Skip to content

Pra ‘Satu Malaysia’

2010 February 17
by Guru Besar Pencen

Saya berkayuh basikal tua peninggalan arwah bapa dengan membawa sebuah bekas guni gula terikat kuat di ‘plantar’.  Kayuhan menghala ke pekan Simpang Ampat dengan tujuan untuk membeli keperluan  dapur yang disuruh emak.  Ketika itu saya berada di usia 9 tahun.  Basikal tua yang saya naiki tidak mampu untuk saya duduk di ‘seat’nya.  Hanya bertenggek sahaja dibesi galang dan mengenjut ‘rakap’  ke kiri dan kanan.

Kurang dari 15 minit saya pun sampai.  Tan Poh Guan memasukkan barang keperluan ke dalam guni gula separuh penuh.   Gula, beras tepung, minyak, sabun buku cap Kapak , agar-agar, susu cap Junjung dan …  Semuanya dibungkus dengan kertas kecuali yang berbotol dan bertin.  Yang saya tak nampak, sabun mandi, syampu, ubat gigi, susu tepung, minyak rambut ..  Tapi yang saya pasti saya tidak pernah menggunakan benda-benda tersebut pada masa itu.

Saya tidak perlu bayar apa-apa.  Tan Poh Guan akan menulis harganya di buku dan saya akan menyerahkannya kepada emak saya bila sampai di rumah nanti.  Dengan tidak banyak soal saya berkayuh balik ke rumah dari kedai runcit di pekan itu.  Saya suka ke kedai itu kerana Poh Guan mesra orangnya.  Dia jarang berbaju tetapi sentiasa menguruskan kedainya dengan teratur.  Saya pasti bila cukup sebulan, bila abang saya mendapat gaji dia akan membayar hutang barang tersebut kepada Poh Guan. Itu saja.

Lima puluh tahun kemudian, saya berjalan dihadapan bekas kedai lama Poh Guan  di Jalan Tasek (Tasek Road) yang telah lama sudah ditutup.  Poh Guan pun sudah lama meninggal dunia.  Saya meneruskan rondaan santai saya ke kedai barunya  di Jalan  Main Road,  Simpang Ampat.  Kelihatan anaknya sedang  menguruskan kedai racun dan bahan pertanian berbahan kimia yang terbesar di dalam daerah ini, lengkap dengan kemudahan tercanggih dan terkini.  Ada 3 / 4 buah kereta berjenama dikedainya. Kedainya berruang 3.  Anaknya (mirip wajah Poh Guan) sudah tentu tidak mengenali saya tetapi saya teringat Tan Poh Guan yang gigih bekerja hingga ke generasi anaknya – kaya raya.  Saya bukan ‘pelanggannya’ jadi tidak perlu dia menegur saya tetapi ayahnya pula (limapuluh tahun dahulu) p sangat akrab dengan abang saya( seorang Pegawai RISDA) yang mula-mula mempromosi bekalan racun dan baja kepada  Poh Guan.

Kita (Melayu) kembali merenung diri kita –  masa silam.  Ketika itu tidak ramai orang yang mengejar kebendaan.  Banyak masa terluang untuk berkomunikasi.  Selalu mempunyai ruang untuk bekerjasama.  Dapat bekerja dengan selesa.  Mempunyai makanan berkhasiat dari tumbuh-tumbuhan menghijau.  Sihat dari penyakit yang ‘kronik’. Awal 60’an dirasakan peluang telah terhidang untuk yang rajin ketikmana negara semakin dihambat kemajuan. Perlumbaan telah bermula.  Pemimpin begitu jujur memperkasakan jati diri rakyat.  Namun tiada seorang pun motivator yang tampil untuk mendidik abang kakak ketika itu untuk memperkasakan diri bersedia untuk dihambat kemajuan.

