Coretan terdahulu memperkenalkan profesion baru saya sebagai pekerja pengurusan terendah di sebuah kilang. Kini masih bekerja dengan sedikit tambahan ‘item’ dalam senarai tugas. Masuk jam 10.00 pagi, balik jam 3.00 petang cukup untuk tambah duit ‘top up’ dengan duit ‘ikan’. Alhamdullilah, terisi juga masa lapang saya untuk mengelak ‘bergocoh’ dengan bini jika panjang sangat masa di rumah terutama di bulan Ramadhan ini.
Perempuan, lelaki sama-sama bekerja untuk ‘mencari makan’. Pada hemat saya (dipersetujui oleh tokeh – cina, saya) pengisian pekerja tempatan (komuniti melayu) di premisnya adalah perlu untuk melengkap sumbangan sosialnya supaya tidak dikabui oleh pandangan masayarakat setempat padahal menggajikan pekerja asing lebih menguntungkan. Pekerja asing tekun bekerja kerana segala tumpuan hanya kepada pekerjaan masing-masing saja, gaji pula murah. Pekerja tempatan banyak komitmen, keluarga, sakit, kematian, keagamaan dan kemasyarakatan selain dari hiburan dan sosial yang lain.
Usia bekerja Pn Seri M (Namanya sebenar ialah Seri M….) sama dengan usia kilang itu diasaskan. Selama ini dia diberi kepercayaan penuh oleh taukeh (tokeh) kilang tersebut. Banyak kemudahan yang diberikan kepadanya disitu. Gajinya sebualan termasuk ‘over time’ tidak sampai RM900. Walaupun begitu dia selalu mendabik dada atas kekuasaan (yang diberi kepadanya) mengawal pengeluaran, mengawal pekerja tempatan dan asing. Kemudahannya berkomunikasi dengan tokeh merangsangnya membuat berbagai-bagai laporan yang tidak menyenangkan pekerja di situ. Cakapnya juga kadang-kadang ‘tidak berlapik’ . Oleh yang demikian maka timbullah bibit-bibit tidak puashati yang memutikkan pertelingkahan di kalangan pekerja kilang itu terutamanya pemandu-pemandu lori yang keletihan membawa barangan sepanjang hari dan kemudiannya ‘terpaksa’ membantu operasi pengeluaran. Pn Seri M adalah Guru Besar di kilang itu.
‘Saya atau dia’ merupakan kata dua Pn Seri M kepada tokeh yang mana menyebabkan Sari (pekerja tempatan, melayu, lelaki) di buang kerja. Kemarahan rakan sekerja yang lain memuncak kerana angkara Pn Seri M menyebabkan Sari dibuang kerja. Selain dari Pn Seri M, pemandu-pemandu lori juga menjadi harapan tokeh. Meraka juga naik berang. Salah seorang pemandu tersebut (Dika namanya) amat disenangi tokeh kerana sanggup mendahulukan wang sakunya untuk menyelesaikan masaalah kilang. Amaun pendahuluannya kepada tokeh mencecah hingga3 ribu ringgit. Dika inilah yang paling berang.
Selang beberapa hari pemandu harapan tokeh itu pula memberi kata dua kepada Tokeh . ‘Saya atau dia’ .. ‘Pn Seri M atau Dika’.. Tokeh sudah serba salah. Akhirnya tokeh cina ini memilih untuk mengekalkan pemandu harapannya di kilang itu dan bersedia memberi laluan keluar kepada Pn Seri M. Kini Pn Seri M dalam dilema. Semua kemudahan yang diberi secara beransur-ansur ditarik balik. Tokeh sudah tidak bertegur sapa dengannya. Tanpa dia, perniagaan dapat berjalan. Tanpa pemandu harapan, barang pengeluaran susah untuk dijual. Akhirnya Pn Seri M ditunjuk laluan keluar dari kilang tempat saya bekerja itu.
Di sekolah terdapat ramai Guru Besar perempuan. Sepanjang saya bertugas, ramai rakan-rakan GB terdiri dari GB perempuan. Secara ikhlas saya menerima banyak komen dari guru bahkan ramai diantara PK lelaki yang tidak menyenangi GB perempuan (walaupun bukan semua). Terdapat ramai pekerja yang susah untuk berurusan dengan GB perempuan. Kegagalan berkomunikasi dengan baik adalah punca timbul masalah GB dengan kakitangan / guru bawahan. Mereka seringkalai memperincikan arahan yang diterima dan JPN / PPD secara langsung tanpa kompromi. Dalam arahan yang sebegini, budi bicaara merupakan aspek penting ketika membuat arahan. Ada diantaranya mempunyai kebolehan mengurus yang rendah disebabkan kurang pengetahuan (sebelum ini) untuk menguruskan kerja-kerja asas harian seperti kegagalan prasarana di sekolahnya – kerosakan, pembaikan, pembinaan, kemudahan letrik, air dan sebagainya. Perkara-perkara seperti ini adalah penting dalam memperkasakan kebolehan mengurus.
