu. Maka itulah yang berlaku ke atas kami berdua.
Apabila tempat ibadat sudah melambangkan arca parti tertentu dengan jelas, ianya sudah tidak lagi melambangkan penyatuan masyarakat sekitarnya. Sungguhpun begitu, kita besyukur kerana masih lagi ramai berkunjung beribadat di surau. Sungguhpun begitu (dalam kebisuan) kelihatan jelas ‘riak pengunjungnya terpisah dengan fahaman politik yang tidak menguntungkan. Itulah hakikat yang perlu kita terima disamping mengharapkan kebijaksanaan pemimpim kedua-dua fahaman itu mencari jalan keluar (kalau mahu bertolak ansur)
‘Saya sudah muak bersembang politik’, itu kata cg Mazlan. Saya akui kata-kata dan hujahnya. Saya sudah tidak ‘bisa’ untuk sembang politik kampung di kedai-kedai kopi kerana ia sudah tidak ke mana dan bermakna lagi. Sebagai jalan keluar, Maka terbentuklah Jawatankuasa Surau yang terdiri dari : Cg Mazlan (Setiausaha Surau) dari UMNO, Pengerusinya dari PAS dan Bendaharinya dari PKR. Jawatankuasanya (++) demi untuk menyelamatkan khariyah Surau Taman Kemuning dari terus dibelenggu perpecahan. Objektifnya : Tiada politik dalam rumah ibadat. Berpolitiklah semahu-mahunya di luar pagar surau dan datanglah beribadat di surau (Lilllaa.. hi), sambungnnya lagi.
Untuk tujuan politik, beliau (bercadang ) untuk menubuhkan parti baru yang bernama ‘Parti Atas Pagar’. Ahli parti ini terdiri dari orang-orang yang tidak mahu berpolitik. Semuanya hanya mendengar, melihat, berfikir, menilai dan akhirnya mengundi mana satu parti yang sesuai untuk menjadi pemerintah. Objektifnya ialah supaya tempat ibadat sesuai untuk beribadat dan menghakis dosa ‘kering’ yang diperolehi pada setiap hari apabila mendengar orang-orang politik bercakap dan berlakon.( macam-macam ada). Senda saya, saya ingin jadi presidennya.
Sebagai guru, kami menamatkan perbualan ringkas dan spontan di pagi raya itu dengan cerita-cerita sekolah dan beliau berhasrat untuk ke rumah saya petang nanti. Cg Mazlan juga bercerita mengenai Guru Besar sekolahnya. Guru Besar ‘perempuan’. Hebat Guru Besarnya. Saya mengenali Guru Besar ini dari jauh. Tegas dan berkesan. Guru Besar ini pernah menziarahi jenazah PK 1 nya (juga bekas PK HEM saya) dengan linangan air mata kerana secara kebetulan (diberitahu) dua hari sebelum PK 1nya kembali, dia ada meminta satu tugasan yang belum sempat dilaksanakan. Walaupun bukan itu penyebab kematiannya tetapi kadang-kadang seseorang itu perlu melihat juga dimana proses ketegasan itu harus dimulai dan ditamatkan. Al-fatihah, amin.
…gbpencen…seorang gbpencen perempuan, kawan se Taman dan sekerja saya bertanya isteri saya mengapa saya jarang-jarang kelihatan di surau ? Saya menjawab : Saya ke surau untuk berjemaah bukan untuk berpolitik.
Telah 2 kali saya lihat ustaz ini dikerumuni oleh ramai orang muda ketika dia hadir ke majlis kenduri. Kali ini pula kali yang ketiga saya lihat dia ketika saya menghadiri kenduri ‘arwah di rumah bearas saya. Dia bersila di beranda rumah sambil dikelilingi oleh orang muda-muda yang berpelajaran sederhana.
Ustaz ini nampak hebat dengan serebannya yang besar, 3 lapis baju yang dipakainya.. anak baju, baju kemeja, dan jeket muslim beserta kain pelikat yang bertali pinggang hijau.. Tangannya memegang tasbih yang buahnya besar-besar. Perawatakannya seperti Mujahiddin di Afganistan. Pada mulanya saya gerun dan kagum melihatnya. Kagum kerana ketiga-tiga kali saya bersua dengannya ia sering kali dikelilingi oleh orang muda-muda (kebanyakannya) bekerja sederhana.
Dari jauh saya mendengar perbualan mereka. Tiada apa istimewa yang mereka bualkan, hanya perbualan biasa penuh dengan senda guru dan gelak ketawa. Cuma dapat di ‘tangkap’ sekali-sekali antara perbualan itu banyak yang memuji dan mengagumi ustaz tersebut. Sekali sekala saya terdengar lafaz ayat suci al-quraan dari mulut ustaz tersebut. Kemudian beberapa orang muda minta diulang ayat tersebut oleh ustaz. Ada diantara mereka yang mencatat ayat suci itu dalam tulisan rumi. Saya juga sudah biasa mendengar ayat-ayat tersebut. Perbualan dengan ustaz semakin rancak.