Antaranya ada yang pandai, yang bijak, yang rajin dan sedikit berpengetahuan.  Mereka berlari ke hadapan sambil mendahului kemajuan dan mereka berjaya.  Dalam masa yang sama ada yang terus dibuai mimpi enak menonton kemajuan yang makin terasa…Kebanyakan ketika itu,  ramai yang masih bersembang (leka -rilexs)) dan bekerja secara rutin cukup untuk makan pagi dan petang.. secara tradisional. Bekerja sebagai petani tradisional dan ‘enjoy’ kemerdekaan yang telah dituntut oleh orang-orang Melayu, kepimpinan terdahulu  ke atas bumi bertuah ini.

Ketika itu sudah ada jalan raya, ada sekolah,  pejabat kerajaan, seadanya ; kereta tidak banyak,  hospital juga ada walaupun kecil (tidak perlu dibesarkan kerana tidak ramai yang mahu mengunjunginya kerana mungkin tidak sakit).  Semuanya ada .. dan semuanya ala kadar,  seadanya. Itu pun sudah cukup untuk keturunan Melayu yang sudah  (pun terasa)  menjadi tuan dibuminya sendiri.

Terus asyik melihat penguasaan saki baki orang-orang Inggeris menguruskan ladang dan syarikat-syarikat besar sambil menumpang bekerja mencari pendapatan. Ramai orang-orang Melayu yang menjadi asykar (termasuk abang kedua saya) dan orang-orang Cina terus berniaga seperti biasa, (sepertimana  perrnah diungkapkan oleh YM Tunku Abdul Rahman, Bapa Kemerdekaan Malaysia – orang Melayu jadilah asykar, biarlah orang-orang Cina meniaga).  Orang berketurunan Cina terus berniaga dan berniaga dan berniagaaa……

Saya mundar mandir di Jalan Tasek memerhatikan pembinaaan landasan keretapi berkembar.  Di antara deretan kedai peniaga Cina kelihatan motosikal anak-anak sekolah memecut laju membelah jalan raya tanpa topi keledar.  Beberapa buah kereta guru separa mewah keluar dari SMK Bandar Tasek Mutiara.  Bergaya dan ceria dengan kemewahan dan keselesaan yang ada..

…gbpencen…sudah MEWAHKAH KITA ? atau kita makin ditinggalkan kemewahan oleh orang lain?

2 Responses leave one →
  1. Abdul Aziz Bin Mohd. Kassim permalink
    February 17, 2010

    …gbpencen…sudah MEWAHKAH KITA ? atau kita makin ditinggalkan kemewahan oleh orang lain?

    AsSalamualaikum W.B.R,
    Kalau benarlah apa yang dikatakan oleh Almarhum Tunku itu maka hari ini saya menangis, menangis bukan kerana apa. Menangis kerana itulah kita dimata orang kita, tapi saya bersyukur kerana banyak yang telah bangun dari mimpi. Lari dari Mitos yang kita hanya layak menjaga tanah air sahaja. Menjauh dari kenaifan yang membuat kita semakin jauh, terkebelakang .
    Hari ini orang Melayu di mitoskan bahawa hanya tinggal kuasa politik sahaja yang akan menyelamatkan bangsa melayu dari ditindas ditanahnya sendiri. Saya bukan orang politik, saya orang biasa yang suaranya tak terdengar di mana mana. baik di media apatahlagi nak bersarang di sanubari orang Melayu. Ini hakikat yang sebenar, apa guna ada kuasa politik. kalau harga gula pun kita terpaksa meminta-minta. Apa maknanya itu kalau kerajaan terpaksa memberi subsidi. Harga yang kerajaan terpaksa bayar dan berselindung dengan nama subsidi.