Selain dari itu, pengalaman lalu dalam pengurusan sumber manusia juga penting. Ianya tidak diajar dengan cara khusus bila menjawat jawatan GB sebaliknya perlu dipelajari melalui pengalaman lalu ketika menjadi PK atau ketika melibatkan diri dalam organisasi lain didalam atau diluar skop pendidikan. Pengurusan sistem pejabat dan lain-lain sistem di sekolah dengan berkesan dapat membantu meminima rasa tidak puashati orang bawahan kita. Selain itu, GB tidak boleh angkuh dan sombong. Saya ‘ketua’, saya ‘Guru Besar’, saya ‘tahu’, saya … saya … semua saya (hebat), juga tidak membantu tetapi kata-kata yang lebih berhemah dengan raut wajah yang sering menyelesaikan masaalah menyebabkan tidak timbul banyak masaalah.
Sungguhpun nasib GB perempuan ini tidak seperti nasib Pn Seri M tetapi didapati ramai GB perempuan yang menukarkan PKnya, berulang-alik ke PPD mengadu hal guru di bawahnya, meronta-ronta untuk menukarkan guru masing-masing, bermasam muka dengan staf dan sebagainya. Ini berlaku kerana GB ini tidak dapat menguruskan masaalah yang timbul di sekolahnya. Tidak dapat dinafikan ada GB lelaki pun yang seperti itu (termasuk saya).
Walau bagaimanapun ‘wajarkah saya menyatakan’ perempuan, tetap perempuan.
…gbpencen…banyak cerita ‘ragam’ GB perempuan, maupun GB lelaki yang ingin dicoretkan , tambahan ragam GBpencen (lebih teruk ) lebih banyak untuk dicoretkan.
Disuatu masa cik gu (cg) Wan Din telah mencadangkan nama abang sulung saya untuk dilantik sebagai Guru Besar (GB). Nama itu dicadangkan kerana beliau telah dapat mengesan yang calon ini mempunyai keriteria untuk dilantik ke jawatan itu. Ketika itu (arwah) abang saya sebagai PK 1 di Sekolah Menengah Bakti, Tasek Gelugor dan (arwah) cg Wan Din adalah Pengetuanya. Cg Wan Din adalah seorang guru yang hebat keguruannya. Dikenali di seluruh negeri kerana keikhlasan dan ketulenan aura ‘cikgu’nya. Pandangan dan cadangannya jarang di tolak oleh pihak atasan pendidikan dan selalu dipertimbangkan dengan sebaiknya. Itulah prosedur ketika itu.
Prosedur masakini pula, GB dipilih oleh Pengurusan di JPN. Apa kriteria maka saya dipilih oleh Ketua Unit sebagai GB, saya juga kurang pasti. Oleh yang demikian maka terlantiklah GB yang berbagai-bagai ‘jenis’. Saya juga adalah antara GB dari berbagai-bagai jenis itu. Oleh yang demikian maka bekerja keraslah pegawai JPN ‘ mendidik dan membimbing’ GB yang baru dilantik itu. Ianya jelas diperlihatkan di dalam perjumpaan-perjumpaan, GB sering kali ditegur tidak menepati kehendak JPN; yang menegur itu pula ada diantaranya tidak pun pernah menjadi GB.
Seorang GB baru, baru bertugas dan baru dalam pentadbiran tercari-cari arah tuju untuk melayari bahtera bernama ‘sekolah’. Pengalaman bersama GBnya dahulu dijadikan panduan. Pengalaman PK di sekolah baru dijadikan pedoman. Rintihan guru bawahan dijadikan bekalan. Maka belayarlarlah bahtera itu sambil tercari-cari arah angin yang bertiup. Makin lama makin kuat angin yang membadai. Ombak di hujung tanjung mula bergelora. Air menghempas bahtera. Pelabuhan masih ada tapi samar-samar. Misi dan Visi di genggam erat. Amanat juragan kuat disemat. Laut terus mengganas, hati semakin bergelora. Itulah ungkapan yang sebaiknya untuk GB baru. Tercari-cari.
Apakah peranan Majlis Guru Besar (MGB) untuk rakan baru (GB) ini. Seingat saya tiada satu modus operandi yang disediakan oleh MGB bagi membantu insan ini untuk melayari bahtera ‘sekolah’nya. Sesibuk manapun program orang besar-besar MGB, harus diingat bahawa GB-GB baru ini adalah kedaerahan kita yang kita perlu perkasakan untuk sama-sama dapat membina kejayaan bukan untuk peribadinya tetapi lebih penting ialah untuk pendidik anak-anak dan anak didik di bawah kelolaannya. Pandai-pandailah sendiri. adalah satu ungkapan yang tidak mungkin dikeluarkan oleh pucuk pimpinan MGB kepada mereka. Masih tidak jelas bimbingan yang diberi oleh peneraju MGB. Atau lebih tepat lagi ialah- seperti enau, melepaskan pucuk masing-masing – mempertahankan populariti diri dan sekolah sendiri di mata…. (dot..dot..dot..).
Silap tanggapan jika menyatakan yang GB dinilai oleh peneraju MGB atau oleh JPN. GB dinilai oleh guru-guru, murid-murid dan masyarakatnya. Guru, murid dan masyarakat menyaksikan GB pada setiap hari dan setiap masa, termasuk hari cuti. Penilaian umum boleh diperolehi dari mereka itu. Tanyalah pandangan pihak (PK, guru dan staf bukan guru) terhadap kepimpinan GB di sesebuah sekolah (dengan ikhlas) pasti anda akan mendapat jawapan yang sepatutnya, yang sebetulnya dan seikhlasnya. Baru anda boleh membuat penilaian yang betul terhadap sekolah dan kepimpinannya.
Maka betullah kata seorang rakan GB: Bukan untuk mencari kelemahan sesiapa tetapi atas rasa hormat kepada ‘ketua’, saya sering menunjukan rasa hormat kepada semua pucuk pimpinan MGB yang pernah saya ‘tumpang lalu’ (istilah bloggers). Kepimpinan yang berkrisma. Ramai yang menawarkan diri telah menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh mencurahkan idea dan berkerja keras untuk MGB. Maka terbentuklah satu himpunan cerdik pandai GB di dalam MGB. Merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti.
Kepimpinan MGB harus boleh merendahkan martabat, duduk semeja dengan GB baru, bagi membincangkan arah angin yang bakal bertiup dengan kaedah terbaik pengendalian kemudi menuju pengkalan maka banyak antara sesama kita akan lebih terarah dan terbela. Tidaklah kami (GB bawahan) hanya diajak menonton kelincahan perhubungan dengan pihak atasan di JPN, keboleham memperagakan gaya yang hebat juga ketokohan berkomunikasi di dalam sesuatu hal sahaja. Ianya tidak memberi apa-apa erti kepada GB bawahan ini. Ianya bererti untuk kami daripada mereka yang tidak mengerti isi hati kami. Yang lebih parah, ada ketikanya memperakui keruntuhan dan kegagalan GB baru di khalayak yang tidak sepatutnya. Juga memberi kesan luka ketika mana-mana kegagalan GB bawahan tanpa pembelaan, walaupun ternyata tidak benar.
MGB boleh membuat apa lebih dari apa yang dibuat sekarang. Contoh : Keputusan untuk melaksanakan dan memansuhkan dasar PPSMI tidak melibatkan peringkat kepimpinan bawahan. Pandang dari ‘pemain’ sebenar dalam pelaksanaan dan pemansuhan PPSMI tidak pernah diminta, maka akhirnya ia akan mencelarukan seluruh arus pembentukan generasi – anak-anak kita. Peranan kepimpinan MGB ialah menghayati apa yang berlaku di peringkat bawah (sekolah) dibincang dan diketengahkan sebagai satu wadah dari akar umbi. Bukan sekadar hadir mesyuarat untuk mendengar aktiviti dan mengundi kepimpinan baru dan lama.
Di peringkat MGB atau sekolah, semua orang yang saya temui bernafsu untuk menjadi peneraju. Sesiapa juga sentiasa terdorong untuk menjadi ketua. Sesiapa juga sentiasa ingin untuk mempunyai kuasa, sama ada untuk memerintah atau menggunakan kedudukan. Ia dapat dilihat melalui pandangan, komen, teguran dan kata-kata yang diucapkan jelas menunjukan semua berminat untuk memperbaiki keadaan mengikut idea masing-masing, dalam lingkungan tugas masing-masing dan melalui jawaatan semasa yang disandang. Saya sentiasa menghormati semua itu. Oleh itu ….
Ianya harus diperhati, dilihat, difikir-fikirkan, diubahsuai, diadun, digaul dan digarapkan dalam satu ramuan yang boleh di bawa ke mana-mana dalam kehidupan.
Jadilah payung kepada semua GB. Tentukan makanisme penanda aras bagaimana peranan yang sepatutnya dimainkan oleh GB di sekolahnya. Ianya akan lebih berfokus dengan kemudi, layar, juragan dan bahtera yang terurus. Dan sentiasa akan dihargai dan di hormati.
…gbpencen…selalu teringat sumbangan guru bawahan yang sentiasa menghormati saya hingga ke hari ini.
Orang la (sekarang) ni bagus.. raya tak masuk hutan.
Begitulah salah satu antara ratusan ungkapan yang diucapkan oleh arwah emak saya yang saya tidak dapat lupakan. Dia seorang yang tidak berpelajaran tetapi (pada saya) penuh dengan pengalaman. Mutiara katanya terpahat kuat dalam minda saya sepanjang zaman. Sinis dan bermakna serta berpengajaran.
Seperti cerita sebelumnya, orang dulu-dulu tidak sekuat amalan agamanya seperti orang sekarang. Berkoyan-koyan cerita bomoh membomoh, kurafat, mistik, maksiat dan ada juga menjurus kepada perkara syirik sering diperdengarkan oleh emak kepada saya. Hari ini cerita itu diperdengarkan kembali melalui rakaman kerinduan saya kepada emak terutama menjelang hari raya.
‘Pak hang dulu, bila raya semua masuk hutan” Semua membawa maksud : dia (bapa saya) berserta kawan-kawannya ketika usia muda. Mereka semua akan masuk ke hutan untuk berjudi menjelang hari raya sehinggalah beberapa hari raya berikutnya; ataupun sehingga kehabisan wang. Berjudi di hari raya hanyalah sebagai hobi biasa atau kemestian di hari raya, bukanlah sampai menjadi kaki judi. Ia dianggap sebagai satu kemestian dalam aturcara hari raya pada orang-orang muda ketika itu.
Menjawab soalan saya, emak menyatakan tiada siapa pun akan melarang orang-orang muda ketika itu berjudi di hari raya kerana sebelum itu pun orang tua-tua juga telah melakukan perkara sedemikian semasa mereka muda. Tradisi sedemikian sudah menjadi budaya. Emak menyatakan bahawa penguatkuasaan undang-undang pun masih longgar dan tiada tindakan dibuat oleh pengamal undang-undang pada masa itu.
Mengapa perlu masuk hutan ? Jawapan : Sering diperkatakan dari dulu sehingga sekarang dan tidak dapat dinafikan bahawa orang-orang melayu (orang kampung) sangat tinggi budi bahasanya. Oleh yang demikian, keganjilan tingkah laku berjudi pada hari raya tidak di pamer di khalayak. Rasa hormat kepada orang tua dan masyarakat masih ada. Oleh itu gelanggang judi dibuka di kawasan belukar kecil yang banyak diketika itu. Emak pula hanya tersenyum ketika melakari ceritanya kepada saya; menunjukan dia juga tiada apa-apa halangan untuk bapa saya berbuat demikian – katanya larang pun buat.. tak larang pun buat.. (lakukan juga).
Ungkapan itu diucapkan kepada saya ketika saya duduk (bertimpuh katak) mengadap bersalaman dengannya disuatu pagi di hari raya. Mungkin salaman itu kali pertama saya lakukan terhadapnya setelah saya mendapat petunjuk dari guru di sekolah (terima kasih cikgu). Dia merasakan satu kelainan dari sebelumnya yang belum pernah dilalauinya sepanjang dia bergelar ibu. Abang sulung saya pernah berkata (bila saya bertanya) bahawa dia malu (segan) untuk bersalaman dengan emak (?) di hari raya tapi tidak bermakna dia tidak sayangkan emak. Emak melihat ramai orang merayakan hari raya dengan adab tertib dan mengamalkan nilai-nilai agama dengan baik. Wajah gembiranya terpancar di pagi raya itu.
Pada ketika itu, budaya negatif menjadi perkara yang agak biasa kepada anak-anak muda. Penerapan nilai di sekolah agak kurang berkesan kerana tiada penekanan khusus dan sering tidak mendapat kerjasama dari ibubapa. Ini berlaku kerana ibubapa di rumah juga tidak mengamalkan nilai-nilai agama dengan mantap. Namun lama-kelamaan selepas itu ianya menjadi semakin berkesan setelah mendapat kerjasama dari semua pihak. Semasa saya mula mengajar, amalan berjudi sebagai ‘hobi memenuhkan masa lapang’ juga berlaku tetapi tidaklah di pagi raya…
Bila meningkat dewasa, kata emak ; bapa saya telah merubah wajahnya kepada seorang yang mendampingi masjid. Bermula sebagai siak, kemudian bilal dan menjelang saat-saat akhirnya dia sudah menjadi imam. Sedap bacaan Qunutnya pada awal pagi, kata emak, tapi saya masih tidur.
Sekali air bah, sekali pantai berubah.. pantai sekarang sudah banyak berubah, bahkan telah terhakis seperti terhakisnya nilai-nilai yang tidak baik di kalangan kita.. alhamdullilah.
…gbpencen… dah tak main judi, cuba belajar main forex pula.