Pertemuan saya 2 kali sebelum ini juga – modus operandi – yang sama. Kehadirannya di sambut oleh pemuda-pemuda kampung saya dengan hidangan lauk pauk, termasuk sajian minuman daun ketom dan sembang yang berpanjangan. Hati saya tertanya-tanya apakah fungsi sebenar ustaz ini sehingga ia begitu dihormati dan di sanjung tinggi. Jawapan yang samar saya perolehi sebelum ini ialah beliau adalah ketua di kalangan orang-orang 3 lines. Saya biasa mendengar perkataan 3 lines, tapi saya tidak begitu memahaminya dan mengambil peduli mengenainya.
Sambil perbualan hari itu berjalan, saya mencongak kesungguhan dan ketaatan pemuda di kampung saya bersama ustaz ini. Bermula jam 11.00 pagi sehingga jam hampir 4.00 petang masih ramai pengikut yang mengelilingi ustaz ini datang silih berganti berbual mesra dengannya. Hampir saya akan meninggalkan majlis itu, 3 bilah pedang dikeluarkan dari sarungnya dan perbualan berkisar pula mengenai keunikan pedang tersebut yang mengandungi cerita-cerita mistik mengenainya.
Akhirnya saya pun minta diri untuk meninggalkan majlis tersebut sambil salah seorang dari peminat setia ustaz ini merakamkan pertemuan itu dengan perakam videonya. Saya terus berfikir bahawa ramai di kalangan orang-orang Melayu kita sangat patuh kepada ketua yang berpendidikan agama. Selain meminati kebolehan ustaz-ustaz ini dalam bidang agama, mereka juga meminati perkara-perkara mistik, antaranya cerita-cerita luar biasa mengenai alam ghaib dan lain-lain kebolehan dan kelebihan mengenai perkara-perkara ghaib. Langsung jika kepercayaan ini terus dipengaruhi ianya akan membuatkan seseorang menjadi semakin taksub; sepertimana berita-berita yang kita sering di paparkan. Bermulanya ajaran sesat ialah dari ketaksuban seseorang kepada orang-orang yang mempunyai pengetahuan agama yang agak luar biasa.
Mungkin saya tidak betul, tetapi situasi sebegini agak membimbangkan. Apakah sekumpulan pemuda ini mempunyai hala tuju yang jelas dalam penyatuan ummah yang sering kita di laung-laungkan ? Apakah mereka ini tidak mempunyai pemimpin lain yang boleh membawa mereka ke satu tahap pembangunan dan penyatuan ummah yang lebih berkesan?. Adakah perkumpulan sebegini perlu / sesuai pada masa kini ?. Berkesankah perkumpulan yang sebegini bagi membantu memperkasakan orang Melayu – terutama di era masa kini di mana kita sedang menghadapi kerapuhan perpaduannya ?.
Saya baru perasan yang ketiga-tiga orang saudara saya itu (yang rumahnya dikunjungi ustaz tadi) adalah ‘pemikat burung’
..gbpencen…tak masuk mana-mana kumpulan pun, kalau ada pun hanya ‘kumpulan yang sudah dipenghujung jalan’
Round ke 2 : Selepas mengajar sebagai GSK (Guru Simpanan Kebangsaan) selama 14 minggu beberapa bulan yang lalu, saya kembali ke sekolah untuk pusingan ke 2 selama 2 bulan mulai 14 September lalu iaitu 4 hari menjelang Hari Raya Aidil Fitri. Di sekolah yang sama, kini mengajar di Tahun 4 dalam matapelajaran Bahasa Melayu dan Kemahiran Hidup di semua kelas Tahap 2. Seronok bersama dengan murid-murid. Di Round 1, saya mengajar Science (PPSMI)
Era baru. Kali ini era tanpa PPSMI pula. Sebagai anak-anak (murid-murid) mereka cepat menyerap perubahan. Seakan-akan mereka tahu yang pelaksanaan PPSMI secara beransur-ansur akan dilupuskan, mereka membahasakan diri saya sebagai cikgu. “Cikgu masuk mengajar kami atau tidak ?”. “Cikgu mengajar di sini pulak kah”. Itulah antara soalan-soalan yang sempat saya dengar ketika mereka menerkam bersalaman dengan saya setelah 2 bulan saya tidak kelihatan oleh mereka.
Seperti entri saya terdahulu, saya pernah menyatakan bahawa murid sedia belajar apa sahaja yang diajar. Guru juga sedia mengajar apa sahaja yang dikehendaki oleh pihak yang merencana pendidikan negara. Tiada banyak masaalah yang timbul sama ada ada atau pun tiada PPSMI. Yang menjadi masaalah ialah bila diadakan PPSMI ada pihak yang tidak senang, bila ditiadakan PPSMI ada juga pihak yang tidak setuju. Maka jadilah ia seperti kata peribahasa moden, ‘sekejap ada sekejap tiada’ Oleh itu banyak guru berpendapat, ada ke, tiada ke, kita sama juga, mengikut arahan dan terima gaji. Kata orang sekarang, sudah tiada ‘uummh’ lagi.
Oleh sebab ‘ada dan tiada’ ini, maka ianya telah menjadi satu fenomena baru dalam pengurusan pendidikan di akhir-akhir ini. Segala keputusan yang dibuat oleh pihak perencana tidak lagi menjadi satu kejutan kepada warga yang mendidik murid-murid ini bahkan ianya menjadi satu perkara biasa. Perubahan akan berlaku apabila ianya dikehendaki berlaku oleh orang-orang tertentu untuk berubah, bukan datangnya dari isyarat yang diberi oleh masayarakat terbanyak. Ditambah pula (nampak) semakin tepat andaian yang selalu diwar-warkan oleh masayarakat terbanyak bahawa perubahan itu akan menguntungkan orang-orang tertentu kerana ia memakan belanja yang banyak. Buku, kursus, seminar, peralatan, pelupusan, prasarana dan sebagainya tentunya banyak memakan belanja.
Selain dari itu ia juga akan mengorbankan banyak pihak. Tentunya yang paling nyata untuk dikorbankan ialah murid-murid di kelas yang akan sering ditinggalkan guru untuk mendapat ilmu perubahan baru itu. Guru-guru juga akan berkorban untuk ‘tune’ keadaan, kaedah, persekitaran, ilmu, kemahiran dan sedikit sebanyak kepakaran baru. Guru Besar sebagai pengurus pula harus mengorbankan masa dan fikiran untuk menyesuaikan semula stok peralatan, pelupusan buku, kemudahan kelas, alat bantu dan sebagainya dengan perubahan baru yang sedikit-sedikit sedang dilaksanakan. Unit Penilaian, unit buku teks, unit ICT juga sibuk merancana semula perubahan-perubahan ini. Semuanya akan berkorban dan ada di antaranya terkorban. Walaupun begitu (kata guru) ini sudah menjadi perkara biasa. Perkara biasa, kata guru. Mereka akan lakukan seperti biasa.
Perubahan ini akan merangsang pertumbuhan ekonomi. Mungkin juga ia merupakan salah satu pakej rangsangan ekonomi yang sedia dilaksanakan masa kini. Cetakan buku teks percuma, pembinaan CD ICT bentuk baru, mungkin pekej naik taraf ICT akan dilaksanakan, makmal bahasa akan diwujudkan dan imbuhan untuk guru-guru mungkin akan juga dapat dipertimbangkan (kerana menghargai pengorbanan guru yang sedia menyerap perubahan yang dilaksanakan). Mungkin kenalan saya bekas YB juga akan sekali lagi memperolehi kontrak bekalan ICT ke seluruh negara. (saya diberitahu beliau memperilehi kontrak tersebut ketika pelaksanaan pekej PPSMI ke 2). Alhamdullilah.
Sebelum ini di ‘Round 1 – GSK (saya) ditegur sebagai Sir oleh Nurul Izzah (murid) . ” Sir, sir nak masuk ke kelas kami ke, sir…” kata Nurul Izzah kepada saya. Sekarang Nurul Izzah berkata ” Cikgu datang mengajar sekolah ini pula ke, cikgu?”. Pada saya walaupun hanya perkataan sir, Nurul Izzah merasakan Bahassa Inggeris semakin diperlukannya untuk belajar kerana ketika saya mengajar Sains saya sering berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris. Sekarang dia hampir menyedari yang Bahasa Inggeris adalah satu matapelajaran sahaja. (mungkin).
Saya masuk ke bilik darjah; masih tergantung LCD di siling. Di lantai dan di dinding ada alat pencawang AV, kotak ‘speaker’ – berhabuk dan penutupnya hampir terkulai. Nilai kedua-dua alat itu sekitar 6 hingga 7K . Ianya akan terus digunakan walaupun ada perubahan dalam pelaksanaan PPSMI tetapi tidak begitu nampak kesungguhan guru untuk menggunakannya. Mungkin juga perkara ini perkara biasa. Biasa dalam perubahan dan biasa dalam pelaksanaan.
Saya akan terus mengajar (di Round 2 ini) kerana kejayaan seorang guru adalah apabila dapat memandaikan murid-muridnya yang tidak / kurang pandai. AWAS : ini bukan perkara biasa, ianya perlu dilakukan dalam keadaan luar biasa.
…gbpencen…menggunakan LCD mengajar Bahasa Melayu dan kemahiran Hidup.