    Adat orang berniaga, ada untung ada rugi. Tapi orang yang berniaga di negeri kita jarang rugi,malah andai rugi pun kerajaan yang tanggung. Jangan kata orang melayu sahaja yang dapat bantuan kerajaan, Satu Malaysia ini pun dapat bantuan. Cikgu lagi tau, kerana Cikgu merasa semua zaman itu. Dari laungan Merdeka sehingga laungan Satu Malaysia. Nak salahkan siapa? Tiada siapa yang bersalah, kerana kita mindanya bukan minda peniaga. Untung rugi bukan persoalan, asalkan kuasa masih ditangan. Tetapi jangan kita bangun bila matahari sudah meninggi. Kita jangan lupa, suatu hari nanti mereka mereka ini akan menuntut hutang mereka. Masa itu bayarannya adalah kuasa kita. Satu Barter Trade yang mungkin akan menyebabkan kita akan menjadi hamba di tanahair sendiri. masa itu baru kita akan bangun dari mimpi indah dan hidup dalam mimpi ngeri yang nyata.
    Dunia hari ini bukan kerana politik, kerana politik itu adalah gula gula . Manis gula gula hanya dilidah. terlebih gula gula semuanya rosak binasa, gigi rompong. Sakit yang lain mula mengekor.Dunia hari ini adalah mengenai kekayaan ekonomi. Bumi Timur Tengah porak peranda kerana apa? Politik. Tak mungkin,Umum tahu Saddam Hussin tak berkemampuan menguasai dunia, tapi umum tahu tanpa minyak Iraq, Amerika tak mungkin mengerakkan kuasa ekonominya.
    Kita ini sudah lama berniaga, mungkin tak lama seperti manusia tamadun awal. Tapi kita telah menjadi pusat perniagaan serantau lama dahulu. Melaka menjadi sebutan masa itu.Tapi itu dulu. Indahnya mimpi ini kalau Melaka kini setaraf Singapura, lagi hebat kalau dapat menandingi Hong Kong, Shanghai, Amsterdam apatahlagi New York.
    Ayuhlah kita bertatih, tanamkan minda dianak anak kita usah mengharap bangsa lain menolong kita, kerana pertolongan mereka itu ada maknanya.Didiklah anak anak kita berdikari, memang sempit dan susah ruang untuk bermula. Jangan dibelai dengan kesenangan, kerana kederat yang telah dirasuah kemewahan berat geraknya.Ajarlah anak anak bangsa mempertahankan bangsa ini dengan kekuatan Ekonomi. Kekuatan yang mampu mendarjatkan kuasa Autonomi. Sokonglah mereka mereka yang berjinak-jinak berniaga dan bukan dicebik bila usaha itu gagal. Percayalah, ramai yang tak percaya dengan usaha anak bangsa.Percayalah ramai yang lebih percaya dengan bangsa lain bila berjual beli.
    Semua mencebik bila kerajaan mengumumkan tentang pembangunan Kampung Baru, tetapi saya akan mendokong usaha rakan saya supaya nanti termartabat Kampung Baru tanpa meminta minta dari mereka yang punya harta hatta yang memegang kuasa. Kerana kita mempunyai kedua duanya.

    Cerita Cikgu halus, nampak santai tetapi isinya meruntun hati bila mengenang keadaan kita. Kita yang lama diulit mimpi, bertambah lena dipopok kuasa yang sebenarnya hanya pada nama. Bangun pagi bersarapan Roti canai dan teh tarik yang harganya dikawal orang lain. Sepuluh sen pun tak mampu kita tawar, menjadikan Teh Tarik saya semakin lama semakin tawar.

    Apa guna punya harta tapi hati gundah gulana. Apa guna zuriat yang ramai tapi merempat di Tanah sendiri.

    Terima Kasih Cikgu.

  2. gbpencen permalink
    February 28, 2010

    Nampak kritis komen dari Aziz. Anda memang orang yang study dan berkebolehan. Yang menyenangkan saya ialah anda mengatakan ‘bantulah melayu berniaga’. Maksud anda kita hendaklah dulukan perniagaan melayu agar mereka terus, sekurang-kurangnya dapat bertahan. Insyaalah..

    Saya akan baca sekali lagi komen anda untuk rujukan saya. Terima kasih banyak-banyak.

Leave a Reply

Note: You can use basic XHTML in your comments. Your email address will never be published.

Subscribe to this comment feed via RSS

Current month ye@r day *

IMPORTANT! To be able to proceed, you need to solve the following simple math (so we know that you are a human) :-)

What is 8 + 8 ?
Please leave these two fields as-is: